Monday, May 28, 2012

Kursus Pembangunan Penyokong Kelab




Pada 12-13 Mac 2012 di Hotel Blue Wave, Shah Alam.

Friday, May 25, 2012

kerja berat untuk Butler

Pasukan Terengganu sekali lagi dirundum malang, apabila gagal melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila tewas tipis, 2-3 kepada Kelantan dalam saingan kalah mati pusingan kedua kejohanan itu di Stadium Sultan Mahmud IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Sebelum ini, Juara FA musim lalu itu gagal beraksi ke pentas final Piala FA, setelah tewas dengan agreget 1-2 ke atas KL Sime Darby pada aksi kedua perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Mei lalu.

Justeru pengendalinya, Peter Butler akan membuat perubahan besar kepada pasukannya berikutan .  kehilangan 2-3 pada perlawanan malam kelmarin  

Menurutnya, banyak perkara perlu dilakukan selepas ini dalam usaha menaikkan semula moral anak buahnya seterusnya memupuk ciri-ciri yang perlu ada untuk membentuk satu pasukan yang hebat.

"Kita memberi tiga gol mengejutkan kepada pasukan tuan rumah, ini adalah kecuaian kita dan pasukan Kelantan cepat menyesuaikan diri ketika bermain di atas padang yang basah dan mereka bermain dengan baik.
"Secara keseluruhannya, kita gagal beraksi dengan baik malam ini (kelmarin), namun saya amat bangga kerana pemain mampu bangkit pada babak kedua perlawanan," katanya ketika ditemui sejurus selepas perlawanan tamat.

Dalam pada itu, Butler tetap optimis bahawa pasukan Terengganu mampu membuat kejutan berdasarkan prestasi dan keupayaan pemain, namun kerja keras perlu dilakukan bagi membentuk sebuah pasukan yang mempunyai keyakinan diri dalam mengharungi perlawanan akan datang.

Katanya, Terengganu mempunyai pemain yang bagus dan berkebolehan namun mereka perlu membina karator masing-masing sebagai sebuah pasukan dengan disiplin yang tinggi.

"Justeru, kami perlu pandang ke hadapan dengan memperbaiki kelemahan yang ada dan saya menuntut mereka (pemain) memberikan kerjasama yang padu sepanjang sesi latihan menjelang saingan Liga Super yang masih berbaki sembilan perlawanan.

"Saya mahukan pemain mampu bermain pada tahap yang terbaik dan saya yakin mereka mampu memberikan yang terbaik dengan kelasnya yang tersendiri sebagai sebuah pasukan selepas ini," katanya.

Pada pertembungan malam kelmarin, Terengganu dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah seawal minit kedua perlawanan bermula menerusi penyerangnya, Mohd Nor Farhan Muhammad.

Biarpun terpaksa beraksi di atas padang yang basah akibat hujan lebat sebelum perlawanan berlangsung, namun pasukan Kelantan cepat menyesuakan diri dengan melancarkan serangan dan berjaya menggandakan kedudukan, melalui tandukan Nor Farhan pada minit ke-19 yang bijak mengambil peluang akibat keadaan kucar kacir di depan gawang skuad Penyu.

Tertekan dengan asakan pasukan tuan rumah, skuad kendalian Butler sesekali melancarkan serangan namun kekentalan benteng pertahanan Red Warriors yang dikawal rapi, Mohd Rizal Fahmi nyata sukar dibolosi.

Tuan rumah sekali lagi menambah derita pasukan Terengganu yang tertinggal dua gol dibelakang dengan gol ketiga menerusi sepakan percuma Rizal Fahmi Rosid yang gagal diselamatkan Sharbinee Allawee Ramli pada masa kecederaan babak pertama untuk memberi pendahuluan selesa 3-0 buat skuad kendalian Bojan Hodak itu.

Bagaimanapun masuk babak kedua perlawanan menyaksikan Terengganu bangkit memperkemaskan jentera serangan dan memperoleh gol pertama menerusi sepakan lencong Ismail Faruqi Ashari yang menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-56.

Pun begitu, tindakan pemain import Kelantan, Obinna Nwaneri yang menjatuhkan Abdul Hadi Yahaya di dalam kotak penalti bukan sahaja menyebabkan dia dilayankan kad merah malah memaksa tuan rumah beraksi dengan 10 pemain dan memberi peluang kepada Terengganu merapatkan kedudukkan, 2-3 menerusi sepakan percuma Francis Forkey Doe pada minit ke-84.

Biarpun Terengganu berusaha mencari gol penyamaan bagi mengheret permainan ke masa tambahan, namun benteng pertahanan Kelantan nyata kebal dan sukar dibolisi sehingga perlawanan masa tambahan berakhir.

Pada pertemuan sengit antara dua gergasi pantai timur itu, menyaksikan dua kad kuning dilayangkan oleh pengadil perlawanan dari Kuwait, Yousef Almarzouq, kepada pemain Terengganu, Francis Forkey Doe dan Hariri, manakala satu kad merah kepada pemain Kelantan, Obinna Nwaneri.


Gambar  cantik ini oleh Joe Photo 

Thursday, May 24, 2012

Tewas Dalam Padang Becak

MASIH segar dengan kejayaan menjulang Piala FA buat kali pertama Sabtu lalu, Kelantan mencipta satu lagi sejarah apabila melangkah ke suku akhir Piala AFC 2012 selepas menewaskan Terengganu 3-2 pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. 

Perlawanan yang bermula lewat 40 minit akibat hujan lebat dan padang bertakung, tidak menghalang tuan rumah meneruskan kegarangan mereka apabila mendahului 1-0 seawal minit kedua menerusi penyudah Nor Farhan Muhammad.

Kelantan menggandakan kedudukan, juga hasil jaringan Nor Farhan pada minit ke-18, sebelum sepakan percuma kencang Rizal Fahmi Rosid gagal diselamatkan Sharbinee Allawee Ramli pada masa kecederaan babak pertama untuk memberi pendahuluan selesa 3-0 buat skuad kendalian Bojan Hodak itu.

Namun Terengganu yang dibimbing bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler bangkit pada babak kedua dengan memperoleh gol pertama menerusi sepakan lencong Ismail Faruqi Ashari yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-56. 

Kelantan terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-81 selepas Obinna Nwaneri dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Abdul Hadi Yahaya di dalam kotak penalti dan Terengganu merapatkan kedudukan 3-2 hasil sepakan penalti yang disempurnakan Francis Forkey Doe, dua minit kemudian. 

Biarpun Terengganu berusaha mencari gol penyamaan bagi mengheret permainan ke masa tambahan, benteng pertahanan Kelantan kebal mempertahankan kelebihan satu gol itu untuk memastikan mereka mara ke peringkat suku akhir yang dijadual berlangsung secara timbal balik, 18 dan 25 September depan.

