Monday, April 19, 2010

Irfan Kecewa


KESABARAN jurulatih Terengganu, Irfan Bakti tiba-tiba meletus sebaik sahaja melihat anak-anak buahnya tewas 0-2 kepada Johor FC pada aksi Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang kelmarin.

Pada perlawanan itu, Helmi Abdul Manan dan Mohd. Fazuan masing-masing meledak satu gol untuk menghadiahkan tiga mata penting buat pasukan tuan rumah.


Kemenangan itu sekali gus membolehkan Johor FC memintas Terengganu di tangga kedua untuk berada empat mata di belakang pendahulu, Selangor.

Bagi Irfan, kekalahan itu merupakan sesuatu yang sukar diterima ketika anak-anak buahnya berjaya mencipta banyak ruang untuk menjaringkan gol.

"Saya kecewa kerana pemain saya tidak boleh menjaringkan gol sedangkan peluang sudah ada di depan mata. Inilah yang menghairan- kan saya.

"Saya ingin memberi kredit kepada barisan pertahanan yang diketuai Marzuki Yusof kerana mampu bertahan dengan baik walaupun akhirnya kami dibolosi dua gol," jelas Irfan.

Ditanya adakah ketiadaan penyerang prolifik, Abdul Manaf Mamat yang digantung satu perlawanan menyebabkan Terengganu tewas, Irfan bingkas menafikan hakikat itu.

"Saya paling tidak suka apabila orang kata Terengganu akan kalah kalau tiada Manaf. Begitu juga masa ketiadaan Marzuki sebelum ini. Orang sering menjadikan itu sebagai alasan.

"Saya tidak boleh menerima alasan itu kerana kami bermain dalam satu pasukan. Semua pemain ada tanggungjawab masing-masing," tegasnya.

Tambah Irfan lagi, masalah yang dihadapi Terengganu kini adalah pemain yang dipertanggungjawabkan untuk mengemudi jentera serangan gagal melaksanakan tugasan mereka dengan baik.

"Saya sudah beri kepercayaan kepada mereka tetapi mereka tidak ambil peluang ini.

"Sepatutnya, kami boleh meraih sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan malam tadi (kelmarin), namun ketumpulan jentera sera- ngan telah menafikan peluang kami," jelas Irfan.

Pada perlawanan kelmarin, Terengganu yang tewas pada separuh akhir Piala FA awal bulan ini turun di gelanggang lawan tanpa kelibat Manaf selaku penjaring utama selain Firdaus Faudzi yang digantung dua perlawanan.

Ketiadaan Manaf dan Firdaus menyaksikan jentera serangan skuad Penyu diketuai oleh pemain kebangsaan, Ashaari Samsudin, K. Rajan, Joseph Kalang dan bintang muda, Wan Mohd. Aliff Wan Jasmi.

Begitupun, bekas pengendali skuad Perlis itu belum mahu menyerah kalah dalam pemburuan kejuaraan Liga Super musim ini.

"Sasaran kami memang untuk memburu piala tetapi apa yang penting sekarang adalah meletakkan Terengganu di kedudukan teratas liga.

"Saya harap pemain dapat mengambil iktibar daripada kekalahan ini kerana persaingan masih lagi panjang dan setiap pasukan juga masih mempunyai peluang," ujarnya.

No comments:

Post a Comment