Thursday, December 16, 2010

Tiada Bintang

SKUAD Penyu yang berhajat memperbaiki pencapaian dalam Liga M tidak mahu memikat pemain berstatus bintang sebaliknya menyenaraikan sembilan pemain tidak ternama bagi mengharungi cabaran liga musim depan.

Ketua jurulatih Terengganu, Ifran Bakti Abu Salim tidak mahu memikat pemain ternama sebaliknya memilih pemain kurang ternama termasuk bekas pemain tengah KL Plus, Resyafiq Alwi bagi menggantikan Zairo Anuar Zailani yang menyertai T-Team musim depan.


Katanya, selebihnya adalah bekas penyerang dan pemain tengah serta penjaga gawang ketiga skuad T-Team, Abd Hadi Yahya, Ismail Faruqi serta Mohd Shahril Saari.

Menueur Ifran, turut diambil menyertai skuad Penyu adalah dua bekas pertahanan Pahang, Nik Zul Aziz Nawawi dan Hasmizan Komoridin, Ahmad Safuan (Perak), Maslizam Muhamad (Perlis) dan bekas penyerang Kelantan, Ailin Kamaruddin.


“Pada saingan musim depan, kita hanya menyenaraikan seorang saja pemain yang dikenali iaitu Resyafiq dan lebih berminat memikat pemain bukan berstatus bintang selain mengekalkan hampir semua kesebelasan utama musim lalu.


“Walaupun hanya memburu pemain tidak ternama, tidak semestinya skuad ini tidak berkualiti,” tegasnya.

Irfan yang membawa Terengganu ke kedudukan ketiga Liga Super musim ini selain layak ke separuh akhir Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia turut optimis adunan pemain baru dan sedia ada mampu memberi cabaran hebat.

Pemain sedia ada yang dikekalkan termasuk dua penyerang, Abd Manaf Mamat dan Mohd Ashaari Shamsudin selain kapten Marzuki Yusof serta penjaga gol kebangsaan, Mohd Sharbinee Alawi.

Wednesday, December 8, 2010

Pemain Gendang Diperlukan


Sesiapa yang berminat & pandai bermain gendang, sila email saya wmrahim@gmail.com dengan segera. Imbuhan akan disediakan.

TTeam Mantap


KEHADIRAN bekas trio Kelantan – Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Muhamad dan Azizi Mat Rose – bakal memudahkan tugas jurulatih baru pasukan Terengganu, T’Team, Yunus Alif membentuk pasukan mantap menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2011.

Yunus menyuarakan rasa yakin terhadap kemampuan pemain berpengalaman itu untuk melancarkan persiapan pasukan kelab dari pantai Timur itu serta mengejar matlamat.

“Saya akan gunakan segala pengalaman memastikan T’Team muncul antara barisan terbaik tahun depan,” katanya, semalam mengulas laporan akhbar, semalam yang menyebut Indra, Farhan, Azizi sudah mengesahkan menyertai pasukan berkenaan.

Bagi mengukur kehebatan pasukan, Yunus sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan iaitu menentang Selangor di Shah Alam pada 14 Disember, diikuti Felda United di Selangor (16 Disember), Pahang di Kuantan (18 Disember) dan Pos Malaysia (20 Disember).

Tuesday, December 7, 2010

Farhan, Indra & Azizi Milik T Team


BEKAS tonggak Kelantan, Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Muhamad dan Azizi Mat Rose sah bersama skuad T-Team pada saingan musim depan selepas menandatangani kontrak bersama pasukan itu sebaik kontrak mereka dengan skuad The Red Warriors tamat musim ini.

Jurulatih baru T-Team, Yunus Alif berkata, tiga pemain berkenaan berada di Kuala Terengganu dan mula menjalani latihan sejak beberapa hari lalu.


“Kini tidak timbul lagi desas-desus mengaitkan tiga pemain itu dengan skuad lama.

“Selain itu, penyertaan mereka sudah dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan hal ini sudah selesai dan tiga bekas ayam tambatan Kelantan itu kini sah bermain untuk T-Team musim depan,” katanya.


Sebelum ini, tiga pemain itu yang membantu skuad The Red Warriors menjulang Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah, dikhabarkan kekal bersama skuad Kelantan bersama Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Hairuddin Omar.


Bagaimanapun, mereka memilih T-Team untuk beraksi musim depan manakala Hairuddin memilih Negeri Sembilan dan Akmal Rizal bersama skuad Perak.

Yunus yang pernah menjulang Kasut Emas pada 1984 ketika bersama Pahang berkata, kehadiran tiga pemain yang beraksi di posisi pertahanan, tengah dan serangan bakal memperkuat T-Team yang berhasrat menjulang kejuaraan Liga Super.


Selain itu, Yunus berkata, Nor Farhan yang berasal dari Bukit Payong, Kuala Terengganu, bakal menjadi penggempur berbisa sambil dibantu Indra Putra di posisi tengah selain ketenangan Azizi menjadi tonggak di bahagian pertahanan.

“Saya yakin tiga pemain itu bakal menjadi tonik berharga buat pasukan,” katanya.

