Thursday, March 29, 2012

Penyokong Singapura Tidak Tamadun?



PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh melabel penyokong Singapura yang menghina Francis Doe di Stadium Jalan Besar, kelmarin tidak bertamadun.


Che Mat berkata, walaupun kecewa pasukan mereka tersingkir daripada saingan Piala FA, mereka tidak seharusnya menghambur kata-kata penghinaan seperti ‘monkey’ (monyet) dan orang hitam, ‘nigger’ (ungkapan penghinaan kepada orang berkulit hitam) kepada penyerang Terengganu warga Liberia itu.


“Doe juga manusia ciptaan Tuhan seperti mereka dan tiada sebab mereka menghina warna kulitnya yang berlainan kerana mereka tidak mempunyai apa-apa kelebihan berbanding Doe.
“Lebih memalukan, ada di antara mereka yang tidak bermaruah itu berbangsa Melayu dan sebagai orang Islam, mereka dilarang daripada menyakiti hati orang lain dengan menghamburkan kata-kata yang tidak sedap didengar,” katanya.


Bagaimanapun, kata Che Mat, pihak persatuan tidak bercadang mengambil tindakan ke atas Singapura yang menamatkan saingan Piala FA dengan kekalahan agregat 0-1 di tangan Terengganu selepas sekadar seri tanpa jaringan dalam perlawanan timbal balik kedua di gelanggang sendiri.


“Kami enggan memanjangkan perkara ini kerana insiden memalukan itu tidak membabitkan pemain dan tidak berlaku di tengah padang.
“Sebahagian penonton saja terbabit menyuarakan ejekan dan kata-kata penghinaan kepada penyerang kami dan kami anggap sudah tentu bukan semua penyokong Singapura yang berfikiran cetek,” katanya.


Che Mat berkata, sebagai pengurus pasukan Terengganu, dia juga faham bukan mudah untuk pengurusan mengawal apa yang dilakukan penonton terutama ketika mereka kecewa dengan persembahan pasukan mereka.


“Walaupun penyokong Terengganu tidak mempunyai masalah dengan penghinaan perkauman, mereka ada kalanya gagal mengawal emosi dan membaling objek seperti botol air dan mercun ke dalam padang.


“Pengurusan terpaksa menanggung kerugian akibat didenda kerana tindakan penyokong yang tidak berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu yang buruk dan kami anggap apa yang terjadi di Stadium Jalan Besar itu berada di luar kawalan pengurusan pasukan lawan,” katanya.
Cuma, kata Che Mat, insiden yang tidak sepatutnya berlaku di negara timur seperti Singapura diharap tidak berulang di masa depan dan pengurusan boleh mengambil tindakan dengan memberi nasihat kepada penyokong.


“Walaupun terluka dengan apa yang terjadi di Singapura, Doe juga mahu perkara ini diselesaikan dengan baik dan pada masa ini, kami tidak berniat mengambil tindakan ke atas pasukan Singapura.


“Apapun, kami akan meminta pandangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar tidak terlepas pandang mana-mana kaedah penyelesaian terbaik,” katanya.

Wednesday, March 28, 2012

Penuh Dramatik Untuk Semi Final

JUARA bertahan, Terengganu memastikan laluan ke separuh akhir sekalipun seri 0-0 dengan Lions XII untuk layak menerusi agregat 1-0 dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.

Skuad kendalian Mat Zan Mat Aris yang tampil tanpa penjaring gol tunggal, Joseph Kalang Tie ketika aksi suku akhir pertama di Kuala Terengganu, mengimbangi kehebatan Lions XII yang begitu rakus mengasak ke kubu skuad Penyu dalam usaha mencari gol sebaik permainan bermula.

Malah tempoh 15 minit babak pertama, benteng pertahanan Terengganu yang diterajui Mohd Muslim Ahmad dan Hasnizam Kamarodin tampak begitu sibuk menghalang setiap asakan anak buah V Sundramoorthy tetapi kecekapan Mohd Sharbinee Allawee di gawang memainkan peranan penting menafikan cubaan berbahaya tuan rumah.
Situasi cemas di depan pintu gol Terengganu pada minit ke-16 berpunca sepakan lintang Irwan Shah tepat kepada Khairul Nizam tetapi penyerang Lions XII itu hanya terdaya melepaskan rembatan lemah sekalipun sudah melepasi kawalan Muslim.

Tertekan dengan serangan bertali arus Lions XII, Terengganu mula bangkit mengatur gerakan pada babak kedua tetapi kelincahan Francis Forkey Doe sering disekat benteng pertahanan Lions XII yang langsung tidak memberi ruang kepada import dari Liberia itu.

Sundramoorthy dengan memasukkan penyerang Shahril Ishak pada aksi babak kedua, sebaliknya pintu gol tuan rumah pula yang cemas pada minit ke-61 apabila bola sepakan percuma Erison Da Silva dari jarak 30 meter tersasar.

Ketika aksi berbaki seminit ditamatkan, Lions XII hampir memecah kebuntuan jaringan tetapi tandukan Madhu Mohana hasil sepakan percuma Irwan Shah juga tersasar ketika Sharbinee sudah tertewas.

TTeam Melepas Peluang

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, penyerang import dari Ghana, Hamidan Mohammed muncul wira apabila dua jaringannya membantu kemaraan Kedah.
Aksi separuh pertama dikuasai Kedah tetapi kekebalan barisan pertahanan T-Team dikemudikan pemain import, Bojan Petric berjaya menyekat asakan barisan serangan pasukan pelawat itu

Kedah akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-64 apabila Hamidan tenang melakukan rembatan kaki kiri menewaskan Syamsuri Mustafa tetapi ia hanya bertahan empat minit apabila T-Team menyamakan kedudukan hasil tolakan Azrul Hazran Amiludin Baki depan pintu gol Kedah.

Namun, Hamidan memastikan Kedah menempah slot ke separuh akhir dengan menanduk masuk hantaran lintang Abdelfatah Safi pada minit ke-80 untuk gol kemenangan pasukannya.

Tuesday, March 27, 2012

Saha Dah Biasa Main Di Jalan Besar

BIARPUN menyedari laluan Terengganu penuh berliku, namun penyerang Terengganu, Ashari Shamsuddin tetap menaruh harapan tinggi dia dan rakan sepasukan mampu menewaskan Lions XII dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam ini. Pada tanggapan pemain yang berasal dari Kampung Rawai, Marang, walaupun beraksi di atas padang rumput tiruan, namun itu bukan masalah buat pasukan mempamerkan permainan terbaik seterusnya mengekalkan bekalan satu gol dimenangi dalam suku akhir pertama, Sabtu lalu.