Wednesday, May 23, 2012

Pertembungan Dua Jaguh Pantai Timur

Pusingan kedua Piala AFC secara kalah mati.

Penyokong Terengganu sila berada 
di Stadium Sultan Muhammad IV   
Manakala
Penonton Terengganu sila berada 
di depan TV masing2 buka TV1 RTM.

Butler vs Bojan

PERTEMBUNGAN dua wakil Malaysia, Kelantan dan Terengganu pada pusingan kedua Piala AFC malam ini sudah pasti ditunggu-tunggu oleh penyokong setia kedua-dua pasukan.

Bagi Kelantan, skuad The Red Warriors itu jelas sekali berada pada kemuncak prestasi selepas kejayaan menjulang Piala FA, Sabtu lalu.

Di kem Terengganu pula, skuad Peteh itu mahu memadam kekecewaan gagal mempertahankan Piala FA yang dimenangi mereka musim lalu selepas tersingkir pada aksi separuh akhir.

Aksi malam ini turut terarah kepada kelibat Peter James Butler – bekas jurulatih Kelantan yang kini membimbing Terengganu.

Kehadiran Butler ke Stadium Sultan Muhammad IV malam ini bakal menyaksikan beliau kembali menjejakkan kaki di bumi Kota Bharu selepas kontraknya sebagai pengendali Kelantan ditamatkan pada Februari lalu.

Bagi para pemerhati bola sepak tempatan, mereka menjangkakan aksi cukup sengit malam ini, malah ada yang meramalkan pertembungan itu lebih menarik berbanding aksi final Piala FA yang menemukan Kelantan dan Sime Darby di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Biarpun optimis mampu menjinakkan Terengganu, pengendali Kelantan, Bojan Hodak sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Piala AFC bukan menjadi keutamaan The Red Warriors.

Sebaliknya Hodak berkata, Kelantan tetap fokus untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini.

“Ia (Piala AFC) bukan keutamaan kami tetapi kami sudah berada di sini (pusingan kedua) dan saya mahu kami terus melangkah, seterusnya memenangi perlawanan malam esok (malam ini).

“Sudah pasti beraksi di laman sendiri memberikan kami kelebihan. Kami tidak pernah risau untuk bertemu sesiapa pun di sini (Stadium Sultan Muhammad IV),” kata Hodak pada sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

Mengulas mengenai Terengganu yang kini dibimbing Butler, Bojan berkata: “Saya lebih fokus untuk mempersiapkan pasukan The Red Warriors.”

“Mungkin ia suatu yang baik untuk beliau tetapi saya mahu katakan, buat masa sekarang kami merupakan pasukan yang baik dan sentiasa mendapat keputusan yang baik.

“Jadi, mereka (pasukan lawan) yang datang ke sini perlu memikirkan reputasi kami. Saya mahu ia berakhir 90 minit, masa tambahan mungkin memberikan kita masalah,” ujarnya.

Sementara itu, Butler memberitahu, beliau kini sedang mempertingkatkan moral para pemainnya .

Jelas Butler, sebagai seorang jurulatih yang pernah membimbing Kelantan sebelum ini mungkin memberinya sedikit kelebihan, namun beliau lebih selesa untuk memberi tumpuan terhadap persiapan Terengganu.

“Saya mengenali para pemain Kelantan kerana saya berada di sini (Kelantan) selama lima bulan dan pernah bekerja keras bersama mereka.

“Saya tinggalkan mereka ketika mereka berada di puncak Liga Super dan saya rasa saya sudah melakukan yang terbaik untuk mereka.

“Perlawanan malam esok (malam ini) menjadi tugas pertama saya bersama Terengganu dan saya mahu melakukan yang terbaik,” jelasnya.

Juara FA 2011 vs Juara FA 2012

Pertembungan dua musuh tradisi, Kelantan dan Terengganu dalam pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia malam ini bukan sekadar untuk menentukan siapa kuasa sebenar bola sepak pantai Timur.

Malah, ia turut menjadi penentu kepada pasukan negeri mana yang masih bertanding dalam kejohanan berprestij itu.

Bagi pasukan Kelantan, beraksi di gelanggang keramat mereka di Stadium Sultan Muhammad IV pasti memberi kelebihan memandangkan ia adalah perlawanan kalah mati, ditambah pula dengan semangat dan moral pemain yang sedang menjulang ekoran kejayaan menjuarai Piala FA pertama, Sabtu lalu.

Namun, Kelantan perlu sedar bahawa mereka bukan sekadar bertembung dengan Terengganu, sebaliknya turut berhadapan dengan bekas jurulatih mereka, James Peter Butler yang pernah mengemudi pasukan itu selama lima bulan musim ini.

Bagaimanapun, jurulatih Kelantan, Bojan Hodak melaungkan amaran kepada pasukan lawan bahawa Kelantan kini berada di prestasi

terbaik serta menjadi pilihan utama dan mana-mana pasukan yang datang ke Kota Bharu pasti akan menghadapi kesukaran.

"Terengganu datang ke Kota Bharu dan mereka perlu memikirkan kami. Masa ini Kelantan adalah pasukan terbaik dengan keputusan

baik jadi seperti saya katakan tadi sesiapa sahaja lawan kami di sini akan mengalami kesukaran," katanya pada sidang media pra perlawanan tersebut di sini, semalam.

Hodak bagaimanapun berharap, keputusan perlawanan itu dapat ditentukan dalam tempoh 90 minit untuk mengelak sebarang kepenatan atau kecederaan kepada pemain yang dalam misi memburu kejuaraan Liga Super untuk kali kedua berturut-turut.

Kata Hodak, beliau juga masih perlu melihat tahap kecergasan kesemua pemainnya dan tidak menolak kemungkinan akan melakukan sedikit rombakan untuk memastikan keseimbangan dalam pasukan kerana banyak lagi perlawanan yang menanti selepas ini.

Sementara itu, Butler pula percaya beliau mempunyai resipi terbaik untuk memastikan pasukannya tidak pulang dengan berputih mata kali ini.

Menurutnya, meskipun baru seminggu menjadi jurulatih Terengganu, beliau kini dapat melihat peningkatan yang ditunjukkan pasukannya dan percaya jika percaturan yang dirancang dapat diaplikasikan di atas padang, kemenangan akan memihak kepada mereka.

"Mungkin kami juga mempunyai antara penyerang import terbaik di negara ini cuma saya rasa dia (Francis Forkey Doe) kurang bernasib baik kerana mengalami kecederaan dan masalah keyakinan diri jadi ini adalah peluang terbaik untuk dia buktikan sesuatu dan pasukan juga perlu membuktikannya," tegas beliau.

