Tuesday, May 11, 2010


SKUAD T-Team kini semakin gah dengan kemenangan dua kali ke atas juara Piala FA, Negeri Sembilan sama ada di tempat sendiri mahu pun di gelanggang lawan, sehingga kini berjaya menduduki tempat keempat dalam senarai Liga Super.

Kini, skuad di bawah kendalian Che Ku Marzuki Mohd Nor sedang membuat persiapan menghadapi kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini, dengan sasaran mengutip mata penuh dan menyekat lawan mencuri mata.
Pengurus T-Team, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yakin anak buahnya tidak memandang mudah pertemuan dengan Kuala Lumpur dan berusaha mempamerkan persembahan terbaik menyekat lawan daripada berkongsi mata.

“Saya percaya dengan barisan pemain yang ada dan sebilangan besar yang berpengalaman, sama ada pernah bersama skuad kebangsaan dan pasukan negeri tidak menghadapi kesukaran mencari kemenangan di tempat sendiri,” katanya.

Abdul Rahin mahu barisan serangan diketuai Mohd Haris Safwan Kamal bersama Abdul Hadi Yahya bertindak bijak melakukan ledakan tepat ke arah gawang lawan menghasilkan gol kemenangan bagi membantu pasukan tuan rumah mengutip mata penuh.

“Saya cukup berpuas hati dengan prestasi kedua-dua mereka dalam perlawanan lalu, kerana mampu menjaringkan gol dan mahu mereka mengulangi kejayaan apabila bertemu Kuala Lumpur nanti,” katanya

No comments:

Post a Comment