“Saya bertekad untuk pasukan menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol. Apa yang penting semangat juang tinggi serta kerjasama sepasukan amat diharapkan,” katanya.Pemain yang lebih mesra dengan panggilan ‘Saha’ di kalangan rakan sepasukan berkata, dia percaya pengalaman serta percaturan diterapkan jurulatih, Mat Zan Mat Aris menjelang pertembungan hidup mati itu memihak kepada pasukannya.


“Saya amat yakin sekiranya kami cepat menyesuaikan diri dengan keadaan padang, perlawanan ini akan memihak kepada Terengganu sekali gus melangkah ke separuh akhir,” kata penjaring terbanyak musim 2010 itu. Dia turut berharap tindakan penyudah penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe akan menghasilkan jaringan malam ini.

TTeam Padamkan Hasrat Kedah

KEDAH yang tewas kepada T-Team pada saingan Liga Super sebelum ini ingin melunaskan ‘hutang’ itu pada perlawanan kedua Piala FA di Kuala Terengganu malam ini.Skuad Kenari mahu melupakan kekalahan 3-0 itu, sebaliknya membuka lebaran baharu dengan harapan dapat meraih kemenangan untuk berada dalam kelompok empat terbaik kejohanan berprestij tersebut.


Namun, tugas itu bukan satu kerja mudah bagi anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan yang memerlukan mereka memberi komitmen seratus peratus serta semangat juang yang tinggi lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan.Kelebihan dilihat berpihak kepada pasukan berstatus kelab itu yang sudah pastinya mahu menghadiahkan kemenangan layak ke separuh akhir kepada penyokong setia mereka.


Bagaimanapun bagi Wan Jamak, usaha dan kerja keras pemain pasti membuahkan hasil yang diharapkan biarpun berdepan laluan sukar tanpa sebarang bekalan ketika beraksi di Alor Setar, Sabtu lalu.Justeru, beliau berharap pemain-pemainnya dapat meningkatkan usaha bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan.


“Pemain perlu berusaha dengan lebih gigih kerana setiap usaha itu tentu mendatangkan hasil. Jangan diingatkan sejarah silam (kekalahan kepada T-Team) sebaliknya fokus dan beri tumpuan kepada perlawanan penting ini,” katanya.


Pada pusingan pertama di Stadium Darul Aman, Sabtu lalu, Kedah gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan.Pada pertemuan dengan T-Team malam ini, Kedah juga kehilangan ‘ayam tambatan’ mereka, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri yang digantung satu perlawanan kerana memiliki dua kad kuning termasuk pada perlawanan Sabtu lalu.


Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang mempertimbang untuk menggugurkan pemain import mereka, Hamidan Mohamed berikutan prestasi hambar pemain dari Ghana itu.Setiausaha Kehormatnya, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib memberitahu, skuad Kedah akan mengalami kerugian sekiranya masih menyimpan pemain yang gagal memberi sumbangan membanggakan kepada pasukan.“KFA sedang meneliti beberapa pemain import lain bagi menggantikan Hamidan,” katanya.

Monday, March 26, 2012

Manaf Cendera







Hanya Memerlukan Seri

JURULATIH Mat Zan Mat Aris mengakui Terengganu berdepan laluan berliku dengan bertandang ke Kota Singa apabila hanya membawa satu gol sebagai bekalan timbal balik suku akhir kedua Piala FA menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, malam esok.


Justeru, dia menuntut anak buahnya memikul tugas masing-masing, selain fokus sepanjang perlawanan itu bagi memastikan impian mempertahankan trofi itu menjadi nyata.“Satu gol memang tidak selamat untuk bekalan pada perlawanan akan datang, tapi ia amat penting buat pemain untuk terus mempertahankan kemenangan hari ini (kelmarin).


“Kami sedar bukan tugas mudah, namun akan cuba sedaya upaya mempertahankan gol itu dan mencari gol tambahan di tempat lawan nanti,” katanya selepas perlawanan kelmarin. Secara keseluruhannya, corak permainan skuad Penyu banyak tertumpu pada bahagian tengah dan terikut rentak pelawat pada babak pertama, sebelum menukar rentak dengan corak terbuka dan serangan dari bahagian sayap di babak kedua.


Penyu memanfaatkan kelemahan lawan yang beraksi dengan 10 pemain selepas ketua pasukan Hariss Harun dilayangkan kad merah kerana menyiku Forkey Doe di luar padang pada minit ke-53 dan kesempatan itu digunakan tuan rumah dengan gol tunggal rembatan Joseph Kalang Tie dari luar kotak penalti yang terbias kaki pertahanan sebelum menerjah gawang pada minit ke-64.

Sunday, March 25, 2012

Lion Tercedera


Terengganu yang merupakan juara Piala FA pada 2000 dan 2011 hanya mampu mencatatkan kemenangan tipis, 1-0 ketika bertemu Lions XII dari Singapura di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.


Pemain tengah skuad Penyu Joseph Kalang Tie muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-65. Gol tersebut berpunca daripada sepakan Kalang Tie yang terkena pemain pertahanan pelawat, Sevki Sha'ban sebelum menerjah jaring untuk menewaskan Hyrulnizam Juma'at di gawang Lions XII.


Pasukan pelawat sebelum itu ditimpa malang apabila pemain pertahanannya Hariss Harun dikenakan kad merah oleh pengadil perlawanan Syed Azhar Syed Kamar kerana menyiku penyerang import skuad Penyu dari Liberia Francis Forkey Doe pada minit ke-53.



Turun sebagai pasukan pilihan, anak buah Mat Zan Mat Aris nyaris merobek jaringan pelawat seawal minit pertama menerusi Francis Forkey Doe namun digagalkan pertahanan lawan.Anak buah V Sundramoorthy cuba bangkit memberi tentangan pada separuh masa kedua, namun keampuhan benteng pertahan Sang Penyu menjadi penghalang kepada jentera penyudah Lions XII.

Wednesday, March 21, 2012

Faktor Sebenar Terengganu Tewas

Dua Faktor yang menyebab Terengganu kalah iaitu :

1. Gagal menembusi pertahanan


“Walaupun babak pertama anak buah saya menguasai permainan dan melancarkan serangan, namun tidak mampu menembusi pertahanan lawan dan ini yang membuatkan pasukan kita kalah pada perlawanan ini,” tegas Mat Zan yang ditemui selepas perlawanan.