Monday, November 22, 2010

Takziah


Ahli Jkuasa PETEH, Mohd Nor Ibrahim yang bertugas Menjual air semasa perlawanan bola telah meninggal dunia pada 20.11.10. Maka mari kita sama2 memaafkan dia jika Allahyarham ada melakukan kesilapan secara langsung or tak langsung. Al Fatihah.

Saturday, June 19, 2010

Terengganu Juara Haktrik Bola SUKMA Ke 13

PERSEFAHAMAN MANTAP PUNCA TERENGGANU MENANG



Terengganu tidak menjangka dapat menewaskan Selangor 1-0 dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan Malaysia XIII Melaka 2010 semalam untuk mengekalkan pingat emas acara bola sepak yang dimenangi di tempat sendiri pada 2008. Jurulatihnya, Khalid Mohd. Dahan berkata, kejayaan itu berpunca daripada kerjasama sepasukan yang beraksi sepanjang 90 minit babak berlangsung.

``Kerjasama dan persefahaman yang diberikan itu menjadi faktor utama kita dapat menewaskan Selangor dan meraih emas buat kali ketiga berturut-turut.

``Ini adalah kemenangan paling bermakna bukan sahaja buat skuad bola sepak Terengganu tetapi juga untuk rakyat Terengganu,'' katanya.

Jaringan tunggal Rosli Muda pada minit ke-23 sudah cukup memberi kemenangan mutlak Terengganu mengekalkan pingat emas acara bola sepak sejak memenanginya pada temasya 2006 dan 2008.

Sementara itu, Pengurus Selangor, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, tuah tidak memihak kepada skuadnya walaupun mempunyai beberapa peluang untuk mencipta gol khususnya pada babak kedua.



Menurutnya, beliau akur apabila melihat anak buahnya akur dengan kehebatan Terengganu yang bijak mencuri peluang untuk mencipta jaringan menerusi Rosli Muda pada babak pertama. ``Berbanding Selangor, ada sahaja halangan seperti palang dan tiang gol menjadi penghalang.

Banyak peluang dicipta tetapi usaha untuk mendapat jaringan gol penyamaan tidak menjadi kenyataan,'' katanya. Buat Hamidin, beliau akur dan mengakui akan kehebatan lawan yang menggabungkan pemain skuad Liga Super Terengganu dan T.Team untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut.

``Kekalahan ini cukup mengecewakan tetapi sudah menjadi adat pertandingan ada kalah dan menang. Cuma Selangor tidak bernasib baik untuk bergelar juara Sukma,'' katanya.

Buat Selangor perjuangan dalam temasya yang akan diadakan dua tahun lagi akan diteruskan dan tidak rela lagi buruan emas sudah berakhir.


Thursday, June 17, 2010

Terengganu Buru Juara Haktrik SUKMA

TERENGGANU BURU KEMENANGAN HATRIK

Terengganu enggan mendabik dada untuk meraih pingat emas buat kali ketiga berturut-turut dalam acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) kerana lawannya Selangor tetap mempunyai kelebihan.

Atas kertas reputasi Terengganu dianggap cukup ampuh apabila menepati ramalan melangkah ke perlawanan akhir di Stadium Hang Tuah malam esok.

Berbekalkan kelebihan tanpa melepaskan sebarang gol sejak perlawanan pusingan awal hingga ke separuh akhir, ia cukup jelas membuktikan betapa benteng mereka cukup kental.

``Walaupun Terengganu dianggap sebagai pilihan untuk menang emas tetapi suasana perlawanan akhir cukup berbeza berbanding daripada saingan awal. ``Lagipun, Selangor adalah skuad yang cukup kental dan mereka mara ke akhir kerana mereka tetap mempunyai skuad yang cukup mantap,'' kata Pengurus Pasukan, Ahmad Awang.

Terengganu melangkah ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Hang Tuah, petang semalam.

Ujarnya, beliau tetap menganggap peluang skuad Terengganu adalah 50-50 walaupun sejak dari awal mereka diletakan sebagai pilihan untuk mengekalkan emas yang dimenangi pada temasya dua tahun lalu.

``Saya lega tidak ada sebarang kecederaan serius melanda kesebelasan utama dan kita akan menurunkan barisan terbaik berdepan Selangor,'' katanya.

Sunday, May 23, 2010

Terengganu Mengganas

Terengganu terus mengekori di tempat ketiga apabila membelasah Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan.

Terengganu memperoleh jaringan menerusi Zairo Anuar Zailani m-38 dan 64, Ahmad Nordin Alias minit ke-14, K Rajan minit ke-77, Mohd Hariri Mohd Safi minit ke-90 dengan S Veenod memperoleh gol sagu hati buat tuan rumah pada minit kecederaan.

Thursday, May 20, 2010

Prestasi Terengganu Menurun

Walapun menang keatas Perak, Prestasi Terengganu agak menurun berbanding di awal musim. Kemenangan 2 - 0 hasilan jaringan Ronny Harun & Ashaari Shamsudin tidak membantu menaik semangat pemain Terengganu.

Pertahanan mengekal corak permainan lama iaitu tidak marking pemain dengan rapat serta membiar pemain Perak menyerang & pertahanan akan bertindak apabila bola berada di dalam kotak penalti.

Apabila Zairo dikeluarkan maka pemain tengah tidak mampu menghantar hantar bola kepada penyerang. Penyerang pula menjadi kaku di hadapan di kawasan penalti Perak & tidak berani membuat percubaan.