Mengharap Kehebatan Butler


Peter James Butler
Peter James Butler


PENGALAMAN mengendalikan pasukan Kelantan pada 2009 dan 2012 dilihat sebagai kelebihan buat jurulatih baru Terengganu, Peter James Butler membantu Skuad Penyu dalam kunjungan mereka ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bagi pusingan kedua Piala AFC esok.

Mengharapkan magis Butler melakukan perubahan terutama bagi melonjakkan prestasi pasukan, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh meletakkan sepenuh kepercayaan buat pengganti Mat Zan Mat Aris itu untuk membawa Skuad Peteh ke peringkat separuh ­­akhir Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Meskipun masih terlalu awal untuk menilai corak latihan serta keserasian beliau (Butler) bersama pasukan memandangkan esok adalah perlawanan kedua buatnya selepas sah sebagai jurulatih Terengganu 14 Mei lalu, saya tetap yakin beliau mampu mengembalikan semula rentak kecemerlangan pasukan untuk mendapatkan kejayaan,” katanya, semalam.

Tidak mahu menjadikan pertemuan esok sebagai gelanggang membalas dendam ekoran terlepas peluang mara ke pusingan akhir Piala FA, Che Mat sebaliknya bersikap realistik dan mahu melupakan episod duka skuad Peteh dengan membuka lembaran baru bagi meneruskan saingan sama ada bagi Liga Super mahupun Piala AFC.

Menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mengendalikan pasukan kepada Butler, Che Mat berharap pasukan Terengganu mampu bangkit meskipun terpaksa beraksi tanpa tonggak utama termasuk penyerang berbisa, Abdul Manaf Mamat yang masih lagi belum sembuh daripada kecederaan.

Wednesday, May 16, 2012

Mat Zan Terima Surat Tunjuk Sebab

ISU Mat Zan Mat Aris dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kini tampak menuju kepada satu senario yang bakal mencetus kontroversi baru.

Bekas pengendali skuad Penyu itu tampil menyuarakan, semalam betapa dia tidak tahu langsung dengan keputusan dibuat badan induk itu mengenai statusnya apabila tempoh rehat ke atasnya dilanjutkan sehingga 31 Mei ini. Begitu juga isu kontrak kepadanya.

Apa yang mengejutkan Mat Zan ialah apabila dia menerima surat tunjuk sebab kemerosotan pasukan Terengganu daripada PBSNT yang ditandatangani Setiausahanya, Abdullah Salleh.

“Saya terkejut apabila menerima surat tunjuk sebab berhubung prestasi pasukan merosot daripada PBSNT bertarikh 14 Mei dan perlu menjawabnya sebelum 23 Mei ini. Saya sangka surat dihantar untuk membincangkan isu kontrak, tapi sebaliknya terjadi.

“Sebelum ini PBSNT merehatkan saya selama dua minggu atas alasan meredakan situasi berikutan desakan penyokong, tapi sekarang lain pula alasan diberi....walau apa pun terjadi, saya menegaskan sehingga kini saya masih lagi jurulatih Terengganu yang sah,” katanya yang dihubungi semalam.

Mat Zan beranggapan perkara itu dapat diselesaikan dengan baik sekiranya haknya dapat dipersetujui PBSNT dan apa yang diharapkan kini adalah mendapatkan bantuan daripada pihak yang lebih arif untuk meleraikan kemelut itu.
Kelmarin, PBSNT mengumumkan Peter Butler sebagai jurulatih baru menggantikan Mat Zan dengan menandatangani kontrak selama 18 bulan bermula 1 Jun ini dan diberi kebenaran membimbing skuad Penyu.

Tuesday, May 15, 2012

Reaksi Perlantikan Butler Sebagai Jurulatih

Pelantikan bekas jurulatih Kelantan dan kelab Persiba Balikpapan, Indonesia, Peter Butler, sebagai ketua jurulatih skuad Liga Super Terengganu mengundang pelbagai reaksi penyokong setia skuad pasukan Sang Penyu itu.

Persoalannya mampukah Butler yang menggantikan Mat Zan Mat Aris dapat mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Terengganu dan menarik semula penyokong setia pasukan itu?.

Seorang penyokong Abd Aziz Abdullah, 48 yang ditemui Bernama berkata, penukaran jurulatih di pertengahan musim dianggap tidak releven ketika skuad itu masih berada di kelompok empat terbaik liga.

Keputusan yang dibuat itu dianggap drastik dan jika Butler juga gagal membimbing pasukan adakah nasib yang sama akan menimpa bekas jurulatih Kelantan itu.", tanyanya.

Abd Aziz berkata Persatuan Bolasepak Negeri terengganu (PBSNT) sepatutnya memberi peluang kepada Mat Zan memperbetulkan keadaan dan bukan dengan menamatkan khidmatnya di separuh jalan.

Seorang lagi penyokong Ishak Abdillah, 28, berkata momentum yang dibawa oleh Mat Zan boleh dianggap terbaik dan PBSNT tidak perlu tunduk kepada desakan penyokong untuk menyingkirkan Mat Zan.

"Seharusnya pihak persatuan memberi kepercayaan kepada Mat Zan untuk terus membimbing skuad sehingga berakhirnya kempen Liga Super dan ia baru boleh dijadikan kayu pengukur," katanya.

Menurutnya, pelantikan Butler dilihat seolah-olah bidang terjun dalam memburu kemenangan selepas mengalami beberapa siri kekalahan kebelakangan ini. 

Butler akan memulakan tugas pada 1 Jun ini. 

Sebelum ini, PBSNT mengarahkan Mat Zan bercuti rehat selama dua minggu bermula 3 Mei lalu selepas Terengganu disingkirkan daripada separuh akhir Piala FA oleh pasukan kelab, Sime Darby.

Selain itu, Terengganu juga mengalami beberapa siri kekalahan termasuk dibelasah 6-1 oleh Selangor dalam perlawanan Liga Super, tewas kepada pasukan dari Singapura Tampines Rovers 2-0 dan tewas 2-0 kepada Kitchee Hong Kong dalam perlawanan peringkat kumpulan F Piala Konfederasi Asia (AFC). 

Kekalahan itu mengundang perasaan hilang sabar penyokong yang mendesak agar Presiden PBSNT Datuk Che Mat Jusoh dan Mat Zan meletakkan jawatan. 

Mat Zan dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu bagi menggantikan Irfan Bakti Abu Salim bagi kempen Piala Malaysia tahun lepas. 

Mat Zan juga pernah membimbing Terengganu menrangkul Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001

Pemain Terengganu Mempunyai Kualiti Tinggi - Butler

TEKA-TEKI siapa yang bakal mengemudi Terengganu terjawab semalam apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Tereng- ganu (PBSNT) melantik Peter James Butler sebagai ketua jurulatih skuad Peteh itu berkuat kuasa 1 Jun depan.