2. Pertahanan lalai


Jurulatih Penyu, Mat Zan Mat Aris mengakui kealpaan para pemain terutama pada bahagian pertahanan dan tengah menjadi punca Terengganu gagal menyaingi kehebatan kelab gergasi Hong Kong, Kitchee SC petang semalam.


Betul ke?







Faktor sebenar ialah kesilapan taktikal yang diatur oleh Mat Zan.



Terengganu lebih suka menyerang ikut bahagian tengah. Pemain Terengganu cuba membelah benteng pertahanan melalui tengah dengan hantaran pendek. Pemain sayap kiri or kanan akan menghantar bola ke bahagian tengah dan midfield akan melorong bola kepada pemain yang berada di luar kotak penalti.


Apabila mendapat bola, Mereka akan menendang terus ke pintu gol. Hasilnya bola yang ditendang melambung tinggi.


Selain daripada itu, hantaran pendek melalui tengah selalunya dihalang oleh pertahanan Kitchee. Serangan demi serangan dilakukan dapat dipatahkan pemain pertahanan. Kadang kala pemain midfiield terhenti sekejab tidak tahu hendak menghantar bola kepada sesiapa sedangkan back kanan or kiri sudah bersedia untuk menerima bola untuk membuat hantaran bola lentang tetapi tidak menggunakan kelebihan itu.

Sepatutnya jurulatih sedar dengan mengubah strategi serangan dengan mengarah anak buahnya membuat hantaran lentang dari sebelah kanan or sebelah kiri. Kerana pada minit awal permainan banyak gerakan melalui hantaran lentang hampir menghasilkan gol. Selepas itu Terengganu tidak lagi menggunakan hantaran tersebut dan lebih suka melakukan gerakan tengah.

Kesemua gol-gol kitchee dihasilkan dari gerakan bola lentang yang menyebab pertahanan Terengganu tertewas.

Tewas Tempat Sendiri



HASRAT Terengganu menduduki tangga teratas Kumpulan F Piala AFC tidak kesampaian apabila tumpas 0-2 di tangan juara Hong Kong, Kitchee, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, semalam.


Juara Piala FA musim lalu yang yakin menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri itu, gagal menahan asakan pasukan lawan di separuh masa pertama hingga gawang dibolosi lawan seminit sebelum masa rehat.


Pasukan pelawat yang mengaku risau bermain dalam cuaca panas sejak tiba di Kuala Terengganu, Jumaat lalu, berjaya mengawal perlawanan dengan baik dan berpeluang mendahului lawan seawal minit kesembilan.


Namun, penyerang, Lo Chi Kwan yang cuma berdepan penjaga gol Terengganu terpaksa melihat tendangannya dihadang Sharmiza Yusoff yang sekali lagi turun mengambil tempat penjaga gol utama, Sarbinee Allawee yang masih belum pulih daripada kecederaan pangkal pahanya.
Kitchee yang beberapa kali mempunyai peluang menghasilkan gol akhirnya mendapat jaringan yang dicari menerusi Jordi Tarressa.


Ketinggalan satu gol mengubah corak permainan Terengganu yang mengamalkan corak menyerang di awal separuh masa kedua menyebabkan lawan cuma mampu bertahan dan mengekang asakan Terengganu Harapan tuan rumah mencari gol penyamaan lenyap pada minit ke-73 apabila Chu Siu Kei gagal dikawal Muslim Ahmad dan Zubir Azmi dan menjaringkan gol kedua selepas menerima hantaran tepat Chi Kwan.

Jurulatih Kitchee, Josep Gombau mengaku pasukannya bernasib baik mendapat gol pertama sejurus sebelum tamat babak pertama. “Pemain saya sudah keletihan pada masa itu kerana bermain dalam cuaca terik. Namun, jaringan itu membolehkan kami bermain secara bertahan di babak kedua


“Sekiranya tiada gol di separuh masa pertama, pemain akan tertekan dan itu mungkin memberi kelebihan kepada Terengganu,” katanya.Sementara itu, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris akur dengan keputusan perlawanan walaupun berpendapat pasukannya mampu bersaing dengan pasukan lawan.


“Kami tidak menggunakan babak pertama dengan baik kerana pemain terlalu hormat kepada lawan hingga mereka enggan menyerang habis-habisan.“Keadaan bertukar di babak kedua namun kami ketinggalan pada masa itu dan walaupun sudah mencuba sedaya upaya mencari gol penyamaan, Kitchee pula berjaya menambah satu gol lagi,” katanya Apa pun, Mat Zan berkata, lebih penting sekarang adalah pemain tidak hilang fokus dengan kekalahan pertama dalam empat perlawanan terakhir.


“Semuanya masih terkawal kerana masih ada empat perlawanan lagi dalam peringkat kumpulan Piala AFC dan kami tidak boleh hilang semangat kerana Sabtu ini, kami akan bertemu LionsXII dalam perlawanan suku akhir Piala FA,” katanya.

Tuesday, March 20, 2012

Mencari Kemenangan



SELEPAS menang dua perlawanan sebagai ketua pasukan, Mohd Muslim Ahmad berazam untuk meneruskan rekod cemerlang Terengganu apabila turun menentang kelab Hong Kong, Kitchee dalam perlawanan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, hari ini.


Pemain pertahanan berusia 22 tahun yang diberi kepercayaan memakai kain lengan kapten sejak ketiadaan Marzuki Yusof dan Mohd Sharbinee Allawee Ramli berkata, amanah diberikan kepadanya untuk membimbing rakan sepasukan akan disempurnakan sebaik mungkin.


“Sebagai ketua pasukan, saya bangga kerana kami berjaya menyingkirkan Perak dalam saingan Piala FA sebelum menang besar ke atas Sabah dalam Liga Super dan kini kami akan memastikan juara divisyen satu liga Hong Kong akan pulang dengan tangan kosong.



“Kami tahu Kitchee bukan calang-calang lawan namun kami yakin dengan semangat juang yang kami miliki walaupun terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak utama,” katanya ketika ditemui di sidang akhbar Piala AFC di Kuala Terengganu, semalam.



Kata Muslim, kecederaan lutut Marzuki yang memaksa bekas ketua pasukan dan pemain pertahanan itu menjalani pembedahan dalam masa terdekat ini menjadikan dia lebih bertanggungjawab untuk memastikan benteng pasukan sentiasa kebal.