FAM tolak Khalid Untuk T Team

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak permohonan pasukan kelab Terengganu, T-Team untuk menggunakan khidmat bekas penyerang kebangsaan, Muhamad Khalid Jamlus pada baki saingan Liga Super, musim ini.

Anggota jawatankuasa pertandingan tempatan, Wan Nizam Wan Omar berkata permohonan berkenaan ditolak kerana pemain terbabit sudah berdaftar dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada awal musim.

“Jadi terdapat peraturan menyatakan pemain yang didaftar sesebuah pasukan tidak boleh didaftar pasukan yang lain pada musim yang sama,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Sebelum itu, Wan Nizam mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pertandingan tempatan bagi kes terbabit berikutan pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Che Mat Jusoh, adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) di mana, pasukan T-Team adalah anggota gabungannya

Tuesday, May 11, 2010


SKUAD T-Team kini semakin gah dengan kemenangan dua kali ke atas juara Piala FA, Negeri Sembilan sama ada di tempat sendiri mahu pun di gelanggang lawan, sehingga kini berjaya menduduki tempat keempat dalam senarai Liga Super.

Kini, skuad di bawah kendalian Che Ku Marzuki Mohd Nor sedang membuat persiapan menghadapi kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini, dengan sasaran mengutip mata penuh dan menyekat lawan mencuri mata.
Pengurus T-Team, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yakin anak buahnya tidak memandang mudah pertemuan dengan Kuala Lumpur dan berusaha mempamerkan persembahan terbaik menyekat lawan daripada berkongsi mata.

“Saya percaya dengan barisan pemain yang ada dan sebilangan besar yang berpengalaman, sama ada pernah bersama skuad kebangsaan dan pasukan negeri tidak menghadapi kesukaran mencari kemenangan di tempat sendiri,” katanya.

Abdul Rahin mahu barisan serangan diketuai Mohd Haris Safwan Kamal bersama Abdul Hadi Yahya bertindak bijak melakukan ledakan tepat ke arah gawang lawan menghasilkan gol kemenangan bagi membantu pasukan tuan rumah mengutip mata penuh.

“Saya cukup berpuas hati dengan prestasi kedua-dua mereka dalam perlawanan lalu, kerana mampu menjaringkan gol dan mahu mereka mengulangi kejayaan apabila bertemu Kuala Lumpur nanti,” katanya

Sunday, May 2, 2010

Ashaari Penjaring Gol Terbanyak
























Jaringan Setakat perlawanan dengan Perlis pada 24.4.10

Friday, April 30, 2010

Khalid Sertai T-Team



KEHADIRAN Khalid (depan) bakal menambah sengat di barisan serangan pasukan T-Team.


PASUKAN berstatus kelab, T-Team mendapat suntikan semangat pada baki kempen Liga Malaysia musim ini apabila bakal mendapat khidmat bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus, lapor MUSTAPA LAKAWA.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu yang pernah menyarung jersi Perak, Selangor dan Kelantan akan menyertai T-Team daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penghijrahan Khalid ke T-Team dipercayai ekoran kontroversi yang tercetus pada Januari lalu.

Dalam masa yang sama, kehadiran Khalid juga amat diperlukan T-Team untuk mengisi kekosongan di bahagian jentera serangan selepas Hairuddin Omar berhijrah ke Kelantan pada penghujung musim lalu.

Difahamkan, Khalid yang juga bekas pemain skuad Olimpik 2000 akan menandatangani perjanjian bersama T-Team dalam masa terdekat untuk kontrak sehingga penghujung musim ini.

Ini bermakna, pemain berpengalaman berusia 33 tahun itu akan beraksi dalam skuad T-Team untuk baki 13 perlawanan Liga Super musim ini.

Ketika ini, T-Team yang berada di tangga kesepuluh Liga Super bergantung harap kepada sentuhan dua penyerang, Mohd. Haris Safwan dan Abdul Hadi Yahya.

Haris, penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu kini telah meledak empat gol dalam kempen Liga Super sementara Hadi yang dibawa masuk dari Kuala Lumpur telah menjaringkan tiga gol.

Thursday, April 22, 2010

Kebangkitan Ashaari


JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti memuji persembahan bertenaga yang dipamerkan Ashaari Samsudin selepas pemain kebangsaan itu meledak empat gol untuk membantu kemenangan besar 6-3 skuad Penyu ke atas Johor kelmarin.

Pada perlawanan Liga Super di Larkin itu, Ashaari meledak empat gol masing-masing pada minit ke-4, 28, 55 dan 68 sementara dua lagi gol disumbangkan oleh Hariri Safi dan Wan Aliff Wan Jasmi.

Kemenangan di tempat lawan itu kembali melonjakkan Terengganu ke tangga kedua liga dengan 23 mata dan hanya dipisahkan tiga mata dengan pendahulu, Selangor.

"Ashaari adalah seorang penjaring, tetapi dia gagal melakukannya dalam beberapa perlawanan terdahulu.

"Kali ini, sentuhan pemain itu telah menjadi dan dia telah tunjukkan belangnya. Apa yang penting, kebangkitan yang dipamerkan Ashaari ini tiba tepat pada masanya," jelas Irfan mengulas mengenai empat gol yang dijaringkan Ashaari.

