Saturday, February 12, 2011

Singa Tersungkur digelanggang sendiri.


Hasrat Perlis untuk memungut mata pertama musim ini tidak berjaya apabila tewas 1-3 kepada Terengganu dalam perlawanan ketiga Liga Super 2011 di Stadium Utama, Kangar semalam.

Perlis tersentak dengan jaringan pertama Terengganu melalui jaringan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-23 selepas dia tidak dikawal dalam petak penalti dengan mudah menolak masuk hantaran leret Joseph Kalang Tie.

Tiga minit selepas itu kealpaan skuad Singa Utara dihukum lagi, kali ini giliran pemain kebangsaan, Mohd. Ashaari Shamsuddin mencatat nama sebagai penjaring bagi membolehkan Terengganu mendahului 2-0 pada separuh masa kedua.

Peluang Perlis untuk bangkit pada separuh masa kedua seakan tertutup apabila pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim memperoleh gol ketiga pada minit ke-59 melalui jaringan penalti Abdul Manaf Mamat.

Bagaimanapun, Perlis berjaya memperoleh gol saguhati 10 minit kemudian apabila Mohd. Hafiszuan Salehuddin berjaya melakukan rembatan jarak jauh deras dari luar petak penalti menewaskan Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Ketika Perlis cuba bangkit pada baki perlawanan mereka tersentak dengan pemberian kad merah oleh pengadil perlawanan kepada Hafiszuan yang menerima kad kuning kedua pada minit ke-75 kerana membantah keputusan pengadil.

No comments:

Post a Comment