Friday, June 22, 2012

Terlepas Peluang

Biarpun tewas 0-1 apabila Lions XII mencuri mata penuh pada masa kecederaan, jurulatih Terengganu, Peter Butler tidak kecewa dengan aksi skuad bimbingannya di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.


Baginya, apa yang lebih penting anak buahnya telah mempamerkan persembahan yang mantap kerana berjaya mengawal pihak lawan sepanjang permainan, namun kelekaan pemain pada minit-minit terakhir menyebabkan mereka berputih mata.

"Mereka berjaya mengawal permainan dengan baik dan seharusnya kita tidak layak untuk kalah, namun kemenangan mereka (Lions XII) adalah adil dan kita terpaksa menyalahkan pasukan kita sendiri.

"Begitu pun, saya berpuas hati dengan permainan mereka kerana kita telah membuktikan kita mampu menyaingi pendahulu Liga Super itu," katanya.

Jelasnya, pemain bermain dengan baik kelmarin, namun sepanjang perlawanan, mereka dilihat kurang fokus sehingga gagal mempertahankan gawang sehingga ke masa penamat.

"Kekalahan memang mengecewakan tetapi kita perlu tingkatkan permainan dan harus menang untuk semua baki perlawanan," jelas bekas jurulatih Kelantan itu.

gambar cantik ni Joephoto yang punya.

Tuesday, June 19, 2012

Doe Tiada, Manaf Ada

Walaupun tanpa penyerang berbisanya Francis Forkey Doe, Terengganu tidak gusar untuk bertemu Lions XII dalam pertandingan Liga Super di sini esok.

"Kita masih ada ramai lagi pemain tempatan yang baik dan mampu memberikan cabaran kepada pasukan dari seberang Tambak Johor itu," kata Penolong Pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Syeikh Yusof kepada Bernama.


Beliau berkata Terengganu tetap yakin untuk menang kerana pernah mengalahkan Lions XII 1-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura dalam pusingan pertama Liga Super pada 28 Januari lalu.

Forkey Doe yang berasal dari Liberia dipanggil balik untuk menyertai pasukan negaranya dalam kejohanan kelayakan Piala Dunia bagi zon Afrika dan dijadual pulang semula ke Terengganu lusa.

Sheikh Tajudin berkata semasa ketiadaan Forkey Doe, Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahaya akan digabung sebagai penggempur utama.

"Kita juga merasa gembira kerana semua pemain termasuk Mohd Faizal Muhamad yang telah bebas dari penggantungan, tiada masalah untuk diturunkan," katanya.

Namun beliau tetap berwaspada dengan prestasi Lions XII yang membelasah Sabah 9-0 Sabtu lepas

Monday, June 18, 2012

Tanpa Doe Terengganu boleh Menang

PENGENDALI Terengganu, Peter James Butler tersenyum puas selepas anak buahnya kembali menemui sentuhan pemusnah apabila berjaya menumpaskan skuad ‘adik’ T-Team, 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Jumaat lalu.



Kemenangan bergaya itu kemenangan kali pertama buat pengendali dari England itu selepas mengambil alih tugas daripada jurulatih Mat Zan Mat Aris 1 Jun lalu.

“Saya puas hati dengan persembahan pemain yang sentiasa bekerja keras memburu jaringan dan hasilnya kita berjaya mencatat kemenangan besar,” katanya yang mengaku tidak merasai kehilangan penyerang import, Francis Forkey Doe kerana pemain lain terutama Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahaya mampu memikul tugas yang diberikan.

Sementara itu, jurulatih T-Team, Yunus Alif tidak senang dengan aksi dipamerkan anak buahnya yang agak longgar dan terlalu memberi ruang kepada lawan menguasai permainan.

“Saya harap pemain mampu bangkit pada pertemuan dengan Selangor di laman lawan, malam esok terutama untuk memburu tiga mata bagi memperbaiki kedudukan liga,” katanya yang turut mengharapkan kapten, Zairo Anuar Zailani sembuh daripada kecederaan.

Friday, June 15, 2012

Manaf kembali

Penyerang Terengganu Abdul Manaf Mamat kembali cergas setelah direhatkan sementara selepas menjalani pembedahan di bahagian buku lali awal bulan lalu.

Pemain yang berusia 25 tahun itu bertekad akan memberikan aksi terbaik jika ketua jurulatih pasukan itu Peter Butler memberi peluang beraksi menentang pasukan T-Team, Jumaat ini.

Katanya beliau yakin mampu mempamerkan aksi kosisten berdasarkan kecederaan yang dialaminya semakin pulih dan kini kembali menjalani sesi latihan seperti biasa.

"Sebelum ini doktor menyarankan sekurang-kurangnya saya berehat selama dua bulan bagi memastikan kecederaan yang dialami betul-betul sembuh.

