Selepas berada dalam keadaan tertekan akibat tiga kekalahan berturut-turut, pasukan berstatus kelab, T-Team akhirnya menarik nafas lega apabila menumpaskan pendahulu Liga Super, Perak 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.
Jurulatih T-Team, Yunus Alif mengakui, pasukannya begitu tertekan selepas mengharungi tiga perlawanan yang hambar."Saya akui pemain saya begitu tertekan setelah kalah tiga kali berturut-turut walaupun kita bermula baik dalam saingan Liga Super.
"Tekanan itu sebenarnya masih dirasai sehingga perlawanan malam ini dan kesan daripada itu, banyak peluang terhidang gagal disempurnakan walaupun kita menguasai separuh masa pertama."Bagaimanapun, saya bersyukur kerana pada separuh masa kedua, pemain-pemain saya kembali bersemangat dan berjaya menjaringkan gol," katanya, yang mengakui kemenangan itu juga telah menyuntik moral pemainnya untuk terus bangkit pada aksi seterusnya.Dalam perlawanan kelmarin, kedua-dua gol T-Team disempurnakan oleh Bojan Petric pada minit ke-56, diikuti sepakan penalti yang disempurnakan ketua pasukan, Zairo Anuar Zailani beberapa minit sebelum wisel penamat ditiupkan.
Sementara itu, Yunus turut menyentuh mengenai kekosongan posisi pemain import yang ditinggalkan pemain kelahiran Zambia, Zacharia Simukonda.Beliau mengakui, sudah 'tawar hati' untuk meneruskan usaha menguji pemain baru memandangkan hampir semua pemain yang diuji tidak memenuhi kriteria selaku pemain profesional seperti yang dikehendaki.
"Bagaimana kita hendak ambil (pemain import) kalau mereka sendiri pun bermain tidak bagus dan kebanyakan yang datang pun tidak berkualiti."Jadi, buat apa kita berbelanja besar untuk mengambil pemain import seperti ini. Tengoklah macam mana dulu. Kalau tidakpun, kita tumpukan pada pemain tempatan sahaja," katanya.
No comments:
Post a Comment