Butler yang juga bekas ketua jurulatih Kelantan telah menandatangani kontrak bermula 1 Jun 2012 hingga 30 November 2013.

"Saya berpeluang melihat kelibat pemain-pemain Terengganu semasa Piala Malaysia, malah sudah mengetahui kualiti tinggi yang dimiliki mereka.

"Pasukan Terengganu juga memiliki ramai pemain muda dan saya berharap dapat membawa kejayaan kepada pasukan," kata Butler pada sidang media di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu semalam.

Bagaimanapun Butler memberitahu, skuad Peteh itu perlu bekerja keras dan menjaga disiplin dalam misi memburu kejayaan.

"Kalau pemain mengikut corak strategi yang diatur dengan disiplin tinggi, mereka akan menjadi individu lebih bagus, sekali gus dapat memajukan lagi pasukan.

"Saya tidak mahu melakukan banyak perubahan dalam pasukan. Para pemain sendiri yang akan menentukan sistem, bukan sistem yang menentukan pemain- pemain," ujarnya.

Butler juga berharap pelantikannya itu mendapat kerjasama penuh, terutamanya daripada penyokong setia skuad Peteh.

"Saya tahu Terengganu mempunyai penyokong fanatik. Banyak kali saya datang sini. Jadi saya harap mereka (penyokong) akan bantu saya dan pasukan," ujarnya.

Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh pula memberitahu, pemilihan Butler berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki jurulatih kelahiran England itu.

"Kami berpendapat, beliau (Butler) pernah berkhidmat di Malaysia dan mengikuti perkembangan bola sepak tempatan, malah memahami hubungan pemain dan budaya negara ini.

"Beliau juga boleh berbahasa Melayu dengan baik, sekali gus memudahkan komunikasi dengan pemain-pemain kelak," katanya.

Dalam pada itu, Che Mat menjelaskan, pihak pengurusan PBSNT telah membuat keputusan bahawa kontrak ketua jurula- tih sedia ada, Mat Zan Mat Zan akan di- tamatkan pada 31 Mei ini.

"Mengenai kontrak Mat Zan, kita sudah bincang dan akan selesaikan bersama beliau. Jika tiada persefahaman, rayuan akan dibuat," ujarnya.

Pada 3 Mac lalu, PBSNT memutuskan untuk merehatkan Mat Zan sehingga 15 Mei (hari ini) ekoran prestasi tidak menentu skuad kendaliannya.

Beberapa hari kemudian, Mat Zan membuat keputusan mengejut apabila mahu mengundur diri daripada membimbing Terengganu.

Butler Jurulatih Terengganu

KEHADIRAN Peter Butler menduduki kerusi panas Terengganu bukan lagi spekulasi apabila jurulatih berasal dari Halifax, England itu disahkan mengisi tempat dikosongkan pengendali sebelum ini, Mat Zan Mat Aris.

Pengesahan itu dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dalam sidang media dan majlis menandatangani kontrak di pejabatnya semalam bagi menamatkan teka-teki sebelum ini mengenai siapa bakal menjadi ketua jurulatih selepas Mat Zan yang pernah dijulang wira pada 2001 apabila membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama, melepaskan jawatan selepas lima bulan mengemudi Penyu.

Che Mat berkata, jurulatih berusia 46 tahun itu yang juga bekas pemain pertahanan kelab West Ham United memulakan tugas pertamanya pada 1 Jun selama 18 bulan dan dibantu penolong jurulatih, Khalid Mohd Dahan.

“Saya harap Butler berjaya meningkatkan lagi prestasi kami dalam misi mengejar pendahulu liga serta melayakkan diri ke final Piala Malaysia selepas gagal mempertahankan Piala FA, “ katanya.






Sebelum memilih Terengganu, Butler pernah mengemudi Kelantan pada 2009 namun mengubah haluan apabila berhijrah ke Myanmar bagi membimbing kelab Yangoon United FC sebagai Pengarah Teknikal.

Selepas setahun bersama kelab itu, jurulatih yang fasih berbahasa Melayu itu memilih kelab BEC Tero Sasana dalam saingan Liga Super Thailand sebelum sekali lagi membimbing Kelantan bermula Januari lalu, namun kontraknya ditamatkan akhir Mac lalu gara-gara kritikan pedas terhadap persatuan bola sepak negeri itu.

Dalam sidang media itu, Butler menaruh harapan Terengganu kembali bangkit mencipta kemenangan dengan mengharapkan peminat memberikan sokongan padu kepadanya dan pemain.

“Saya akan berusaha memastikan Penyu berada pada prestasi sebenar dan sedikit perubahan perlu dilakukan daripada segi taktikal dan strategi.

“Yang penting pemain memberi fokus dan menunjukkan disiplin serta semangat juang yang tinggi,” katanya.

Mengenai kedudukan Mat Zan, Che Mat berkata, secara rasminya PBSNT membuat keputusan melanjutkan tempoh rehat bekas pengendali itu hingga 31 Mei ini.

Sementara itu, Mat Zan ketika dihubungi berkata, dia tidak mendapat sebarang maklumat berhubung permintaan tuntutan gajinya serta tempoh rehat dilanjutkan sehingga akhir bulan ini.

“Apa pun, saya harap PBSNT memenuhi permintaan berhubung soal gaji itu,” katanya.

Monday, May 14, 2012

Tewas

KETIKA T-Team meraih tiga mata menundukkan Kuala Lumpur 2-1 malam kelmarin, kem Terengganu pula mengalami nasib berbeza dan kembali suram selepas tersungkur kepada Felda United 1-2 di laman lawan.

Ketiadaan ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris yang digugurkan gara-gara desakan peminat walaupun tempoh rehat belum berakhir dan digantikan jurulatih sementara, Khalid Mohd Dahan, tampaknya belum ada tanda kebangkitan sebaliknya kekalahan itu jelas memperlihatkan pertukaran jurulatih bukan jaminan buat Terengganu mengembalikan reputasinya sebagai gergasi Pantai Timur.

Hal ini terbukti corak permainan longlai terutama pada babak kedua perlawanan disajikan anak buah Khalid ketika pertemuan dengan Felda United biarpun mendahului lawan, menunjukkan kemelut dalaman yang membabitkan jurulatih skuad itu sedikit sebanyak mengganggu persembahan pemainnya yang pulang tanpa sebarang mata.

Bagaimanapun, Khalid menepis dakwaan itu menjadi punca anak buah tewas sebaliknya jurulatih sementara itu menyatakan faktor keletihan menjadi penyebab skuadnya gagal mempamerkan aksi bertenaga.