"Bagaimanapun saya tetap membuat latihan yang ringan bagi mengekalkan stamina, selain turut diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang pasukan Pro Duta FC, Sabtu lalu bagi menguji tahap kecergasan," katanya ketika dihubungi.

Selain Abdul Manaf, dua lagi pemain tengah pasukan itu Ahmad Nordin Alias dan Reeshafiq Alwi yang sudah menunjukkan tanda positif kembali cergas.

Sementara itu ketua pasukan Marzuki Yusof masih lagi direhatkan kerana masih belum sembuh selepas menjalani pembedahan.

Abdul Manaf berkata walaupun kesan pembedahan itu mungkin memakan masa selama dua bulan sebelum dia dapat kembali beraksi seperti biasa namun dia yakin kembali cergas apabila beraksi nanti.

Terengganu kini menghuni tangga keenam dengan mengumpul 27 mata dalam saingan Liga Super manakala pasukannya kelab dari Terengganu, T-Team ditangga keempat dengan kutipan mata yang sama namun berbeza dari sudut jaringan

Thursday, June 14, 2012

Forkey Doe Belum Balik


Kehilangan penyerang berbisa Francis Forkey Doe menjadi tanda tanya kepada jurulatih Terengganu, Peter Butler ketika melakukan percaturan pemain bagi menghadapi pasukan T-Team pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam esok.

Pemain berusia 26 tahun dari Liberia itu, yang menjadi idola peminat skuad Penyu itu, masih belum pulang ke pangkuan pasukan selepas menggalas misi antarabangsa bersama pasukan negaranya.

Kegagalan Forkey Doe pulang ke Terengganu tanpa sebarang berita telah menimbulkan kebimbangan dan kekecewaan kepada Butler yang terpaksa berdepan dengan masalah tiga lagi pemain tonggak yang masih belum pulih daripada kecederaan.

"Beliau sepatutnya kembali pada 4 Jun lalu tetapi belum lagi...beliau juga tidak menghubungi saya atau pihak pengurusan untuk menjelaskan perkara sebenar," kata Butler kepada pemberita di sini hari ini.

"Saya amat kecewa dengan kelakuannya...kita mahukan pemain yang komited dan dia tidak menunjukkan apa-apa komitmen kepada saya atau pasukan," jelasnya.

Selain Forkey Doe yang 'hilang' tanpa berita, ketua pasukan Marzuki Yusof, Ashaari Shamsudin dan pemain import Erison Da Silva dari Brazil masih belum pulih daripada kecederaan.

Bagaimanapun, Butler menegaskan bahawa pasukannya mempunyai pemain yang mampu merobek gawang lawan bagi mengumpul mata penuh pada aksi menentang pasukan yang berstatus kelab itu.

Jelasnya kedudukan itu tidak mencacatkan barisan penyerang apabila Abdul Manaf Mamat telah kembali untuk meneruskan pertarungan walaupun masih belum pulih 100 peratus daripada kecederaan selepas menjalani pembedahan di bahagian buku lali, awal bulan lepas.

Sementara itu jurulatih T-Team Yunus Alif berkata pihaknya kehilangan kapten Zairo Anuar Zailani yang mengalami kecederaan pangkal paha serta penyerang Brazil, Marco Tulio, yang mengalami ketegangan otot betis.

"Kehilangan kedua-dua pemain itu adalah satu tamparan besar kepada kami tetapi kami mempunyai Faiz Subri dan Fadzli Shaari yang boleh meningkatkan serta mengerakkan jentera pasukan.

Terengganu kini menghuni tangga keenam dengan mengumpul 27 mata dalam saingan Liga Super manakala T-Team di tangga keempat dengan kutipan mata yang sama namun berbeza dari segi jaringan

Monday, June 11, 2012

Pemain Perlu Berubah - Jika Mahu Menang


Jentera serangan Terengganu yang dilihat tumpul harus diatasi segera sekiranya mahu mempamerkan aksi garang menjelang pertemuan saingan Liga Super berbaki sembilan perlawanan dengan pasukan 'adiknya' T-Team Jumaat ini.

Perlawanan tersebut akan bermula pada 8.45 malam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di mana akan beraksi perlawanan pembukaan tunggal setelah saingan Liga Super yang berhenti berehat selama tiga minggu kembali berlangsung.

Jurulatihnya Peter James Butler berkata, beliau akan memperbaiki kelemahan itu namun tidak menolak kelemahan di barisan hadapan ini mungkin disebabkan ketiadaan penyerang lincah kelahiran Liberia, Francis Forkey Doe."Doe dijangka akan kembali ke Terengganu untuk pertemuan menentang T-Team.

"Mungkin juga pemain-pemain ini prestasinya masih lembab setelah berehat agak panjang," katanya kepada Bernama selepas tamat perlawanan persahabatan Siri Nusantara skuad Penyu menetang kelab Pro Duta FC Medan, Indonesia yang berkesudahan seri tanpa jaringan di sini malam tadi.

