Friday, November 18, 2011

kualiti Pemain Diutamakan.


Pasukan Penyu memantapkan skuadnya dengan memanggil balik dua pemain kelahiran negeri ini bagi menghadapi cabaran musim 2012 yang dijangka lebih mencabar dengan kehadiran pemain import.

Dua pemain tersebut ialah Hariri Shafie yang bermain dengan pasukan Sabah dan Shamsul Kamal (T-Team).

Pengurus pasukan Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh, berkata pihaknya juga akan mendapatkan khidmat beberapa pemain pasukan Harimau Muda bagi menguatkan pasukan.

Menurut beliau, Terengganu masih mengekalkan 18 pemain utama pasukan tersebut dalam usaha menjaga prestasi pasukan pada musim depan.

“Terengganu yakin mampu mencapai kejayaan lebih baik dalam perlawanan Liga Malaysia musim depan di bawah bimbingan jurulatih baru Mat Zan Mat Aris,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan pencapaian jurulatih itu membawa Terengganu menjadi juara Piala Malaysia 2001."Kita yakin dengan kemampuan jurulatih yang berasal dari Kuala Lumpur ini," katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata tahun depan tugas Terengganu semakin mencabar iaitu selain menghadapi Liga Malaysia, pasukan itu juga bakal menghadapi pertandingan Piala AFC.

Katanya, Terengganu buat pertama kali dipilih menyertai kejohanan itu berikutan kejayaan pasukan bola sepak negeri itu menjadi juara Piala FA 2011.

Mengenai pemain import pula, Dato’ Che Mat berkata agen-agen telah memberi jaminan akan membawa pemain import yang berkualiti kepada Terengganu.

Beliau berkata pemain import itu penting bukan sahaja untuk menghadapi Liga Malaysia tetapi juga untuk menghadapi Piala AFC.

Terengganu berjaya mencatat kejayaan cemerlang dalam pertandingan Liga Malaysia musim ini iaitu juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

No comments:

Post a Comment