“Saya tidak nampak masalah itu menjejaskan rentak pasukan sebaliknya pemain begitu penat selepas mengharungi perlawanan terakhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bertemu Kitchee FC dari Hong Kong Rabu lalu,” katanya yang turut menyifatkan strateginya pada babak kedua tidak menjadi.

Selain itu, Khalid yang bakal menduduki semula kerusinya sebagai penolong jurulatih mulai minggu ini turut menyatakan aksi longgar dan terlalu banyak memberi ruang kepada lawan juga menyebabkan pasukannya gagal meraih mata penuh untuk memperbaiki kedudukan liga.

Mengenai ketua jurulatih Terengganu yang baru, Arena Metro difahamkan bekas pengendali Kelantan, Peter Butler hampir pasti mengemudi pasukan itu selepas Mat Zan Mat Aris disingkirkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berikutan prestasi tidak menentu skuad itu.

Hampir Tewas

MESKIPUN dipaksa berhempas pulas, T-Team berjaya mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan pasukan tercorot Liga Super, Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasirruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Skuad kendalian Yunus Aliff itu berjaya memperoleh gol seawal minit pertama menerusi pemain import, Marco Tulio.

Namun, kealpaan pemain tuan rumah memberi ruang kepada Kuala Lumpur untuk bangkit, sekali gus memperkemaskan rentak permainan.

Penyerang Kuala Lumpur, Muhd. Afiq Azmi menghukum benteng pertahanan T-Team menerusi larian pantas untuk mengikat kedudukan pada minit ke-23 dengan menumpaskan penjaga gawang, Mohd. Iqbal.

Bagaimanapun, pada minit ke-75, Norfazly Alias berjaya mengatasi perangkap ofsaid pemain pertahanan Kuala Lumpur dengan menanduk masuk bola ke gawang.

Yunus memberitahu, pemain-pemain kelihatan tertekan apabila pasukan pelawat mendapat gol semangat, sekali gus menyebabkan mereka hilang tumpuan di atas padang.

"Saya sudah mengingatkan para pemain agar tidak terlalu 'santai' dalam permainan kerana ia akan memberi peluang kepada pihak lawan untuk memperoleh gol terutama apabila kami mendahului seawal minit pertama.
"Apabila Kuala Lumpur menyamakan kedudukan, kita sudah hilang arah dan tidak bermain mengikut strategi yang diterapkan. Mujur ada Rosdi Talib dan Tulio untuk membantu menggerakkan semula permainan pasukan," katanya.

Yunus berkata, para pemain perlu bangkit dan meningkatkan keyakinan diri apabila bertandang ke Sabah malam esok.

"Sabah bukan calang-calang pasukan dan sejarah telah membuktikan bahawa kami sukar untuk meraih kemenangan apabila bertandang ke sana (Stadium Likas).

"Saya akan merangka strategi sebaik mungkin kerana kita berdepan kemelut kecederaan pemain-pemain. Mereka perlu bersedia dalam mengharungi perlawanan ketika menentang Sabah," ujarnya.
Yunus memberitahu, dia berharap penyerang akan mengambil peluang yang diperoleh apabila berdepan gawang lawan.

Katanya, dia masih bersyukur kerana T-Team berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan menentang Kuala Lumpur.

Wednesday, May 9, 2012

Perletakan Bersyarat

“SAYA boleh letak jawatan tapi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) perlu menghormati tuntutan gaji saya hingga Disember tahun ini biarpun kontrak saya dengan PBSNT tamat hujung 2013,” kata Mat Zan Mat Aris ketika ditanya kesediaannya melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Terengganu.

Mat Zan berkata, beliau tidak tertekan atau gusar dengan permintaan PBSNT itu tapi jurulatih berusia 54 tahun itu yang pernah mencatat sejarah membawa Terengganu menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 sudah bertolak ansur demi kebaikan pasukan serta desakan peminat yang mahukannya melepaskan jawatan.

“Saya sanggup berkorban melepaskan jawatan ini untuk kebaikan semua pihak tapi PBSNT juga perlu memenuhi permintaan saya memandangkan saya harus mengambil masa mencari pekerjaan lain selain ingin menenangkan fikiran,” katanya. Beliau sudah bersetuju secara lisan dengan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh untuk melepaskan jawatan yang disandangnya sejak Januari lalu namun belum menandatangani sebarang perjanjian biarpun sudah mengetahui khidmatnya tidak diperlukan lagi.

“Kelmarin saya bertemu Che Mat di Kuala Lumpur untuk berbincang kedudukan saya sama ada masih berminat membimbing Terengganu ataupun sebaliknya.

“Saya membayangkan masih berminat dengan jawatan itu tapi hasil perbincangan berkenaan lebih menjurus supaya saya meletak jawatan berdasarkan dokumen perjanjian yang dibawa PBSNT.

“Berikutan perbincangan itu, saya berasa tawar hati untuk menyambung semula tugasan selepas direhatkan sehingga 15 Mei ini dan dalam keadaan itu, saya seolah-olah tiada pilihan sekali gus saya bersetuju menerima permintaan PBSNT melepaskan jawatan berkuatkuasa 1 Jun ini tapi dengan syarat gaji saya sehingga Disember depan perlu dilangsaikan,” katanya.

Sebelum ini, Mat Zan dua kali didesak peminat supaya meletakkan jawatan berikutan prestasi tidak menentu Terengganu meskipun pasukan itu berada di tangga ketiga Liga Super dan layak ke separuh akhir Piala FA dan pusingan kedua Piala AFC.

Peter Butler Pilihan Terengganu?

KENYATAAN daripada Mat Zan Mat Aris - yang kini sudah hampir pasti meninggalkan skuad Terengganu - dan juga Peter Butler, semalam menjurus kepada satu lagi episod menarik perkembangan bola sepak tanah air.

Ia berlaku secara kebetulan apabila Mat Zan menyuarakan dia sudah tawar hati dengan pihak pengurusan skuad Penyu dan sanggup berundur dengan syarat manakala bekas ketua jurulatih Kelantan itu pula berkata ada orang telefon dan tanyakan mengenai prospek dia membimbing Terengganu.

Ketika ini Mat Zan direhatkan dua minggu daripada tugasan jurulatih manakala espnstar.my melaporkan Butler sudah meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih pasukan Liga Super Indonesia (ISL), Persiba Balikpapan dan kini mencari pekerjaan baru.
 
Situasi ini sekali gus menggambarkan betapa Butler antara calon utama bakal mengambil alih jawatan jawatan Mat Zan dalam skuad Peteh. “Sebelum ini ada juga orang telefon dan tanya saya mengenai hal ini,” kata Butler ketika dihubungi semalam.