Frokey Doe direhatkan kerana pulang membantu negaranya untuk saingan kelayakan seterusnya Piala Dunia 2014 Zon Afrika.

Tambahan pula, bekas jurulatih Kelantan ini berkata Terengganu menurunkan pemain-pemain barisan hadapan yang baru pulih daripada kecederaan seperti Abdul Manaf Mamat, Ahmad Nordin Alias dan Reeshafiq Alwi.


"Mereka masih dalam pemulihan dan mungkin pergerakan mereka tidaklah mantap sepenuhnya lagi," katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Walau apapun Buttler menyifatkan perlawanan menentang kelab dari Medan adalah sebagai pemanas badan dan juga medan untuk menguji ketangkasan anak buahnya setelah sekian lama berehat di samping mempunyai perancangan tersendiri.

"Ketika kita bermain dengan Kelantan dalam cabaran Piala AFC tempoh hari, terutamanya pada babak kedua kita telah mengubah corak permainan menyebabkan kita memperoleh dua gol dalam tempoh beberapa minit walaupun akhirnya kalah (3-2).

"Jangan risau, saya sudah lama dalam bidang kejurulatihan dan saya memang tahu apa hendak dilakukan bagai mengatasi masalah itu nanti," katanya.-

Friday, June 8, 2012

Terengganu vs Pro Duta FC

Tiga tonggak utama pasukan Terengganu yang sebelum ini terpaksa direhatkan kerana kecederaan bakal diuji apabila mereka diturunkan pada perlawanan persahabatan Nusantara menentang sebuah pasukan kelab dari Indonesia, Pro Duta FC dari Medan pada Sabtu ini.

Perlawanan persahabatan tersebut akan berlangsung pada 8.45 malam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Penolong pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Ahmad Tajudin Sheikh Yusof berkata, Abdul Manaf Mamat, Ahmad Nordin Alias, kedua-duanya penyerang dan pemain tengah, Reeshafiq Alwi yang sudah menunjukkan tanda positif kembali cergas.

“Ini satu berita yang menggembirakan buat Terengganu kerana khidmat mereka sangat ditagih dan diperlukan terutama ketika saingan Liga Super yang sudah hampir ke kemuncaknya,” katanya. Sheikh Ahmad Tajudin yang juga naib presiden Persatuan Bola sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, bagaimanapun ketua pasukan, Marzuki Yusof masih lagi direhatkan kerana pembedahan kecederaan yang dialaminya masih belum sembuh sepenuhnya.

Katanya tiga lagi pemain skuad Peteh Ganu Peteh tidak akan beraksi dalam perlawanan persahabatan itu kerana mereka akan menggalas tugas beraksi dalam skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal dalam perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Singapura malam ini di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Tiga pemain Terengganu yang dipinjamkan itu ialah penjaga gawang, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mohd Faizal Muhamad (pertahanan) dan Mohamad Ashari Samsudin (tengah).

Saturday, June 2, 2012

Ingin Selasai secara Baik

BEKAS ketua jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris berharap, isu penamatan kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dapat diselesaikan secara baik dan tidak perlu diheret ke mahkamah. 

Pengendali yang berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, sekiranya PBSNT bersetuju dengan tuntutan pembayaran gaji sehingga akhir tahun, masalah penamatan kontrak itu sudah pasti dapat diselesaikan.
Mat Zan yang menamatkan tempoh ‘rehat’ sebulan semalam, berkata masih belum ada berita daripada PBSNT mengenai kedudukannya dalam pasukan.


Jurulatih 54 tahun itu yang tempatnya kini diambil bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler berkata, tidak keterlaluan untuknya meminta majikannya membayar gaji sehingga hujung tahun ini kerana dia mengikat kontrak dua tahun. 

“Saya ada meminta pandangan dan nasihat beberapa jurulatih lain yang pernah ditamatkan kontrak lebih awal, dan saya dapati majikan mereka bertindak adil dan saksama dengan membayar pampasan sewajarnya. 

“Saya juga ingin mendapat sedikit keadilan daripada majikan dan saya harap mereka akan menghubungi saya dengan berita yang menggembirakan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Namun Mat Zan berkata, sehingga kini dia tidak mengetahui status sebenar dan kedudukannya dengan PBSNT, sebaliknya hanya bersikap menunggu dan hanya mengetahui melalui media. 

“Saya tidak tahu masalah yang saya hadapi kini kerana tidak ada hitam putih dari PBSNT, sebaliknya hanya menerima notis meminta saya menjawab surat tunjuk sebab punca kemerosotan pasukan,” katanya yang bersuara selepas terbaca laporan PBSNT terpaksa menggunakan mahkamah selepas gagal mencapai penyelesaian berhubung penamatan kontrak kerana Mat Zan menolak pampasan dua bulan gaji.