Bagi Ashaari sendiri, kejayaan meledak empat gol kelmarin meletakkannya kini sebagai penjaring terbanyak dalam Liga Super dengan sepuluh gol.

Dia kini diekori rapat oleh dua penyerang Selangor, R. Surendran dan Safee Sali dan bintang Kedah, Azlan Ismail yang masing-masing telah meledak tujuh gol.

"Selepas kalah kepada Johor FC Sabtu lalu, saya rasa kemenangan ini sebagai sesuatu yang penting buat kami.

"Saya percaya pemain juga telah mula sedar akan kemampuan mereka dan inilah yang saya harapkan daripada semua pemain.

"Saya tidak mahu mereka menganggap sesuatu itu sebagai sukar kerana ia hanya memberi risiko kepada kami," tambahnya.

Mengulas mengenai peluang Terengganu untuk memintas Selangor musim ini, Irfan menganggap ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

"Apa pun, persaingan masih panjang dan kami hanya perlu fokus kepada setiap perlawanan yang bakal kami lalui selepas ini," jelasnya.

Monday, April 19, 2010

Jadual Perlawanan & Kedudukan Liga



Irfan Kecewa


KESABARAN jurulatih Terengganu, Irfan Bakti tiba-tiba meletus sebaik sahaja melihat anak-anak buahnya tewas 0-2 kepada Johor FC pada aksi Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang kelmarin.

Pada perlawanan itu, Helmi Abdul Manan dan Mohd. Fazuan masing-masing meledak satu gol untuk menghadiahkan tiga mata penting buat pasukan tuan rumah.


Kemenangan itu sekali gus membolehkan Johor FC memintas Terengganu di tangga kedua untuk berada empat mata di belakang pendahulu, Selangor.

Bagi Irfan, kekalahan itu merupakan sesuatu yang sukar diterima ketika anak-anak buahnya berjaya mencipta banyak ruang untuk menjaringkan gol.

"Saya kecewa kerana pemain saya tidak boleh menjaringkan gol sedangkan peluang sudah ada di depan mata. Inilah yang menghairan- kan saya.

"Saya ingin memberi kredit kepada barisan pertahanan yang diketuai Marzuki Yusof kerana mampu bertahan dengan baik walaupun akhirnya kami dibolosi dua gol," jelas Irfan.

Ditanya adakah ketiadaan penyerang prolifik, Abdul Manaf Mamat yang digantung satu perlawanan menyebabkan Terengganu tewas, Irfan bingkas menafikan hakikat itu.

"Saya paling tidak suka apabila orang kata Terengganu akan kalah kalau tiada Manaf. Begitu juga masa ketiadaan Marzuki sebelum ini. Orang sering menjadikan itu sebagai alasan.

"Saya tidak boleh menerima alasan itu kerana kami bermain dalam satu pasukan. Semua pemain ada tanggungjawab masing-masing," tegasnya.

Tambah Irfan lagi, masalah yang dihadapi Terengganu kini adalah pemain yang dipertanggungjawabkan untuk mengemudi jentera serangan gagal melaksanakan tugasan mereka dengan baik.

"Saya sudah beri kepercayaan kepada mereka tetapi mereka tidak ambil peluang ini.

"Sepatutnya, kami boleh meraih sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan malam tadi (kelmarin), namun ketumpulan jentera sera- ngan telah menafikan peluang kami," jelas Irfan.

Pada perlawanan kelmarin, Terengganu yang tewas pada separuh akhir Piala FA awal bulan ini turun di gelanggang lawan tanpa kelibat Manaf selaku penjaring utama selain Firdaus Faudzi yang digantung dua perlawanan.

Ketiadaan Manaf dan Firdaus menyaksikan jentera serangan skuad Penyu diketuai oleh pemain kebangsaan, Ashaari Samsudin, K. Rajan, Joseph Kalang dan bintang muda, Wan Mohd. Aliff Wan Jasmi.

Begitupun, bekas pengendali skuad Perlis itu belum mahu menyerah kalah dalam pemburuan kejuaraan Liga Super musim ini.

"Sasaran kami memang untuk memburu piala tetapi apa yang penting sekarang adalah meletakkan Terengganu di kedudukan teratas liga.

"Saya harap pemain dapat mengambil iktibar daripada kekalahan ini kerana persaingan masih lagi panjang dan setiap pasukan juga masih mempunyai peluang," ujarnya.

Saturday, April 17, 2010

Terengganu Perlu Menang


Terengganu mahu melupakan kekecewaan tersingkir pada separuh akhir Piala FA, dengan mengalih tumpuan untuk menjuarai Liga Super.

Pertembungan dengan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang hari ini, disifatkan sebagai 'langkah pertama' dalam usaha tersebut.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti berkata, pemainnya akan turun beraksi di padang lawan dengan semangat baru, setelah semakin melupakan kegagalan dalam Piala FA.

''Kami perlu memburu tiga mata dalam pertemuan dengan Johor FC bagi meletakkan Terengganu dalam landasan yang betul," ujarnya.

Bagaimanapun, jurulatih skuad Penyu itu melahirkan kebimbangan, kerana dua pemain utama, Abdul Manaf Mamat dan Firdaus Faudzi, digantung.

