“TINGKATKAN prestasi jika tidak mahu dibubar,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kepada pasukan kelab Terengganu, T-Team yang dikatakan tidak menunjukkan prestasi cemerlang dan konsisten dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia sepanjang musim 2011.
Justeru, bagi mengelak pasukan itu hanya tinggal nama, barisan baru anak buah Yunus Alif yang bakal beraksi untuk musim 2012 bagaikan menempuh ujian getir apabila mereka perlu bekerja keras bagi membuktikan pasukan itu layak beraksi pada musim akan datang.
“Melihat prestasi T-Team yang kian merosot, saya beri setahun saja lagi untuk mereka tunjukkan peningkatan. Apa guna kita melabur berjuta ringgit jika tidak memberi pulangan bagus. Lebih baik wang itu kita gunakan untuk membiayai satu pasukan saja bagi mendapatkan pemain terbaik.
“Jika gagal, bermakna kita hanya ada satu pasukan bola sepak pada 2013,” katanya, kelmarin.
Amaran itu dikeluarkan ketika kemelut antara skuad Penyu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim masih hangat diperkatakan dan ia seharusnya tidak dipandang remeh pemain serta pengurusan T-Team jika mahu pasukan yang mengakhiri aksi perlawanan pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas tewas kepada Negeri Sembilan dengan agregat 2-6 itu, terus kekal bersaing.
Pastinya, amaran dikeluarkan peminat bola sepak nombor satu di Terengganu itu tidak menyenangkan penyokong fanatik pasukan berkenaan, namun ia wajar dalam usaha meningkatkan imej pasukan berkenaan selain meniup semangat juang pemain yang rata-rata dibarisi pemain berpengalaman dan memiliki nama besar dalam arena sukan bola sepak negara.
Kenyataan berbaur rasa dukacita itu tidak sepatutnya melunturkan semangat juang dan rasa kecil hati pemain dan pengurusan T-Team kerana ia wajar memandangkan pelaburan besar dibuat kerajaan negeri bagi membangunkan sukan bola sepak negeri ini.
Terengganu memperuntukkan RM6 juta setahun, masing-masing RM3 juta untuk T-Team dan pasukan negeri.Tahun depan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan setiap pasukan menggunakan khidmat pemain profesional dari luar negara dan ia tentunya memerlukan peruntukkan lebih besar berbanding sekarang.
“Saya juga sudah memberitahu Pengurus T-Team, Rozi Mamat untuk pilih pemain terbaik kerana bayaran bagi pemain luar negara sangat tinggi dan kita tidak mahu duit dikeluarkan untuk menggaji mereka sia-sia...sebab itu saya menasihatkan Rozi mencari pemain benar-benar bagus,” katanya.
No comments:
Post a Comment