“Begitu juga dengan kehilangan penjaga gol utama, Mohd Sharbinee namun kami tidak terlalu risau kerana Sharmiza Yusof adalah pengganti yang berkebolehan,” katanya.Pemain utama lain yang tidak dapat beraksi adalah penyerang Abdul Hadi Yahya, pemain tengah Reshafiq Alwi dan pertahanan Muhaimin Omar.


Menurut jurulatih Mat Zan Mat Aris, pemain di bangku simpanan pasukannya berkeupayaan untuk memberi saingan kepada Kitchee yang dianggap sebagai pilihan selepas menewaskan kelab Singapura, Tampines Rovers 3-1 dalam perlawanan pembukaan pertandingan.


Sementara itu, ketua jurulatih Kitchee, Josep Gombau mengharapkan mendung ataupun hujan turun sebelum perlawanan bermula.Kata jurulatih berbangsa Sepanyol itu, sukar buat pemainnya untuk menyesuaikan diri dengan suhu melebihi 30 Selsius di Kuala Terengganu kerana cuaca di Hong Kong pada masa ini sederhana panas dengan suhu antara 17 hingga 20 Selsius di waktu siang.



“Persiapan kami juga agak terganggu kerana padang yang disediakan tidak sempurna dan tindakan kami berlatih di padang hoki semalam (kelmarin) juga tidak menjadi kerana kami tidak mempunyai kasut yang sesuai untuk padang hoki,” katanya.Bagaimanapun, Gombau berkata semua itu tidak melemahkan semangat pasukannya untuk meraih kemenangan kedua mereka dalam saingan Piala AFC kerana pemainnya mampu beraksi dalam apa jua keadaan.

Forky Doe Mampu Mencipta Kemenangan

KAPTEN Terengganu, Muslim Ahmad meminta rakan sepasukan fokus dan berwaspada apabila melayan wakil Hong Kong, Kitchee FC menjelang perlawanan kedua Kumpulan F Piala Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang ini. Walaupun tidak tahu kemampuan pasukan itu, tidak mustahil skuad Penyu melakar kemenangan kedua selepas memulakan langkah kanan pada perlawanan pembukaan mengatasi kelab Vietnam, Song Lam Nghe An, 6 Mac lalu.

“Melihat prestasi semasa pasukan, saya yakin semua pemain sudah bersedia menghadapi perlawanan ini, apa yang diharapkan adalah kami tidak hilang fokus ketika permainan nanti,” katanya pada sidang media sempena Piala AFC di Kuala Terengganu, semalam.

Bekas pertahanan Harimau Muda A itu berkata, walaupun menghadapi jadual padat dalam saingan Liga Super dan Piala FA, ia bukan penghalang untuk Terengganu memperagakan aksi menarik seterusnya meraih mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan itu. “Kejayaan layak ke suku akhir Piala FA dan berpesta gol ketika bertemu Sabah, Sabtu lalu menjadi pembakar semangat kami dan saya juga sokongan padu penyokong berterusan untuk terus menaikkan moral pemain,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris mengingatkan anak buahnya bahawa pertandingan Liga Super dengan Piala AFC adalah pentas saingan berbeza dan membayangkan tentangan sengit dari pasukan pelawat itu. “Dari segi corak permainan, saya akan lakukan sedikit perubahan berbanding ketika bertemu Sabah, Sabtu lalu kerana pemain Kitchee FC turut menyaksikan perlawanan itu dan sudah pasti mereka dapat gambaran corak permainan kami,” katanya.

Aksi Mantap Ditagih




TERENGGANU meletakkan harapan tinggi ke atas penyerang import Francis Forkey Doe bagi membantu pasukan itu meraih kejayaan seterusnya dalam cabaran Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang pasukan kelab dari Hong Kong, Kitchee FC pada Selasa ini.


Pengurus pasukan Terengganu Datuk Che Mat Jusoh berkata, Terengganu berharap Doe akan mempamerkan kebolehannya bagi menghasilkan jaringan untuk meneruskan cabaran dalam saingan Kumpulan F.


Malah beliau berkata, pemain kelahiran Liberia itu yang sebelum ini dijadual mewakili pasukan negaranya pada kejohanan Liga Piala-piala negara Afrika telah mengenepikan hasrat semata-mata mahu memberi perhatian kepada pasukan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris.


“Kita amat berbangga dan kagum dengan semangat yang ditunjukkan Doe bagi membantu pasukan Terengganu dalam cabaran Piala AFC ini,” katanya. Menurutnya, perlawanan tersebut merupakan perlawanan kedua bagi Terengganu selepas menang 1-0 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An di tempat lawan pada perlawanan pembukaan 6 Mac lalu.


Che Mat yang juga Yang DiPertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, Terengganu berharap dapat melangkah sekurang-kurangnya ke pusingan kedua selepas pertama kali menjejakkan kaki dalam Piala AFC.


Beliau berkata, pemain-pemain dan pegawai pasukan Kitchee tiba di sini kelmarin untuk menyesuaikan diri dengan permukaan padang perlawanan dan iklim tempatan. Selepas pertemuan kedua, Terengganu akan bertemu pasukan kelab dari Singapura, Tampines Rovers FC di tempat lawan pada 4 April

Monday, March 19, 2012

Perlawanan Persahabatan




Gabungan pegawai kelab bolasepak & Kelab penyokong daripada 35 buah pasukan liga super, liga perdana & liga FAM mengadakan perlawanan persahabatan di Stadium Bandaraya Petaling Jaya pada 13. Mac 2012.

Sabah Tewas Besar

PENGENDALI Terengganu, Mat Zan Mat Aris mahu pemainnya memperbaiki corak permainan, walaupun merakam kemenangan besar 6-3 mengatasi Sabah dalam saingan Liga Super di Kuala Terengganu, kelmarin.


Menurutnya, kelebihan tiga jaringan tanpa balas dimiliki skuad pimpinannya pada 15 minit pertama dipersia-siakan begitu sahaja akibat sikap ambil mudah pemain.“Kita mendahului 3-0, namun Sabah berjaya merapatkan defisit kepada 4-3 selepas itu.


Malah, terdapat pemain terkeluar dari posisi asal masing-masing.“Mujur, mereka segera memperbetulkan keadaan dan akhirnya tiga mata dalam genggaman,” katanya yang menggesa pemain Penyu memantapkan kembali posisi bahagian tengah yang agak longgar.