''Ini merupakan ujian besar buat Terengganu, apabila bakal turun tanpa khidmat Manaf dan Firdaus pada perlawanan yang saya anggap cukup penting ini.

"Johor FC bukan pasukan yang mudah dijinakkan, apatah lagi mereka kini hanya satu mata di belakang kami dalam kedudukan liga," ujar Irfan.

Bagaimanapun, Irfan enggan menjadikan ketiadaan dua pemain utama itu sebagai alasan untuk mereka pulang dengan tangan kosong.

Bagi memperkukuhkan barisan pemain, Irfan bersedia membariskan beberapa pemain muda, selain meletakkan harapan kepada pemain berpengalaman, Ashaari Samsudin dan Marzuki Yusof.

"Pasukan ini memiliki ramai pemain berbakat dan saya tidak perlu bimbang untuk menentukan kesebelasan utama.

"Apa yang penting adalah kami berjaya membawa pulang tiga mata penting bagi membuka peluang kepada kami bergelar juara liga," jelas Irfan.

Sunday, April 11, 2010

Sokong Tindakan Tegas

PETEH menyokong penuh tindakan tegas Persatuan Bolasepak Terengganu memecat mana-mana pemain Terengganu yang menyalahi undang-undang.

Setiausaha PETEH Wan Azmi berkata mengambil dadah bukan satu cara terbaik untuk meningkat pretasi pemain tetapi dia boleh merosak cara berfikir stamina dalam masa jangka panjang.

Pada pemain-main lain ambillah tindakan tegas oleh PBSNT terhadap pemain tersebut sebagai iktibar, sesungguhnya mengambil dadah bukan penyelesaian terbaik.

Akan Di pecat Jika DiDapati Bersalah


Seorang pemain bola sepak negeri Terengganu yang ditahan minggu lepas kerana disyaki mengambil dadah, berhadapan dengan kemungkinan akan ditamatkan kontrak perkhidmatannya dengan pasukan bola sepak negeri jika beliau terbukti bersalah.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata buat masa kini PBSNT sudah menggantung sementara khidmat pemain itu.

Beliau berkata PBSNT merasa sungguh dukacita apabila seorang pemain negeri yang mempunyai serba kemudahan dan elaun, dikaitkan dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"Walaupun sukar mencari pemain ganti, PBSNT akan tetap mengambil tindakan tegas kerana ini melibatkan maruah pasukan," katanya semalam.
Sebuah akhbar pada Sabtu melaporkan seorang pemain bola sepak Terengganu diberkas kerana disyaki mengambil dadah bersama seorang anggota polis, dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Tok Lam, di Kuala Terengganu, minggu lepas.

Che Mat Jusoh berkata kes pemain itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat exco PBSNT yang akan diadakan dalam masa terdekat, dan menurutnya perkara itu perlu dibincangkan segera kerana ia membabitkan undang-undang negara dan maruah PBSNT.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata kes pemain Terengganu ini boleh dijadikan pengajaran dan tauladan kepada pemain-pemain yang lain.

Tuesday, April 6, 2010

Spidermen terlepas


Spiderman & Pidot Firdaus

Monday, April 5, 2010

Angkara Kelemahan Pertahanan


Pemain Kedah, Badrol Bakhtiar (kiri) berjaya mengelirukan pemain Terengganu, Ronny Harun pada perlawanan Piala FA di Alor Setar, kelmarin. Kedah menang dengan agregat 4-1.


Keberkesanan percaturan pasukan Kedah yang menekankan corak menyerang meskipun mempunyai bekalan gol selesa dilihat antara faktor membawa skuad itu mara ke perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Tidak mahu mengamalkan permainan bertahan, skuad Hijau Kuning memulakan misi memburu gol ke atas pasukan Terengganu sebaik wisel perlawanan ditiupkan dalam saingan separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman kelmarin.

Taktik itu berkesan apabila Sang Kenari memperoleh gol seawal minit kelima sebelum menambah jaringan 19 minit kemudian sekali gus menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA edisi ke-21 dengan agregat 4-1.

Aksi di pentas akhir itu merupakan kali keempat bagi skuad Hijau Kuning yang akan bertemu Negeri Sembilan selepas muncul juara sebanyak tiga kali iaitu pada 1996, 2007 dan 2008.

Ketua jurulatih, Ahmad Yusoff berkata, strategi pasukan Kedah untuk mengasak ke kubu Terengganu membuahkan hasil apabila anak buahnya berjaya mencipta dua gol pada babak pertama perlawanan.

Keadaan itu, katanya, menambahkan keyakinan kesebelasan Sang Kenari yang turun beraksi dengan bekalan dua gol.

''Kami memang tidak mahu bermain secara bertahan kerana taktik seumpama itu akan memberi tekanan kepada pemain.

''Syukur kerana Kedah dapat bermula dengan garang apabila menjaringkan dua gol lagi yang membuatkan para pemain lebih yakin.