“Saya berada di Kuala Lumpur hanya untuk bercuti dan tidak akan beri komen apa-apa mengenainya (spekulasi).”

Laporan sebelum ini menyebut nama Butler turut tersenarai dalam senarai calon pengganti ketua jurulatih Terengganu bersama pengendali dari Korea Selatan, Jang Jung dan bekas pengendali skuad remaja kebangsaan, Hatem Soussi.

Lebih menguatkan spekulasi apabila espnstar.my turut melaporkan jurulatih berasal dari Halifax, England itu semalam sudah meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih pasukan Liga Super Indonesia (ISL), Persiba Balikpapan.

Tawar Hati

PADA hari Mat Zan Mat Aris menyuarakan isi hati betapa dia sudah tawar hati untuk terus membimbing Terengganu, timbul spekulasi terbaru, semalam bekas pengendali Kelantan, Peter Butler bakal menggantikan tempatnya.

Mat Zan secara terus terang berkata dia bercadang berundur diri tetapi mahu Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) terlebih dahulu memenuhi syarat. Dia turut terasa khidmatnya tidak lagi diperlukan apabila mendengar khabar angin pengurusan pasukan akan memanggil seorang jurulatih asing.

Dengan nada agak terkilan bekas pemain kebangsaan itu berkata: “Perbincangan ringkas mengenai kedudukan saya hanya berlangsung antara pengurus pasukan (Datuk Che Mat Jusoh), penolongnya (Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusoff) dan Setiausaha (Abdullah Salleh) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum skuad Penyu berlepas ke Hong Kong, kelmarin.

“Tiada sebarang surat dikeluarkan dan tiada alasan diberi pengurusan termasuk punca saya digantung selama dua minggu sehingga Selasa depan, tetapi berdasarkan perbualan singkat, khidmat saya bersama skuad Penyu seolah-olah tidak diperlukan.

“Jika PBSNT mahu saya melepaskan jawatan, saya bersedia tetapi pengurusan persatuan itu perlu memenuhi beberapa syarat kerana kerana kontrak saya bersama skuad penyu hanya akan berakhir musim depan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Sementara itu, Mat Zan berkata dia tidak akan mengeluarkan surat melepaskan jawatan. “Jika PBSNT merasakan saya perlu melepaskan jawatan, mereka perlu mengeluarkan surat untuk ditandatangani, tetapi perlu saya jelaskan beberapa syarat harus dipatuhi persatuan.”

Mat Zan Letak Jawatan secara tidak rasmi

KEMELUT pasukan bola sepak Terengganu semakin parah apabila pe­ngendalinya, Mat Zan Mat Aris didakwa akan meletakkan jawatannya berkuat kuasa 1 Jun depan.

Pun begitu, Mat Zan yang pernah membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001, enggan membicarakan mengenai masa depannya selepas khabar angin yang mengatakan beliau akan berundur daripada mengendalikan skuad Penyu itu.

Beliau yang direhatkan daripada tugas­nya bermula 2 sehingga 15 Mei ini berkata, masih banyak perkara yang perlu diselesaikannya buat masa ini, sebelum membuat sebarang keputusan berhubung hala tujunya selepas ini.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak pengurusan dan kami telah berbincang dan bersetuju dengan keputusan (untuk direhatkan).

“Jadi, buat masa ini saya hanya mahu berehat dan tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Pos Malaysia itu mengucapkan terima kasih di atas soko­ngan moral yang diberikan kepadanya.

Menurutnya, beliau masih terikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sehingga tahun depan dan keputusan me­ngenai kedudukannya selepas direhatkan akan diumumkan selepas perjanjian serta perundingan secara rasmi tidak lama lagi.

“Secara lisan, kami telah bersetuju (letak jawatan) tetapi perjanjian secara rasmi belum dibuat. Sebenarnya, saya masih memiliki kontrak sehingga 2013 dan selepas perbincangan rasmi dibuat, saya akan memikirkan langkah seterusnya.

“Keputusan ini di­buat sebagai langkah untuk memulihkan prestasi Terengganu. Saya akui sedikit tertekan, namun ini semua adalah lumrah sebagai jurulatih,” katanya.

Kelmarin, dalam satu laporan akhbar, Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh me­ngesahkan jurulatih itu me­ngambil keputusan meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Difahamkan, beberapa nama besar termasuk bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler dikaitkan mengambil alih `kerusi panas’ yang bakal dikosongkan Mat Zan nanti.

Tuesday, May 8, 2012

Mat Zan Letak Jawatan

TEKA-TEKI berkenaan masa depan Mat Zan Mat Aris bersama Terengganu akhirnya terjawab apabila ketua jurulatih Skuad Penyu itu mengambil keputusan untuk meletak jawatan semalam.

Ia berkuat kuasa 1 Jun depan.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh selepas perbincangan dengan bekas jurulatih Pos Malaysia itu.

Terdahulu, PBSNT mengarahkan Mat Zan bercuti rehat selama dua minggu selepas menyaksikan Terengganu tewas kepada Sime Darby pada aksi separuh akhir Piala FA.

Selepas Mat Zan direhatkan, penolongnya, Mohd. Khalid Dahan dilantik sebagai pengendali sementara dan dibantu oleh bekas penjaga gol Terengganu, Zuber Ibrahim yang bertindak sebagai pembantu jurulatih.

Mengulas lebih lanjut, Che Mat berkata, keputusan itu diambil atas dasar persefahaman serta persetujuan antara kedua-dua pihak tersebut.

"PBSNT mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan Mat Zan kepada pasukan Terengganu selama ini.

"Mat Zan mengakui sedikit tertekan terutama selepas kegagalan layak ke final Piala FA.

"Justeru, Mat Zan percaya langkah yang diambilnya sebagai tepat demi mengembalikan prestasi cemerlang Terengganu," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebelum berlepas ke Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

Tambah Che Mat, kini terdapat beberapa individu yang berminat untuk membimbing skuad Terengganu.

Begitupun katanya, keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat PBSNT dalam masa terdekat.

"Ada beberapa calon yang berminat untuk membimbing pasukan Terengganu.

"Mereka terdiri daripada jurulatih yang berasal dari Korea Selatan dan juga Singapura.

"Malah, bekas jurulatih kebangsaan juga ada menyatakan minat mereka untuk menjadi jurulatih Terengganu.

"Begitupun, kami akan bermesyuarat terlebih dahulu dan mengenal pasti latar belakang jurulatih tersebut sebelum memutuskan jurulatih baharu yang bakal menggantikan Mat Zan pada Jun depan," katanya.

Sunday, May 6, 2012

Selamat Berbahagia Ke anak Cucu

TAHNIAH



Ismail Faruqi selamat ke jinjang pelamin pada 5.5.2012. Kelab PETEH mengucapkan tahniah.

