Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Aku Salim dijangka menamakan kesebelasan utama pasukannya minggu depan setelah menilai prestasi mereka.
Beliau berkata, posisi pemain pertahanan akan menjadi fokus utamanya setelah ketiadaan Mohd. Zubir Azmi yang akan mewakili skuad Olimpik.
"Di bahagian pertahanan sekarang, kita ada Marzuki (Yusof), Mazlizam (Mohamad) dan pemain baru, Faizal (Mohamad) yang dipinjamkan daripada skuad Harimau Muda.
"Alhamdulillah. Saya tengok mereka bermain baik setakat ini dan saya harap kita dapat beri yang terbaik pada hari sebenar perlawanan (perlawanan pembukaan menentang Sime Darby FC pada 6 September ini)," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang tetangga, T-Team di Stadium Nasiruddin Shah yang berakhir dengan keputusan 2-2, kelmarin.
Menyentuh pertemuan tersebut, Irfan berkata, dia berpuas hati walaupun pasukannya tidak mempamerkan aksi rancak seperti biasa.
"Saya tak kisah kepada keputusan (seri 2-2) walaupun inilah satu-satunya perlawanan persahabatan yang kami lalui sebelum memulakan kempen Piala Malaysia musim ini," katanya.
Jelas beliau, apa yang penting ialah, para pemain perlu memberikan komitmen yang jitu sebaik kempen Piala Malaysia bermula nanti.
Terengganu pernah menjadi juara Piala Malaysia pada tahun 2001 dan muncul sebagai naib juara pada tahun 1973, 1982 dan 1998.
No comments:
Post a Comment