PENGALAMAN mengendalikan pasukan Kelantan pada 2009 dan 2012 dilihat sebagai kelebihan buat jurulatih baru Terengganu, Peter James Butler membantu Skuad Penyu dalam kunjungan mereka ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bagi pusingan kedua Piala AFC esok.
Mengharapkan magis Butler melakukan perubahan terutama bagi melonjakkan prestasi pasukan, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh meletakkan sepenuh kepercayaan buat pengganti Mat Zan Mat Aris itu untuk membawa Skuad Peteh ke peringkat separuh akhir Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Meskipun masih terlalu awal untuk menilai corak latihan serta keserasian beliau (Butler) bersama pasukan memandangkan esok adalah perlawanan kedua buatnya selepas sah sebagai jurulatih Terengganu 14 Mei lalu, saya tetap yakin beliau mampu mengembalikan semula rentak kecemerlangan pasukan untuk mendapatkan kejayaan,” katanya, semalam.
Tidak mahu menjadikan pertemuan esok sebagai gelanggang membalas dendam ekoran terlepas peluang mara ke pusingan akhir Piala FA, Che Mat sebaliknya bersikap realistik dan mahu melupakan episod duka skuad Peteh dengan membuka lembaran baru bagi meneruskan saingan sama ada bagi Liga Super mahupun Piala AFC.
Menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mengendalikan pasukan kepada Butler, Che Mat berharap pasukan Terengganu mampu bangkit meskipun terpaksa beraksi tanpa tonggak utama termasuk penyerang berbisa, Abdul Manaf Mamat yang masih lagi belum sembuh daripada kecederaan.
No comments:
Post a Comment