Pengurus T-Team, Rozi Mamat mengesahkan bekas pemain bola sepak Terengganu, Yusuf Ali dan Che Wan Marzuki Che Wan Mohd. Noor (gambar) diberi tanggungjawab sebagai jurulatih sementara pasukan itu berkuatkuasa serta merta.
Rozi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata, dua jurulatih itu diberi amanah mengambil alih tugas Yunus Alif yang kini direhatkan sementara sejak kelmarin.
Menurutnya, keputusan itu dibuat hasil perbincangan dan persidangan peringkat pengurusan serta jawatankuasa berkaitan sebelum merehatkan Yunus demi kepentingan pasukan.
Jelasnya, tugasan Yusuf dan Che Wan Marzuki akan diteliti untuk memastikan prestasi pasukan kembali memuncak dan sekiranya pengurusan berpuas hati, khidmat kedua-dua jurulatih itu berkemungkinan akan diteruskan.
"Banyak tekanan diterima kerana T-Team tidak begitu konsisten sehingga peminat tak puas hati, Jadi kita terpaksa rehatkan Yunus Alif untuk sementara," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Rozi berkata, semua pihak perlu bertanggungjawab untuk memastikan dua pasukan yang mewakili negeri ini iaitu skuad Terengganu dan T-Team menunjukkan prestasi membanggakan.
Jelasnya, Terengganu meletakkan sasaran salah satu daripada pasukan tersebut mampu menggenggam kejuaraan Liga Piala musim ini.
"Pada masa ini, skuad Terengganu pada kelompok atas liga manakala T-Team masih lemah. Kita harap dengan jurulatih baru ini, T-Team akan bangkit semula," katanya
No comments:
Post a Comment