Monday, September 19, 2011

Menang tipis


TIGA mata yang diraih di gelanggang sendiri malam kelmarin masih belum mampu mengubat kekecewaan Irfan Bakti yang sedikit berang dengan sikap mementingkan diri sendiri beberapa pemainnya.

Menurut jurulatih Terengganu itu, sikap seperti itu hampir memakan diri apabila anak-anak buahnya sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan kerdil, KL Sime Darby pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia.

Mujur aksi lincah pemain kebangsaan, Ashaari Shamsudin berjaya menghadirkan jaringan tunggal pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu.

"Kami menang perlawanan ini dan berjaya mendapat tiga mata, namun saya boleh kata ini adalah permainan terburuk kami.

"Ada beberapa pemain yang saya lihat hanya pentingkan diri sendiri sehingga merosakkan sedikit permainan kami," kata Irfan semalam.

Bagaimanapun, tiga mata yang diraih juara Piala FA itu kelmarin masih gagal membantu mereka menguasai kedudukan kumpulan apabila sekadar berkongsi sembilan mata dengan pendahulu, Negeri Sembilan.

Selangor PKNS pula terus menghidupkan peluang apabila mengekori di tempat ketiga dengan enam mata, sementara Sime Darby masih gagal mengutip sebarang mata.

"Pasukan lawan tahu yang mereka mungkin sudah tidak mempunyai peluang dalam saingan ini, jadi pemain mereka bermain dalam keadaan tenang tanpa tertekan.

"Harus juga diingat, hampir enam pemain utama Sime Darby tidak beraksi pada perlawanan ini (kelmarin) dan mereka hanya menurunkan barisan simpanan.

"Namun, kami masih gagal beraksi dengan baik," jelasnya.

Mengenai strategi menurunkan penyerang muda, Ailim Fahmi Kamaruddin untuk bergandingan dengan Abdul Manaf Mamat, Irfan menjelaskan keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan tahap kesihatan Abdul Hadi Yahya masih belum baik.

"Saya tidak ada pilihan, tetapi selepas melihat persembahan Ailim pada awal babak pertama, saya terpaksa juga menurunkan Hadi.

"Inilah risiko yang perlu saya hadapi apabila beberapa pemain utama saya termasuk Joseph Kalang dan Helmi Rameli masih belum cergas," ujarnya.

No comments:

Post a Comment