Tuesday, March 30, 2010

Terengganu Pilihan Jurulatih


Persoalan pasukan manakah yang mampu mara ke perlawanan akhir Piala FA 2010, bakal terjawab mulai malam ini dengan pertemuan pertama suku akhir di Shah Alam dan Kuala Terengganu, sebelum disusuli episod kedua di Seremban serta Alor Setar pada 3 April nanti.

Umpama mewakili setiap zon yang mana Selangor dari pantai barat, Terengganu mengibar harapan pantai timur manakala Kedah, jaguh dari utara dan Negeri Sembilan membawa cabaran dari selatan.

Persaingan kali ini cukup menarik untuk diperkatakan, tambahan keempat-empat negeri mempunyai sokongan peminat yang ramai.

Secara kasar, kesemua pasukan ini ada kemampuan untuk layak ke perlawanan akhir pada 10 April ini berdasarkan 'senjata' tersendiri yang ada pada setiap pasukan.

Namun, berdasarkan ramalan serta pengamatan kebanyakan jurulatih, mereka semua sepakat menyatakan juara bertahan, Selangor dan Terengganu merupakan pilihan untuk beraksi di pentas akhir berbanding, Kedah serta Negeri Sembilan.

Bagi jurulatih Perlis, Nidzam Adha Yusof, beliau memilih Selangor dan Terengganu kerana mendapati kedua-dua pasukan mempunyai keunggulan tersendiri selain tahap permainan yang konsisten.

''Antara Selangor dan Negeri Sembilan, pilihan saya adalah Selangor kerana mereka begitu berpengalaman bermain di peringkat sebegini, selain mempunyai kekuatan pemain yang menyeluruh.

''Bukan untuk menidakkan keupayaan Negeri Sembilan, namun saya nampak Selangor begitu kuat dan sukar dikalahkan pada masa sekarang.

''Sementara itu, Terengganu pula nampak semakin yakin selepas membuat kebangkitan di peringkat suku akhir daripada ketinggalan 1-3 pada pertemuan pertama kepada T-Team sebelum menang 4-1. Ternyata anak-anak buah Irfan Bakti ada kekuatan mental yang diperlukan untuk bersaing pada tahap ini, '' katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Nada yang sama turut diluahkan oleh jurulatih Harimau Muda B, Ong Kim Swee, yang menganggap Selangor layak dilabel pasukan pilihan berdasarkan rekod mereka pada saingan Piala FA dan Terengganu, yang semakin hebat di bawah sentuhan Irfan Bakti.

''Saya cukup berminat melihat perkembangan Terengganu yang begitu cemerlang pada musim ini berdasarkan persembahan konsisten mereka di liga.

''Tidak nafikan Irfan adalah seorang jurulatih yang baik dan cemerlang, untuk mengubah keputusan perlawanan pertama dari 1-3 dan menang 4-1, anda memerlukan seorang jurulatih yang bagus,'' ujarnya.

Bagaimanapun, Kim Swee beranggapan adalah sesuatu yang tidak adil jika menganggap lawan Terengganu, tidak berpeluang untuk mara walaupun mempamerkan aksi kurang konsisten musim ini.

''Masalah Kedah hanya satu iaitu mereka begitu bergelut ketika bermain di laman sendiri. Jika mereka berjaya mengubah situasi terbabit, saya lihat Terengganu akan berdepan masalah besar untuk mengatasi anak-anak buah Ahmad Yusof,'' katanya.

Di sebalik ramalan kedua-dua jurulatih itu, Dollah Salleh berpendapat Negeri Sembilan boleh membuat kejutan menewaskan Selangor kerana melihat pertemuan antara dua negeri itu seimbang serta 50-50.

''Sukar untuk memilih di antara kedua-dua pasukan ini, kita sedia maklum Selangor amat digeruni berdasarkan rekod mereka dalam Liga Super di samping mempunyai ramai pemain berkaliber. Namun, Negeri Sembilan tidak boleh diperkecilkan kerana barisan pemainnya amat berpengalaman seperti Idris Karim serta Shukor Adan.

''Satu lagi persaingan separuh akhir, saya memilih Terengganu untuk mengatasi Kedah,'' katanya.

Sementara itu, jurulatih Selangor K. Devan berhasrat memburu kemenangan selesa ke atas Negeri Sembilan, sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol sebelum bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 3 April depan.

Namun begitu, Devan masih menghormati kemampuan skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan, sambil menyifatkan rekod Negeri Sembilan dalam pertandingan Piala FA tahun ini lebih baik berbanding pasukannya.

''Sepanjang laluan kami ke suku akhir, kami hanya menghadapi dua pasukan dari Liga Perdana, PKNS dan Pos Malaysia sedangkan Negeri Sembilan berjaya menyingkirkan dua pasukan Liga Super, Johor FC dan KL Plus.

''Oleh itu, saya sifatkan esok (hari ini) merupakan ujian sebenar kepada kekuatan Selangor dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala FA '' katanya yang ditemui selepas sesi latihan skuad Selangor di Stadium Shah Alam, petang semalam.

Kapten Selangor, Amri Yahyah berazam mahu membantu Selangor menjuarai Piala FA sekali lagi pada tahun ini serta kali keempat sepanjang bersama skuad Merah Kuning.

''Bagaimanapun, saya menasihatkan rakan sepasukan jangan terlalu yakin dan memandang kepada kemampuan Negeri Sembilan. Biarpun rekod lalu memihak kepada kita, ia bukan ukuran sebenar untuk perlawanan pada hari esok (hari ini).

No comments:

Post a Comment