Jurulatih berusia 54 tahun itu juga memuji persembahan awang import dari Liberia, Francis Forkey yang mencipta hatrik pada perlawanan tersebut.“Banyak peluang terhidang dimanfaatkan begitu bergaya oleh Doe. Tetapi, dia bakal terlepas pertembungan menentang Johor FC pada 31 Mac ini selepas mengutip tiga kad kuning,” katanya kepada Sinar Harian semalam.


Kini, kedudukan dua tangga teratas saingan liga dikuasai pasukan dari Pantai Timur dan skuad Peteh hanya ketinggalan tiga mata berbanding pendahulu, Kelantan yang mengumpul 23 mata.

Sunday, March 18, 2012

Terengganu Mengamuk

TERENGGANU mempamerkan permainan kelas tersendiri apabila membelasah Sabah 6-3 pada aksi Liga Super semalam yang turut menyaksikan penyerang import skuad Penyu, Francis Forkey Doe meledak hatrik pertamanya musim ini.


Turun selaku tuan rumah pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu jelas bertenaga apabila meledak tiga gol awal pada babak per- tama hanya dalam tempoh 13 minit.


Namun, semangat juang Sabah yang dihimpit sorakan padu penyokong tuan rumah tetap terserlah apabila berjaya memberi tekanan kepada Terengganu, terutamanya pada awal babak kedua.


Pada aksi semalam, Ashaari Shamsuddin terlebih dahulu membuka tirai jaringan buat Terengganu pada minit keempat menerusi satu sepakan sudut yang dilakukan Ismail Faruqi.
Lima minit kemudian, tuan rumah terus mengganas, kali ini menerusi rembatan kencang Doe selepas bijak menyambar hanta- ran Mazlizam Muhamad dari luar kotak penalti.


Pada minit ke-13, penyerang import dari Liberia itu terus menemui sentuhan pemus- nahnya untuk gol ketiga Terengganu yang juga gol kedua peribadinya pada perlawa- nan tersebut.
Pasukan pelawat yang tersentak dengan tiga gol awal tuan rumah kembali mengatur rentak dan berjaya memperoleh gol pertama menerusi bekas pemain kebangsaan, Zainizam Marjan pada minit ke-33.


Namun, Abdul Manaf Mamat kembali me- lebarkan kedudukan dengan gol keempat Terengganu pada minit ke-42 sebelum bintang import Sabah, Brandan Gan meletakkan skuad Badak itu kembali bernyawa dengan gol kedua seminit sebelum babak pertama berakhir.


Bersambung babak kedua, Sabah terus mengasak kubu pertahanan tuan rumah dan berjaya merapatkan defisit gol kepada 3-4 menerusi jaringan Rozaimi Abd. Rahman pada minit ke-64.


Tertekan dengan asakan Sabah, Mat Zan kembali meniup semangat juang anak-anak buahnya

untuk menambah gol dan hasilnya, Doe berjaya melengkapkan hatriknya pada perlawanan itu dengan gol kelima Terengganu pada minit ke-77.


Jaringan itu jelas menghilangkan semangat melawan Sabah apabila gili- ran Joseph Kalang Tie pula meletakkan namanya dalam senarai penjaring menerusi gol keenam Terengganu pada minit ke-79.


Dengan kemenangan besar yang dicatat semalam, Terengganu kini memiliki moral tinggi menjelang aksi penting Piala AFC menentang kelab Hong Kong, Kitchee FC Selasa ini.

Kedudukan Terkini



Kedudukan semasa setelah Terengganu mengalah Sabah 6-3 & TTeam 3 johor FC 1 pada 17.3.12

Wednesday, March 14, 2012

Tahniah MSL Merapatkan Perhubungan

MSL anak syarikat FAM telah menganjur Bengkel Pemasaran & Pembangunan Penyokong Kelab pada 12 & 13 Mac 2012 di Hotel Blue Wave, Shah Alam. Bengkel ini dihadiri oleh Persatuan Bolasepak & Kelab Penyokong yang terdapat di Malaysia. Terengganu di wakili oleh Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) & Kelab Penyokong TTeam.


Di dalam bengkel ini berapa Case Study tentang pemasaran & hubungan kelab penyokong dibentang kepada peserta. Banyak munafaat boleh didapati bengkel yang dikendalikan oleh Stuart Ramalingam, CEO MSL.
Tidak sangka Orang Terengganu ada dalam pengurusan Pasukan FELDA & Pasukan PKNS.

Selain mendapat pengetahuan & pengkongsian maklumat, hubungan antara kelab penyokong dengan persatuan bolasepak negeri/kelab dapat dipertingkatkan lagi. Tahniah MSL kerana tidak melupakan kelab Penyokong.



Sunday, March 11, 2012

Terengganu Temu Lion


Terengganu kini mengatur strategi bagi mengelak tumpas di gelanggang sendiri apabila bertemu Lions XII dalam saingan Piala FA peringkat suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah 24 Mac ini.

Jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris berkata, ini kerana corak permainan pasukan dari Singapura itu banyak berbeza dalam pertandingan Liga Super berbanding di awal musim lalu.

"Jadi kita kena buat persediaan atau strategi yang betul supaya kita dapat mengatasi halangan pertama ini,” katanya kepada pemberita.

Mat Zan berkata, pihaknya sedar kejayaan Terengganu mengalahkan pasukan tersebut 1-0 dalam pertandingan Liga Super di Singapura baru-baru ini, tidak semestinya dapat diulangi dalam Piala FA.

Sebaliknya beliau menyifatkan perlawanan itu sebagai perlawanan yang amat sukar bagi Terengganu kalau tidak mempunyai strategi dan latihan yang betul-betul sempurna.

Sungguhpun begitu, Mat Zan berkata, beliau yakin juara Piala FA tahun lepas itu mampu mengatasi Lions XII berdasarkan kejayaan Terengganu menewaskan Som Lam Nghe Ah 1-0 dalam kejohanan Piala AFC di Vietnam baru-baru ini.

Mengulas mengenai perlawanan Terengganu-Perak dalam perlawanan Piala FA yang berkesudahan Terengganu menang 1-0 di sini malam tadi, beliau berkata ternyata pemain Terengganu keletihan.

TTeam Mara Ke Suku Akhir


PASUKAN T-Team mengesahkan slot ke peringkat suku akhir Piala FA setelah menundukkan Pahang 3-2 dalam perlawanan sengit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.



Bermain di laman sendiri memberi keyakinan kepada pasukan yang diberi jolokan 'penyu muda' itu menguasai permainan sebaik wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan Mohd Nazmi Nasarudin.