''Tetapi barisan Kedah kemudian nampak mula selesa sehingga menjadi agak leka yang memberi peluang kepada Terengganu untuk mengasak dan mendapat satu gol,'' katanya

Thursday, April 1, 2010

Terengganu Mampu Menang Melalui Penalti


KEDAH tidak mahu mendabik dada biarpun mempunyai kelebihan dua gol setelah mengatasi Terengganu 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Atas kertas, Kedah berada sebelah kaki ke pentas final Piala FA tetapi skuad Kenari itu tidak mahu memandang mudah pertemuan kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar Sabtu ini.

Ketua jurulatih Kedah, Ahmad Yusof memberitahu, beliau tidak mahu anak-anak buahnya berada dalam zon selesa dan terus dibuai dengan kemenangan tersebut.

Sebaliknya, Ahmad berkata, aksi separuh akhir kedua itu nanti lebih mencabar lebih-lebih lagi beraksi depan penyokong sendiri.

"Saya dan seluruh pasukan bersyukur dengan kemenangan itu tetapi kami tidak mahu berasa selesa. Kami tidak mahu cepat berpuas hati.

"Perjuangan kami belum tamat, pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika pemain leka pada aksi separuh akhir kedua nanti," kata Ahmad di Alor Setar semalam.

Ahmad menambah, anak-anak buahnya perlu lebih berhati-hati pada pertemuan kedua memandangkan Terengganu mempunyai rekod yang baik pada saingan suku akhir lalu.

Katanya, skuad kendalian Irfan Bakti itu menampilkan kebangkitan yang hebat ketika menentang T-Team pada aksi suku akhir sebelum berjaya menempah tiket ke separuh akhir.

"Situasi itu sedikit memberi kesan kepada pasukan, namun Kedah perlu mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri dengan meraih kemenangan," katanya.

Pada aksi kelmarin, Kedah membawa bekalan dua gol ke Alor Setar selepas Faizal Abu Bakar meledak gol pembukaan pada minit ke-28.

Bekas penyerang Terengganu, Azlan Ismail mengesahkan kemenangan bergaya Kedah apabila menjaringkan gol kedua skuad Kenari pada minit ke-57.

Menurut Ahmad, kejayaan itu diraih menerusi kesungguhan yang ditunjukkan pemain-pemainnya yang begitu bersemangat untuk meraih kemenangan di gelanggang lawan.

Katanya, mereka begitu komited dalam permainan dan memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.

"Pujian seharusnya diberikan kepada pemain. Mereka beraksi dengan baik," katanya.

Wednesday, March 31, 2010

Angkara Tiada Marzuki

Di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Kedah memperoleh kelebihan apabila aksi bertenaga mereka berjaya membenam Terengganu 2-0.

Gol pembukaan skuad Kenari disempurnakan oleh Mohd. Faizal Abu Bakar pada minit ke-28.

Mohd. Fiazal bijak mengambil peluang akibat kesilapan pemain tengah Terengganu, Hariri Md. Safii, yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti.

Azlan Ismail memastikan Kedah mendapat bekalan selesa menjelang pertembungan separuh akhir kedua di tempat sendiri, apabila menyumbat gol kedua Kedah pada minit ke-57.

Segala-galanya bermula apabila Azlan berjaya menyambar bola sepakan bebas Badrol Bakhtiar di dalam petak penalti, sebelum percubaannya tepat ke gawang.

Menyedari ketinggalan, Terengganu melakukan serangan balas menerusi percubaan Mohd. Ashaari Shamsuddin pada minit ke-63.

Pemain itu menerima bola hasil sepakan bebas Zairo Anar Zalani, namun tandukannya terkena tiang gol.

Dua minit kemudian, skuad Penyu sekali lagi gagal menyempurnakan serangan menerusi Mohd. Firdaus Fauzi.

Gerakan pemain itu lebih awal dihalang oleh pertahanan Kedah, yang membolehkan penjaga gol, Mohd. Helmi Eliza Elias mudah menampan bola.

Kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan seimbang, apabila masing-masing membuat serangan bertubi-tubi pada perlawanan di atas padang licin, ekoran hujan lebat pada awal perlawanan.

Separuh masa pertama menyaksikan Kedah memulakan asakan, sehingga mendapat empat sepakan bebas, namun semua percubaan mereka gagal menembusi gawang.

Badrol Bakhtiar turut gagal menyempurnakan peluang hasil sepakan sudut pada minit ke-14, apabila percubaannya diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee.

Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung Sabtu ini

Kerana mu Terengganu











Penyokong fanatik Terengganu yang sanggup menconteng mukanya..

Tuesday, March 30, 2010

Tiket Bola



Jangan lupa beli tiket... jangan asik nok masuk free je.. jangan panjat pagar..

Serangan Bertubi-tubi Dari Terengganu


Skuad Penyu berhasrat memburu gol sebanyak mungkin di gelanggang sendiri menentang Kedah dalam pertemuan separuh akhir pertama Piala FA, malam ini. Justeru, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti mahu anak buahnya melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu lawan bagi mencapai hasrat itu.

Kata Irfan, beliau menjangka Kedah akan menggunakan taktik bertahan dalam pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

''Jadi saya mahu barisan pemain menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk memburu sebanyak mungkin sebelum ke Alor Setar untuk aksi kedua Sabtu ini.

"Kedah mungkin lawan yang sukar, tetapi harus diingat bahawa kami pernah membelasah pasukan hebat seperti Selangor musim ini," katanya.

