WALAUPUN dimalukan T-Team, 0-1 dalam saingan Piala Malaysia malam kelmarin, pengendali skuad Merah Kuning, K Devan, tidak mahu cepat melatah dan tetap berfikiran positif bagi mengharungi perlawanan seterusnya.
“Buat masa ini saya rasa tidak perlu panik kerana kita kalah ketika beraksi di tempat lawan. Kami akur T-Team pasukan yang boleh memberi saingan kepada kami.
“Kalau kalah dengan Polis atau Kuala Lumpur, itu satu yang tidak boleh diterima dan mungkin boleh menggugat kedudukan kami layak ke suku akhir,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Penaja Kejohanan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Hotel Concorde, Shah Alam semalam.
Devan turut mengakui pasukannya kurang agresif setiap kali beraksi di Terengganu dan Kelantan namun tetap berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemainnya.
“Saya rasa puas hati dengan persembahan pemain dan mungkin perkara yang membezakan kami adalah mereka dapat menjaringkan gol dengan peluang yang mereka cipta, sedangkan kami gagal.
“Bukan mudah bermain di Kelantan dan Terengganu. Seperti mana yang kami tahu apabila pergi ke sana kami kena lebih agresif. Kalau tidak dapat menyaingi sikap agresif yang ditunjukkan pasukan seperti Kelantan dan Terengganu, mungkin sukar untuk menang.”
No comments:
Post a Comment