Babak pertama menyaksikan benteng pertahanan T-Team kendalian pemain yang baru pulih dari kecederaan, Fadzli Saari dengan gandingan pemain import BosniaHerzegovina Bojan Petric, ternyata sukar ditembusi skuad Tok Gajah, yang sekadar mampu melakukan rembatan jarak jauh.



Namun, selang empat minit babak kedua (minit ke-49), Pahang memperoleh gol pembukaan menerusi Hazuan Daud, yang membuat rembatan dari luar kotak penaltimenewaskan penjaga gol tuan rumah.

Tersentak dengan jaringan pelawat, anak didik Yunus Alif bangkit mencari gol penyamaan dan Azrul Hazran bijak mencari peluang dengan meledakkan golpenyamaan pada minit ke-55. Kealpaan T-Team kemudian dihukum pasukan pelawat pada minit ke-58 menerusi jaringan gol kedua oleh Azamuddin Akil.



T-Team yang ingin menempatkan diri sebagai pasukan pertama layak ke suku akhir, berjaya mencari gol penyamaan lima minit kemudian dengan jaringan FadzliSaari. Aksi bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan melancarkan serangan bertubi-tubi ke gol lawan masing-masing.





Bagaimanapun, nasib ternyata memihak kepada T-Team apabila pada minit-minit terakhir, Faiz Subri menjadi wira apabila berjaya memecah kebuntuan itu dalammasa tambahan

Saturday, March 10, 2012

Pertahan Maruah



BANYAK perkara yang mahu diselesaikan anak-anak buah Mat Zan Mat Aris apabila Terengganu melayan kunjungan Perak pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.


Selain mahu membalas dendam selepas tewas 0-1 kepada Perak pada aksi pembukaan Liga Super, Januari lalu, skuad Penyu itu turut bertekad meneruskan kemaraan ke suku akhir, sekali gus berusaha mempertahankan Piala FA yang dimenangi musim lalu.


Atas kertas, kelebihan jelas memihak kepada tuan rumah itu yang kini berada pada prestasi terbaik, termasuk merekodkan kemenangan sulung di pentas Asia dengan menewaskan gergasi Vietnam, Song Lam Nge An pada kempen Piala AFC.


Justeru, hanya keyakinan tinggi yang dituntut oleh Mat Zan kepada anak-anak buahnya dalam usaha menghadirkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri nanti.


“Kami adalah juara bertahan dan sudah pasti kami mahu mara lebih jauh dalam saingan ini.
“Lagi pun, menentang Perak akan memberi peluang kepada kami untuk membalas dendam ke atas pasukan itu selepas kami tewas dalam Liga Super,” kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, kebimbangan tetap dirasai Mat Zan apabila dua tonggak utamanya, Marzuki Yusof dan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli dikhabarkan masih dibelenggu kecederaan.
Tambahan pula, beberapa pemain dipercayai masih keletihan selepas melalui jadual perlawanan yang ketat sepanjang minggu ini.


“Marzuki sudah pasti tidak dapat diturunkan, manakala Shar- binee pula berada dalam keraguan. Saya berharap Sharbinee dapat pulih segera sebelum perlawanan bermula.
“Bagi pemain lain, saya akui mereka terlalu letih apabila kami perlu melalui tiga perlawanan penting dalam tempoh lapan hari,” ujarnya.


Sebelum aksi malam ini, kemampuan Terengganu terlebih dahulu diuji apabila mereka bertandang ke Stadium Vinh, Vietnam bagi memulakan kempen Piala AFC, Selasa lalu.
Tiga hari sebelum itu, skuad Penyu turut dikerah bekerja keras sebelum menang 1-0 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Tuah, Melaka.


“Liga Super, Piala AFC dan Piala FA merupakan saingan berbeza tetapi kami perlu memberi tumpuan kepada perlawanan malam esok (malam ini) kerana kami akan turun sebagai juara bertahan,” tambahnya.


Mengenai polemik dalaman yang dikatakan menimpa kem Terengganu ekoran perilaku pemain importnya, Francis Forkey Doe, Mat Zan tidak mahu terlalu memikirkannya.
“Saya hormati setiap teguran ataupun peringatan yang diberi- kan kepada pemain-pemain saya termasuk dalam isu peng- libatan dalam rasuah.


“Namun secara peribadi, saya percaya perkara tersebut tidak berlaku kerana mereka (pemain) profesional,” ujarnya.

Mesti Menang



JUARA bertahan, Terengganu turun dengan dua misi besar – membalas dendam dan mencipta kemenangan ke atas Perak – untuk melangkah ke pusingan seterusnya saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Shah, malam ini. Jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris berkata, kekalahan pada perlawanan pembukaan Liga Super awal musim di tangan Perak masih segar dalam ingatannya dan dia mahu anak buahnya memanfaatkan peluang di gelanggang sendiri untuk mencipta kemenangan.


“Kami turun dengan dua misi berbeza, pertama mahu menebus kekalahan perlawanan liga lalu dan kedua, perlawanan ini penting untuk menentukan hidup mati kami dalam mempertahankan Piala FA yang dimenangi tahun lalu,” katanya semalam.


Walaupun pemain sedikit keletihan selepas mengharungi jadual ketat Liga Super dan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), moral anak buahnya cukup baik serta begitu bersemangat untuk berdepan Perak. “Kami harap kejayaan mengalahkan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 pada saingan pembukaan kumpulan F dalam Piala AFC dapat diteruskan pada perlawanan malam esok (malam ini).


“Saya mengingatkan pemain misi kami masih berliku dan perebutan Piala FA amat penting, bukan saja untuk mempertahankan trofi ini, tetapi juga saingan Liga Super yang semakin mencabar,” kata Mat Zan. Pengendali itu berharap dapat menurunkan penjaga gol Mohd Sarbinee Alawee, Marzuki Yusof serta pemain tengah, Shukor Jusoh dan Mohd Ismail Faruqi yang cedera apabila menghadapi skuad Seladang.


“Walaupun beberapa pemain utama cedera, kami masih mempunyai ramai pemain yang boleh diturunkan dan saya harap benteng yang diterajui Muslim Ahmad bersama Mohd Faizal Mohamad dapat menutup ruang sebaik mungkin.”

Manaf Nikah doh



PENYERANG Terengganu, Manaf Mamat memilih untuk menunda rancangan bulan madunya hingga selepas pasukannya bertemu Perak dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam ini.