Irfan berkata, anak buahnya kini bersiap sedia untuk mengharungi dua aksi penting di peringkat separuh akhir.

''Empat pemain utama Terengganu yang sebelum ini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sejak minggu lalu, akan bersama turun bermain turut memberi semangat tambahan kepada pemain lain.

Beliau memberitahu, tugas kapten pasukan dalam perlawanan separuh pertama itu akan diserahkan kepada pemain tengah, Zairo Anuar Zalani ekoran ketiadaan Marzuki Yusof.

''Tugas di posisi serangan pula, diletakkan di bahu Abdul Manaf Mamat dan pemain kebangsaan, Mohd. Ashaari Shamsuddin.

"Semua pemain yang berada dalam skuad ini adalah yang terbaik dan siapa sahaja yang disenaraikan pada perlawanan esok (malam ini) mampu menjalankan tugasan mereka dengan baik.

Kedah Bimbang Pemain Gugup


Jangan gugup sehingga hilang fokus meskipun beraksi di hadapan penyokong lawan. Itu nasihat pemain paling berpengalaman Kedah, Victor Andrag terhadap rakan sepasukan menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Victor yang pernah beraksi sebanyak lima kali di pentas akhir bersama pasukan Kedah sejak 2004 berkata, kesebelasan Sang Kenari mesti yakin kepada keupayaan diri sendiri dengan memperagakan persembahan terbaik di gelanggang lawan.

Katanya, dalam suasana peringkat seperti itu, antara faktor yang paling penting ialah menyerap tekanan dan kemudian meningkatkan semangat serta komitmen di atas padang.

Dia yang terkilan kerana tidak dapat beraksi bersama Sang Kenari akibat kecederaan turut berharap rakan-rakan akan berjuang habis-habisan menentang skuad Sang Penyu bagi mencari bekalan menjelang perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

"Walaupun ada beberapa pemain utama dan senior Kedah tidak dapat diturunkan akibat kecederaan serta digantung perlawanan, namun ia bukan alasan untuk lemah semangat.

"Mereka mesti yakin boleh melakukan yang terbaik tanpa pemain-pemain berkenaan. Kalau tidak boleh buat, mereka tidak akan sampai ke peringkat ini," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Victor mewakili Kedah sejak 10 musim lalu dan merupakan antara watak penting dalam membantu Hijau Kuning meraih gelaran treble berganda Liga Malaysia iaitu pada musim 2007 dan 2008.

Ketua pasukan Sang Kenari itu bagaimanapun terpaksa berehat sejak tiga bulan lalu akibat kecederaan dan dijangka hanya dapat beraksi semula pada bulan depan.

Menurut Victor, gandingan pemain senior dan baru di dalam skuad Hijau Kuning perlu saling bekerjasama dan bergerak dalam satu pasukan dengan mematuhi strategi yang dirangka oleh barisan kejurulatihan diketuai oleh Ahmad Yusoff.

Terengganu Pilihan Jurulatih


Persoalan pasukan manakah yang mampu mara ke perlawanan akhir Piala FA 2010, bakal terjawab mulai malam ini dengan pertemuan pertama suku akhir di Shah Alam dan Kuala Terengganu, sebelum disusuli episod kedua di Seremban serta Alor Setar pada 3 April nanti.

Umpama mewakili setiap zon yang mana Selangor dari pantai barat, Terengganu mengibar harapan pantai timur manakala Kedah, jaguh dari utara dan Negeri Sembilan membawa cabaran dari selatan.

Persaingan kali ini cukup menarik untuk diperkatakan, tambahan keempat-empat negeri mempunyai sokongan peminat yang ramai.

Secara kasar, kesemua pasukan ini ada kemampuan untuk layak ke perlawanan akhir pada 10 April ini berdasarkan 'senjata' tersendiri yang ada pada setiap pasukan.

Namun, berdasarkan ramalan serta pengamatan kebanyakan jurulatih, mereka semua sepakat menyatakan juara bertahan, Selangor dan Terengganu merupakan pilihan untuk beraksi di pentas akhir berbanding, Kedah serta Negeri Sembilan.

Bagi jurulatih Perlis, Nidzam Adha Yusof, beliau memilih Selangor dan Terengganu kerana mendapati kedua-dua pasukan mempunyai keunggulan tersendiri selain tahap permainan yang konsisten.

''Antara Selangor dan Negeri Sembilan, pilihan saya adalah Selangor kerana mereka begitu berpengalaman bermain di peringkat sebegini, selain mempunyai kekuatan pemain yang menyeluruh.

''Bukan untuk menidakkan keupayaan Negeri Sembilan, namun saya nampak Selangor begitu kuat dan sukar dikalahkan pada masa sekarang.

''Sementara itu, Terengganu pula nampak semakin yakin selepas membuat kebangkitan di peringkat suku akhir daripada ketinggalan 1-3 pada pertemuan pertama kepada T-Team sebelum menang 4-1. Ternyata anak-anak buah Irfan Bakti ada kekuatan mental yang diperlukan untuk bersaing pada tahap ini, '' katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Nada yang sama turut diluahkan oleh jurulatih Harimau Muda B, Ong Kim Swee, yang menganggap Selangor layak dilabel pasukan pilihan berdasarkan rekod mereka pada saingan Piala FA dan Terengganu, yang semakin hebat di bawah sentuhan Irfan Bakti.