Tanpa Tonggak Utama

Terengganu akan turun menentang Kitchee Hong Kong dalam perlawanan terakhir kumpulan F Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Hong Kong 9 Mei ini tanpa penyerang berbisanya.

Penolong pengurus pasukan, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, ini kerana ramai pemain utama Terengganu seperti penyerang sensasi Francis Forkey Doe dan Abdul Manaf Mamat tidak turut serta kerana tercedera.

"Selain itu, Reeshafiq Alwi dan Nordin Alias juga tidak akan diturunkan kerana prestasinya tidak begitu memuaskan," katanya ketika dihubungi Bernama selepas mesyuarat pengurusan pasukan hari ini.

Bagaimanapun, Sheikh Tajudin berkata pasukan Terengganu tidak akan terjejas walaupun tanpa pemain-pemain tersebut.

Terengganu tewas 2-0 kepada Kitchee pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 20 Mac lalu.

Terengganu telah melayakkan diri ke pusingan kedua piala tersebut setelah muncul naib juara kumpulan dengan sembilan mata manakala Kitchee pula juara kumpulan dengan 10 mata.

Sheikh Tajudin berkata misi Terengganu ke Hong Kong ialah untuk menang bagi membolehkan pasukan itu muncul sebagai juara kumpulan walaupun tanpa ketua jurulatih Mat Zan Mat Aris yang direhatkan dua minggu sehingga 15 Mei ini.

Selain Terengganu dan Kitchee, pasukan lain dalam kumpulan F ialah Song Lam Nghe An (Vietnam) dan Tampines Rovers (Singapura).

Beliau berkata Terengganu mempunyai jadual yang padat selepas kembali dari Hong Kong dan akan menentang pasukan Felda United di Melaka (12 Mei) dan Sarawak di Terengganu tiga hari selepas itu untuk kejohanan Liga Malaysia.

Peter Butler ganti Mat Zan



Peter Butler - 42 Tahun
Asal       England

Tarikh Lahirl    Rabu, 30 November

Pengalaman Melatih Sorrento SC di Australia, Armed Forces di Singapura, Sabah FA dan
Kelantan FA di Malaysia serta terakhir adalah Persiba.

Bekas Pemain West Ham United

Friday, May 4, 2012

Moral & Semangat Buat Bekalan

HANYA moral dan semangat pemain Terengganu sahaja yang boleh memastikan kemenangan apabila turun menentang Perak dalam saingan Liga Super di laman sendiri malam ini kerana pasukan itu sudah mendapat cukup banyak tekanan.

Selepas gagal ke peringkat akhir Piala FA apabila tewas kepada Sime Darby sebelum ini, pasukan itu kini kehilangan jurulatih utama, Mat Zan Mat Aris yang direhatkan empat per- lawanan sehingga 15 Mei ini.

Pembantu jurulatih Terengganu, Khalid Mohd. Dahan yang kini memangku tugas Mat Zan memberitahu, selain itu, ramai pemainnya tidak dapat turun beraksi malam ini atas pelba- gai masalah.

"Francis Forkey Doe, Shamsul Kamal Mohamad, Abdul Manaf Mamat dan Ahmad Nordin Alias mengalami kecederaan, manakala Reeshafiq Alwi masih belum pulih sepenuhnya.

"Mazlizam Mohammad pula tidak boleh diturunkan sebab ada tiga kad kuning," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Dalam pada itu katanya, sedikit perubahan taktikal dan formasi perlu dilakukan memandangkan ramai pemain utama yang tidak dapat diturunkan, namun beliau mengharapkan agar para pemain boleh menunjukkan aksi penuh semangat.

"Ketika ini kita tidak banyak kelebihan, jadi hanya moral dan semangat yang akan membantu pasukan Terengganu untuk bermain le- bih baik menentang Perak malam esok (malam ini)," katanya.

Jelasnya, peluang dengan Perak adalah 50-50 berdasarkan dua pertemuan sebelum ini yang mana Terengganu pernah tewas sekali dalam pertemuan Piala FA 0-1 dan menang 1-0 semasa pusingan pertama Liga Super di Perak.

Mat Zan Direhatkan


KRISIS dalaman yang melanda bola sepak Terengganu kini memasuki episod baharu apabila ketua jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris (gambar) direhatkan daripada membimbing pasukan itu sehingga 15 Mei ini.

Berita terbaharu itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh selepas pihak persatuan mengadakan mesyuarat tergempar kelmarin.

Menurut Abdullah, keputusan untuk merehatkan Mat Zan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kegagalan Terengganu melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.

“Ini bukanlah keputusan individu tetapi keputusan dibuat sebulat suara yang diputuskan oleh pengurusan PBSNT. “Dalam pertemuan itu juga, PBSNT turut memanggil beberapa pemain senior untuk mendapatkan sendiri pandangan mereka mengenai kedudukan Mat Zan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah Abdullah lagi, ekoran keputusan untuk merehatkan Mat Zan, tugas untuk membimbing pasukan Terengganu kini diserahkan kepada penolong jurulatih, Khalid Mohd. Dahan.
“Mat Zan adalah seorang jurulatih yang berpengalaman dan pernah membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada 2001.

“Bagaimanapun, pihak persatuan perlu juga mengambil kira kepentingan PBSNT kerana sasaran awal kami adalah untuk menjulang tiga piala. Kini, Terengganu telah terlepas kejuaraan Piala FA,” ujarnya.

Ditanya adakah pihak persatuan bakal menyingkirkan Mat Zan, Abdullah tidak menolak kemungkinan itu sambil menyifatkan keputusan tersebut hanya boleh dibuat oleh pihak tertinggi PBSNT.

"Buat masa ini, kita hanya merehatkan Mat Zan hingga 15 Mei ini dan segala tugasannya sebagai ketua jurulatih akan diambil alih oleh Khalid buat sementara waktu,” tambahnya.

Untuk rekod, Mat Zan yang pernah membimbing Kuala Lumpur dan Pos Malaysia mula mengendalikan skuad Penyu pada awal musim ini bagi menggantikan Irfan Bakti yang berhijrah ke Selangor.

Di bawah kendalian Mat Zan, Terengganu ketika ini menduduki tangga ketiga Liga Super dan mara ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia, namun gagal dalam misi mempertahankan gelaran Piala FA selepas tewas memalukan di tangan Sime Darby minggu lalu

Thursday, May 3, 2012

Penyerang Tumpul


Tiada gerakan kreatif dari bahagian tengah menyebabkan jentera serangan sukar mencari gol, menjadi punca Terengganu tersingkir daripada Piala FA apabila seri tanpa jaringan dengan Sime Darby pada separuh akhir kedua, kelmarin.