Pemain berusia 25 tahun itu yang mengikat tali pernikahan dengan Sabihah Johan, juga 25 tahun di Taman Permint Jaya, Kuala Terengganu, semalam menganggap perlawanan menentang Perak terlalu penting bukan saja untuknya, malah isterinya juga.


Menurut penjaring gol kemenangan Terengganu ketika menewaskan pasukan Song Lam Nghe An, 1-0 dalam perlawanan pembukaan Piala AFC di Vinh, Vietnam, Selasa lalu, semua peminat termasuk isterinya mengharapkan pasukan mereka mara ke pusingan seterusnya.


“Kami juara bertahan Piala FA dan mungkin terlalu ramai penyokong yang enggan memaafkan kami sekiranya gagal menundukkan Perak dan menempah tiket ke suku akhir.


“Kami tahu Perak bukan calang-calang lawan dan menjadi kewajipan kami melakukan apa yang terdaya untuk sekali lagi meraih kejayaan,” katanya.


Katanya, dia tidak pasti sekiranya jurulatih, Mat Zan Mat Aris akan menyenaraikannya dalam kesebelasan utama ataupun diletak di bangku simpanan.


“Kalau boleh memang saya mahu bermain daripada wisel pertama lagi kerana selepas menjaringkan gol pertama musim ini di Vietnam beberapa hari lalu, saya semakin bersemangat untuk melakukan jaringan lagi.


“Namun, semua keputusan terletak di tangan jurulatih dan sebagai pemain profesional, saya akur dengan tugasan yang diberikan,” katanya.

Friday, March 9, 2012

Turun Untuk Pertahankan Kejuaraan



PEMAIN pertahanan Mohd Faizal Muhammad mungkin diturunkan menjelang pertemuan Terengganu menentang Perak dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.


Jurulatih Mat Zan Mat Aris berkata, Mohd Faizal semakin cergas dan menyertai sesi latihan.
“Dia kian pulih. Saya mungkin akan turunkan dia dalam perlawanan esok bagi memperkemaskan barisan pertahanan,” katanya.


Mat Zan berkata, persiapan mereka mengikut jadual kerana empat pemain kebangsaan, Ashaari Shamsudin, Abdul Manaf Mamat, Mohammad Muslim Ahmad dan Muhammad Zubir Mohd Azmi akan turut diturunkan bagi mengekang dan merobek Perak.


Bagaimanapun tonggak utama, Ismail Faruqi Asha’ri dan Abdul Shukur Jusoh yang mengalami kecederaan ketika cabaran Piala AFC menentang kelab Vietnam Ahad lalu mungkin direhatkan.
Katanya perlawanan malam esok menjadi perlawanan ketiga berturut-turut bagi skuad penyu dalam tempoh lapan hari.


“Semangat kita masih tinggi untuk berhadapan dengan Perak walaupun anak buah saya keletihan selepas mengharungi tiga perlawanan dalam seminggu,” katanya.
Terengganu selaku juara bertahan sebelum ini menang selesa 4-0 ke atas PDRM di tempat sendiri untuk mara bertemu Perak.


“Kami turun dengan matlamat untuk menang dan mengekalkan kejuaraan untuk dua tahun berturut-turut.”

TTeam Mampu Menang



Status perbezaan Liga Super dan Liga Perdana mungkin tidak membawa sebarang makna menjelang pertemuan hebat antara dua pasukan Pantai Timur, T-Team dan Pahang dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA pada malam ini di Stadium Ismail Nasiruddin Shah.


Berada di tangga keempat Liga Super, T-Team tidak boleh mendabik dada bahawa mereka merupakan pasukan yang lebih unggul ketika Pahang yang masih segar mengejutkan Felda United 1-0 di Stadium Hang Jebat pada pusingan pertama mempunyai elemen untuk mengejutkan anak-anak buah Yunus Alif.


Bersemangat mahu membuktikan Pahang bukan sebuah yang boleh diperkotak-katikkan pada musim ini, pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh sama sekali tidak akan bersikap merendah diri mengenai peluang pasukan dari Liga Perdana untuk meraih kemenangan pada perlawanan hari ini.


''T-Team berada dalam kedudukan baik pada saingan liga sekarang, namun itu tidak menggentarkan keyakinan saya serta para pemain untuk cuba mencatat kemenangan bagi melangkah ke pusingan seterusnya.


''Kami akan memberikan tentangan sengit kepada T-Team dan sama sekali tidak akan mengaku kalah sebelum berjuang. ''Status Pahang selaku pasukan yang datang dari saingan Liga Perdana tidak perlu membuatkan kami berasa merendah diri biarpun kami lebih selesa diletakkan status sebagai pasukan underdog.


''Jika semua pemain dapat mengekalkan rentak cemerlang seperti mana dalam perlawanan terakhir ketika menentang MP Muar, kami mampu mengejutkan lawan," katanya ketika dihubungi, semalam.


Satu lagi fakta yang menarik, pertemuan kedua-dua pasukan juga diibaratkan pertarungan antara dua pakar sepakan percuma, Zairo Anuar Zailani untuk T-Team dan Mohd. Hafiz Kamal.

Monday, March 5, 2012

Corak Permainan Tidak Bertenaga



WALAUPUN merakam kemenangan dan pulang dengan tiga mata, pengendali Terengganu, Mat Zan Mat Aris masih belum berpuas hati dengan mutu permainan anak buahnya ketika menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur, kelmarin.

Katanya, beberapa kesilapan mudah dalam aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka itu begitu merunsingkan tatkala pasukannya akan membuat perhitungan besar dalam perlawanan pembukaan Piala AFC menentang kelab Vietnam, Song Lam Nghe An.


“Corak pemain pada perlawanan itu (Kuala Lumpur) sedikit mengecewakan kerana semua posisi pertahanan, tengah dan penyudah gagal bermain baik dan kami bernasib baik dapat menjaringkan gol,” katanya. Mat Zan berkata, paling ketara adalah empat pemain negara - Ashaari Shamsuddin, Abdul Manaf Mamat, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi - yang mungkin keletihan hingga gagal menunjukkan keserasian dengan rakan sepasukan.


“Saya harap pemain dapat menguatkan mental dan fizikal kerana perlawanan seterusnya amat genting apabila mengharungi Piala AFC dan menanti kunjungan Perak untuk pusingan kedua Piala FA,” kata Mat Zan. Pada perlawanan kelmarin, Terengganu menang tipis selepas penyerang import berbisanya Francis Forkey Doe muncul penyelamat apabila melakukan rembatan pada minit ke-60, sekali gus melonjakkan pasukan ke tangga kedua di belakang Kelantan.