''Saya cukup berminat melihat perkembangan Terengganu yang begitu cemerlang pada musim ini berdasarkan persembahan konsisten mereka di liga.

''Tidak nafikan Irfan adalah seorang jurulatih yang baik dan cemerlang, untuk mengubah keputusan perlawanan pertama dari 1-3 dan menang 4-1, anda memerlukan seorang jurulatih yang bagus,'' ujarnya.

Bagaimanapun, Kim Swee beranggapan adalah sesuatu yang tidak adil jika menganggap lawan Terengganu, tidak berpeluang untuk mara walaupun mempamerkan aksi kurang konsisten musim ini.

''Masalah Kedah hanya satu iaitu mereka begitu bergelut ketika bermain di laman sendiri. Jika mereka berjaya mengubah situasi terbabit, saya lihat Terengganu akan berdepan masalah besar untuk mengatasi anak-anak buah Ahmad Yusof,'' katanya.

Di sebalik ramalan kedua-dua jurulatih itu, Dollah Salleh berpendapat Negeri Sembilan boleh membuat kejutan menewaskan Selangor kerana melihat pertemuan antara dua negeri itu seimbang serta 50-50.

''Sukar untuk memilih di antara kedua-dua pasukan ini, kita sedia maklum Selangor amat digeruni berdasarkan rekod mereka dalam Liga Super di samping mempunyai ramai pemain berkaliber. Namun, Negeri Sembilan tidak boleh diperkecilkan kerana barisan pemainnya amat berpengalaman seperti Idris Karim serta Shukor Adan.

''Satu lagi persaingan separuh akhir, saya memilih Terengganu untuk mengatasi Kedah,'' katanya.

Sementara itu, jurulatih Selangor K. Devan berhasrat memburu kemenangan selesa ke atas Negeri Sembilan, sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol sebelum bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 3 April depan.

Namun begitu, Devan masih menghormati kemampuan skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan, sambil menyifatkan rekod Negeri Sembilan dalam pertandingan Piala FA tahun ini lebih baik berbanding pasukannya.

''Sepanjang laluan kami ke suku akhir, kami hanya menghadapi dua pasukan dari Liga Perdana, PKNS dan Pos Malaysia sedangkan Negeri Sembilan berjaya menyingkirkan dua pasukan Liga Super, Johor FC dan KL Plus.

''Oleh itu, saya sifatkan esok (hari ini) merupakan ujian sebenar kepada kekuatan Selangor dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala FA '' katanya yang ditemui selepas sesi latihan skuad Selangor di Stadium Shah Alam, petang semalam.

Kapten Selangor, Amri Yahyah berazam mahu membantu Selangor menjuarai Piala FA sekali lagi pada tahun ini serta kali keempat sepanjang bersama skuad Merah Kuning.

''Bagaimanapun, saya menasihatkan rakan sepasukan jangan terlalu yakin dan memandang kepada kemampuan Negeri Sembilan. Biarpun rekod lalu memihak kepada kita, ia bukan ukuran sebenar untuk perlawanan pada hari esok (hari ini).

Saturday, March 27, 2010

Terengganu Menuju Juara


Bagi menghangat suasana separuh akhir Piala FA, PETEH akan meletak banner Terengganu Menuju Juara bagi memberi sokongan & menaikan semangat pemain Terengganu menentang pasukan Kedah.

Friday, March 26, 2010

Berita Gembira Untuk Terengganu


Kedah menerima 'tamparan' awal menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Terengganu pada 30 Mac ini selepas kehilangan penyerang utamanya, Azlan Ismail yang digantung tujuh perlawanan dan didenda RM4,000 selepas mengaku salah mengasari pengadil.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, keputusan itu telah diputuskan oleh Lembaga Tata Tertib FAM setelah menerima laporan daripada pegawai yang bertugas ketika perlawanan suku akhir pertama membabitkan Kedah menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darul Aman pada 9 Mac lalu.

"Setelah mendapat laporan lengkap daripada pegawai, kami telah menghantar surat kepadanya dan memberikan dua opsyen iaitu, mengaku salah atau menghadap Lembaga Tatatertib.

"Pagi tadi, dia telah menjawab surat tersebut dengan mengaku salah atas tuduhan itu dan itulah hukuman yang telah dijatuhkan kepadanya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambah Azzuddin, hukuman itu berkuat kuasa serta merta dan penyerang itu tidak akan beraksi pada perlawanan separuh akhir Piala FA, diikuti aksi berikutnya dalam saingan Liga Super yang akan bersambung 17 April ini.

Kedah akan bertemu Terengganu dalam separuh akhir pertama Piala FA di gelanggang lawan pada 30 Mac ini.

Melawat Yahya Jusoh



PETEH telah mengunjungi bekas pemain bolasepak negara & Terengganu, Yahya Jusoh dirumah Permint Jaya. Yahya yang sedah mengidap sakit saraf telah menerima sumbangan hamper buah & kewangan dari PETEH.

Bermesra dengan pemain Terengganu






Ahli Jawatankuasa berjumpa dengan pemain-pemain, jurulatih dan Pengurus