Saturday, June 19, 2010

Terengganu Juara Haktrik Bola SUKMA Ke 13

PERSEFAHAMAN MANTAP PUNCA TERENGGANU MENANG



Terengganu tidak menjangka dapat menewaskan Selangor 1-0 dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan Malaysia XIII Melaka 2010 semalam untuk mengekalkan pingat emas acara bola sepak yang dimenangi di tempat sendiri pada 2008. Jurulatihnya, Khalid Mohd. Dahan berkata, kejayaan itu berpunca daripada kerjasama sepasukan yang beraksi sepanjang 90 minit babak berlangsung.

``Kerjasama dan persefahaman yang diberikan itu menjadi faktor utama kita dapat menewaskan Selangor dan meraih emas buat kali ketiga berturut-turut.

``Ini adalah kemenangan paling bermakna bukan sahaja buat skuad bola sepak Terengganu tetapi juga untuk rakyat Terengganu,'' katanya.

Jaringan tunggal Rosli Muda pada minit ke-23 sudah cukup memberi kemenangan mutlak Terengganu mengekalkan pingat emas acara bola sepak sejak memenanginya pada temasya 2006 dan 2008.

Sementara itu, Pengurus Selangor, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, tuah tidak memihak kepada skuadnya walaupun mempunyai beberapa peluang untuk mencipta gol khususnya pada babak kedua.



Menurutnya, beliau akur apabila melihat anak buahnya akur dengan kehebatan Terengganu yang bijak mencuri peluang untuk mencipta jaringan menerusi Rosli Muda pada babak pertama. ``Berbanding Selangor, ada sahaja halangan seperti palang dan tiang gol menjadi penghalang.

Banyak peluang dicipta tetapi usaha untuk mendapat jaringan gol penyamaan tidak menjadi kenyataan,'' katanya. Buat Hamidin, beliau akur dan mengakui akan kehebatan lawan yang menggabungkan pemain skuad Liga Super Terengganu dan T.Team untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut.

``Kekalahan ini cukup mengecewakan tetapi sudah menjadi adat pertandingan ada kalah dan menang. Cuma Selangor tidak bernasib baik untuk bergelar juara Sukma,'' katanya.

Buat Selangor perjuangan dalam temasya yang akan diadakan dua tahun lagi akan diteruskan dan tidak rela lagi buruan emas sudah berakhir.


Thursday, June 17, 2010

Terengganu Buru Juara Haktrik SUKMA

TERENGGANU BURU KEMENANGAN HATRIK

Terengganu enggan mendabik dada untuk meraih pingat emas buat kali ketiga berturut-turut dalam acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) kerana lawannya Selangor tetap mempunyai kelebihan.

Atas kertas reputasi Terengganu dianggap cukup ampuh apabila menepati ramalan melangkah ke perlawanan akhir di Stadium Hang Tuah malam esok.

Berbekalkan kelebihan tanpa melepaskan sebarang gol sejak perlawanan pusingan awal hingga ke separuh akhir, ia cukup jelas membuktikan betapa benteng mereka cukup kental.

``Walaupun Terengganu dianggap sebagai pilihan untuk menang emas tetapi suasana perlawanan akhir cukup berbeza berbanding daripada saingan awal. ``Lagipun, Selangor adalah skuad yang cukup kental dan mereka mara ke akhir kerana mereka tetap mempunyai skuad yang cukup mantap,'' kata Pengurus Pasukan, Ahmad Awang.

Terengganu melangkah ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Hang Tuah, petang semalam.

Ujarnya, beliau tetap menganggap peluang skuad Terengganu adalah 50-50 walaupun sejak dari awal mereka diletakan sebagai pilihan untuk mengekalkan emas yang dimenangi pada temasya dua tahun lalu.

``Saya lega tidak ada sebarang kecederaan serius melanda kesebelasan utama dan kita akan menurunkan barisan terbaik berdepan Selangor,'' katanya.