Ia membolehkan pasukan berstatus kelab, Sime Darby mara ke perlawanan akhir menentang Kelantan dengan agregat 2-1, yang mereka catatkan pada separuh akhir pertama di Kuala Terengganu, sebelum ini.

Jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris kecewa dengan kemaraan pasukannya yang disekat kelmarin dan menyifatkan kegagalan menjaringkan gol punca mereka tersingkir.

Menurutnya, pemain kurang idea dan tidak kreatif terutama pada bahagian tengah sehingga menyebabkan tiada serangan yang mampu menjelmakan jaringan gol.

"Pada babak pertama pemain ada melakukan percubaan ke arah gol namun pada babak kedua, usaha mencari gol menjadi semakin sukar apabila semua pergerakan dikawal rapi pertahanan Sime Darby.

"Kalau kita tengok, skuad malam ini adalah pemain yang sama ketika kita menentang Song Lam Nghe An kecuali Sarbinee, mungkin tuah tidak memihak kami pada perlawanan ini," katanya semalam.

Tambah Mat Zan, kalah dengan agregat 1-2 hasil jaringan Sime Darby di Kuala Terengganu memberikan tamparan hebat buat pasukannya, yang membenam Kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 6-2 pada Kejohanan Piala Konfederasi Asia (AFC) Rabu lalu.

"Saya tidak mahu salahkan pemain kerana saya tahu mereka sudah berjuang berhabis-habisan.

"Malah saya tabik kepada mereka yang masih bersemangat dan tetap berusaha untuk memberi tentangan sepanjang 90 minit perlawanan.

"Cuma sebagai jurulatih, sudah tentu saya kecewa dengan kekalahan ini dan kita perlu menerima apa jua situasi yang berlaku selepas ini," katanya.

Secara keseluruhan Terengganu menguasai permainan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

Namun Penyu gagal menjaringkan gol biarpun asakan Francis Forkey Doe dan Ashaari Shamsudin dalam memburu gol awal hampir membuahkan hasil.

Pada babak kedua, Terengganu mula memperkemaskan jentera serangan bagaimanapun gagal memecah benteng pertahanan pasukan lawan malah ketiadaan penyerang import sensasi, Forkey Doe yang terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan pada minit ke-50 sedikit merencatkan skuad Penyu.

Benteng pertahanan Sime Darby yang begitu berdisiplin apabila mengikat perlawanan tanpa jaringan sehingga sehingga wisel dibunyikan oleh pengadil, Mohd Nafeez Abdul Wahab.

Tiada Tuah

KETIKA pelancaran pasukan pada awal musim, Ismail Zakaria hanya meletakkan sasaran membawa Sime Darby ke peringkat saingan tertinggi Liga Malaysia dalam tempoh lima tahun. 

Namun kelmarin, sejarah baru tercatat apabila kelab Liga Perdana itu muncul kelab pertama melangkah kaki ke final Piala FA selepas mengetepikan cabaran daripada juara bertahan, Terengganu dengan kemenangan agregat 2-1. Kejayaan itu mencetus semangat baru buat pengendalinya, Ismail memburu tempat ke saingan lebih tinggi - Piala AFC - dengan menjuarai Piala FA. Lawan yang menanti di final pada 19 Mei nanti ialah juara Liga Super, Kelantan.

“Sudah sampai di sini (final), kami mahu mencatat sejarah menjadi kelab pertama menjuarai Piala FA pula,” kata Ismail selepas perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Selayang yang berakhir dengan keputusan seri 0-0. 

“Saya sedar, bertemu pasukan besar seperti Terengganu memerlukan pendekatan taktikal teliti dan saya puji pemain kerana mengekalkan disiplin serta melaksanakan semua arahan dengan baik. 

“Walaupun tidak mempunyai pemain kebangsaan, semangat juang dan karakter pemain muda ini cukup tinggi membawa Sime Darby ke pentas final dan bagi saya itu faktor utama kejayaan malam ini (kelmarin). 
“Saya harap kejayaan ini akan mencetus semangat lebih tinggi buat pasukan merakam kejayaan dalam saingan Liga Perdana sekali gus merebut tempat ke Liga Super musim depan.” Dalam laluan ke final, Sime Darby menyingkirkan Sabah, USM FC, Johor FC dan Terengganu. 

Dua tonggak import Sime Darby, Leandro Teofilo dari Brazil dan Patrick Wleh (Liberia) menjadi kunci kejayaan skuad Ismail mengharungi rintangan getir separuh akhir, tetapi sumbangan pemain tempatan juga tidak boleh diketepikan

Tuesday, May 1, 2012

Terengganu perlu Menang

Terengganu menyandarkan sentuhan berbisa Francis Forkey Doe dan Abdul Hadi Yahaya untuk membolosi gawang Simber Darby pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium MP Selayang, hari ini.

Selepas dikejutkan 1-2 oleh pasukan Liga Perdana berstatus kelab, Sime Darby pada separuh akhir pertama, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris berharap keputusan tersebut dapat diubah menerusi kelibat Forkey Doe dan Abdul Hadi.

Mat Zan berharap, kedua-dua penyerang tersebut dapat menjelmakan semula aksi seperti mana mereka membelasah kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 6-2 dalam saingan Piala AFC.
Menurutnya, hampir semua pemain utama bebas daripada kecederaan dan bersedia untuk diturunkan kecuali penyerang, Abdul Manaf Mamat."Ashaari (Samsudin), Reshafiq (Alwi) dan Syukor (Abdul Syukor Jusoh) juga menjalani latihan dan ia merupakan perkembangan yang positif."Kita mungkin akan mengekalkan corak permainan yang sama ketika menang 6-2 ke atas Song Lam tempoh hari," katanya semalam.

Mat Zan turut berharap jentera serangan yang diterajui Forkey Doe dan Abdul Hadi Yahaya menemui sentuhan masing-masing seperti yang dipamerkan ketika menentang kelab Vietnam itu tempoh hari.

"Bagi saya sumbangan setiap pemain itu penting. Jadi, tak ada gunanya jika kita mempunyai formasi atau taktikal yang bagus tapi mereka ini (pemain) tidak berfungsi atau mendengar arahan.

"Biarpun Sime Darby akan beraksi tanpa dua penyerang utama (Patrick Ronaldinho dan Irme Mat)namun kita akan tetap berwaspada."Ini kerana mereka tentunya mempunyai perancangan yang lebih baik untuk menewaskan kita tambahan pula mereka mempunyai bekalan dua gol.

"Jadi kita perlu berhati-hati dengan ancaman yang bakal diterima dan bersedia menghadapai sebarang cabaran sepanjang 90 perlawanan dan juga masa tambahan," ujarnya.