Mat Zan berkata, sebelum terbang ke Vietnam, beberapa kesilapan akan diatasi bagi memperkuatkan setiap posisi kerana kunjungan ke sana bukan saja membawa nama Terengganu malah Malaysia. “Kancah Piala AFC memang satu cabaran besar buat pemain dan apa yang penting, kami akan buat yang terbaik dan mempamerkan persembahan bermutu,” katanya.

jaringan Kemenangan Forky Doe



TERENGGANU berjaya menutup hajat Kuala Lumpur meraih kemenangan sulung Liga Super selepas menang tipis 1-0 ke atas skuad Warga Kota itu di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Aksi berhati-hati kedua pasukan menyaksikan perlawanan hambar walaupun pelawat lebih banyak menguasai permainan pada awal babak saingan.

Namun anak buah Razip Ismail yang mula mendapat rentak menerusi kehadiran Zakaria Charara dari Lubnan dan Emmanuel Ayala Okine dari Ghana selepas 15 minit permainan memiliki lima percubaan tepat menghasilkan jaringan, bagaimanapun kesemuanya hampa buat tuan rumah. Peluang terbaik untuk membuka jaringan buat skuad Warga Kota hadir pada minit ke-16 menerusi Mohamad Afiq dan Pritam Singh (27) sedikit tersasar dan berjaya ditampan kemas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli.


Manakala peluang Sang Penyu pula hadir pada minit ke-26 menerusi Francis Forkey Doe bagaimanapun berjaya dipintas pertahanan Kuala Lumpur dengan keseluruhan babak pertama lebih dikuasai skuad juara hatrik Piala Malaysia 1987-1989 itu. Gol untuk tiga mata berharga Terengganu akhirnya menjelma pada minit ke-60 menerusi rembatan Forkey Doe menewaskan penjaga gol, Mohamad Rozaimi untuk terus membuat Kuala Lumpur menangis tanpa mata.


Kekalahan itu juga meletakkan Kuala Lumpur kekal menghuni tangga terbawah liga dengan hanya mengutip satu mata daripada sembilan perlawanan manakala Mat Zan Mat Aris ceria menyaksikan Terengganu merampas tangga kedua.

Saturday, March 3, 2012

Faiz Penyelamat TTeam



T-TEAM terpaksa menanti jaringan Mohd Faiz Subri pada babak kedua untuk meraih kemenangan tipis, 1-0 walaupun dihidangkan sekurang-kurangnya lima peluang untuk menggegar gawang Sarawak dalam babak pertama saingan Liga Super yang kembali bersambung selepas berehat dua minggu.


Skuad kendalian Yunus Alif itu beraksi dengan baik dalam aksi kesembilan liga apabila menguasai sebahagian besar perlawanan pada babak pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hanya kecekapan penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani menafikan peluang T-Team untuk meledak gol dalam tempoh 45 minit pertama termasuk dua percubaan Mohd Faiz Subri.

Sejurus babak kedua, pasukan pelawat yang dikendali Roberts Alberts cuba mengimbangi corak permainan lawan dengan mengatur beberapa serangan namun masih belum mampu menggegar gawang T-Team yang dikawal Syamsuri Mustafa. T-Team sebaliknya meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-67 apabila Faiz melepaskan rembatan kencang di luar kotak penalti untuk menerjah jaring sebelum sekali lagi mendapat peluang tiga minit kemudian, namun ditepis keluar Sani Anuar.

Bagaimanapun Sarawak berpeluang membawa pulang satu mata namun rembatan kencang pemain gantian, Zamri Morshidi pada minit ke-89 dihalang Syamsuri bagi memastikan tiga mata kekal menjadi milik tuan rumah.

“Saya gembira kami berjaya memungut tiga mata walaupun banyak mensia-siakan peluang. Saya akui Faiz memang memainkan peranan penting apabila diletakkan kembali ke posisi asal iaitu bahagian sayap kiri selepas pada awalnya dikekang lawan apabila diletakkan sebagai penyerang utama,” kata Yunus.

Keputusan ini membolehkan T-Team mencatatkan kemenangan kelima untuk melonjak ke tangga kedua di belakang Kelantan dengan mengumpul 16 mata manakala Sarawak kekal di tangga kelapan liga berbekalkan 11 mata.

Friday, March 2, 2012

TTeam Mahu Kemenangan



BIARPUN beraksi menentang Sarawak di laman sendiri, malam ini, jurulatih T-Team, Yunus Alif tetap cemas dan mengaku anak buahnya bakal berdepan laluan perit dalam misi memburu tiga mata berharga selepas dipaksa bekerja keras dalam kempen Piala FA bertemu Johor minggu lalu.


Menurut Yunus, lawan bukan mudah ditewaskan meskipun berstatus pendatang baru Liga Super. Malah pasukan itu sudah membuktikan kewibawaan ketika bertemu juara dan naib juara Piala FA musim lalu, Terengganu dan Kelantan sebelum ini walaupun tewas.


“Hasil analisis yang dilakukan selepas menyaksikan pertemuan pasukan dengan Johor FC dua minggu lalu, Sarawak tidak boleh diberi ruang terutama kelibat dua pemain importnya yang bijak menghidu peluang menjaringkan gol.


“Selain itu, pertahanan mereka juga kebal mengekang lawan dan ia bakal memberi impak kepada T-Team jika pemain saya gagal bermain dengan baik,” katanya.


Tambah merisaukan bekas pemenang Kasut Emas 1984 itu, ketumpulan jentera serangan yang diketuai bekas penyerang kebangsaan, Mohd Fadzly Saari dan pemain muda berbakat, Mohd Faiz Subri.


Yunus berkata, kelemahan barisan serangan menghidu peluang di depan gol selain tidak berupaya mencipta ruang kepada pemain lain agak mengecewakannya dan beliau berharap perubahan perlu segera dilakukan pemain apabila bertemu Sarawak.


“Sebagai penyerang, mereka perlu menjaringkan gol dan jika itu gagal dilaksanakan, sudah pasti keyakinan mereka beraksi lebih baik tergugat,” katanya sambil menyifatkan banyak peluang yang boleh menghasilkan gol, gagal dimanfaatkan pemain.


Namun, selain gandingan dua penyerang itu, beliau berkata, T-Team juga mempunyai beberapa pemain lain yang boleh diharapkan untuk merobek kubu lawan termasuk Badrul Hisani, Wan Mohd Alif Wan Jasmi dan Khairul Izwan Khalid.