Sunday, March 22, 2015

Brangaca Import Baru Terengganu


Terengganu bakal diperkuat seorang pemain import baharu apabila pintu perpindahan kedua dibuka, April ini.

Jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi mendedahkan pemain import baharunya itu ialah Jaime Braganca, seorang pemain tengah menyerang berasal dari Portugal tetapi kini baru saja mendapat kerakyatan Timor Leste.

“Brangaca kini di Timor Leste untuk menyelesaikan urusan pasportnya. Dalam sehari dua ini dia akan ke Kuala Terengganu untuk mengisi kekosongan slot seorang pemain import Asia menggantikan Hassan Chaito dari Lubnan yang mengalami kecederaan teruk sebelum musim bermula.

“Apabila Braganca selesai segala urusannya itu, kami akan mendaftarkannya terus apabila pintu perpindahan kedua dibuka, bulan depan,” kata Abdul Rahman pada sidang media berkenaan.

Terengganu hanya menggunakan tiga pemain import – Paulo Rangel, Gustavo Lopez dan Vincent Bikana sepanjang lima aksi Liga Super musim ini dan juga dua aksi Piala FA.

Friday, March 20, 2015

Bikana Penyerang 5 Minit Terakhir



Kebangkitan Terengganu untuk menyingkirkan Selangor pada aksi yang berlanjutan ke masa tambahan, malam tadi, Abdul Rahman berkata, percaturannya menukar posisi Bikana dari posisi pertahanan ke posisi penyerang pada lima minit terakhir ternyata membuahkan hasil.

“Saya laung kepada Bikana, kamu jadi penyerang untuk lima minit terakhir ini. Ketika itu saya sudah buat dua pertukaran dan sudah terfikir kalau kita kena 2-0 pun tak mengapa. Alhamdulillah Bikana berjaya menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

“Selain itu, saya lihat Selangor main tempo begitu tinggi pada separuh masa pertama dan mereka mula perlahan pada babak kedua. Mungkin juga mereka sudah terlebih yakin selepas mendahului pada minit ke-21.

“Tapi yang penting, para pemain Terengganu sudah bangkit serta menunjukkan komitmen dan semangat juang tinggi untuk mencari kemenangan dan akhirnya berjaya menambah dua lagi gol pada masa tambahan (jaringan sendiri Robert Cornthwaite minit ke-104 dan Zairo Anuar Zalani minit ke-120),” jelas Abdul Rahman.

Thursday, March 19, 2015

Selangor Menangis Lagi


Juara Piala FA tahun 2000 dan 2011, Terengganu memilih jalan sukar sebelum menempah slot suku akhir apabila menumbangkan juara lima kali Selangor 3-1 di Stadium Shah Alam selepas masa tambahan dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA semalam.

Jaringan sendiri oleh pertahanan Selangor, Robert Cornthwaite pada minit ke-104 dan Zairo Anuar Zailani pada minit ke-120 menjadi medan pemisah antara kedua-dua pasukan selepas terikat 1-1 dalam 90 minit permainan.

Sebelum itu, Selangor membuka langkah dengan penuh menyakinkan melalui jaringan pendahuluan Guiherme De Paula pada minit ke-21 tetapi tonggak dari Cameroon, Vincent Bikana menghidupkan peluang skuad Penyu menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-90.

Menanti Terengganu di suku akhir dalam format timbal balik ialah Perak yang mengalahkan satu lagi wakil Terengganu, T-Team 2-1 di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.

Rentak permainan pantas yang diterapkan oleh anak-anak buah Mehmet Durakovic membuatkan mereka tidak perlu menunggu terlalu untuk lama meraih jaringan pertama apabila De Paula menanduk cantik bola sepakan bebas pada minit ke-21 yang menggembirakan kira-kira 15,000 penyokong Selangor di Stadium Shah Alam.


Pasukan pelawat tidak berdiam diri dalam usaha mencari gol penyamaan dengan tiga minit kemudian, Ismail Faruqi hampir sahaja menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd. Syamim Othman namun percubaannya tersasar ke sebelah kiri.

Pada penghujung babak pertama, bekas penyerang Selangor, Paulo Rangel mensia-siakan peluang terhidang selepas sepakannya melepasi palang setelah gerakan dimulakan oleh pemain dari Argentina, Gustavo Lopez.

Penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri yang baru dipanggil menyertai kem Harimau Malaya, gagal menewaskan Sharbinee Allawee pada minit ke-50 walaupun dalam situasi lawan satu selepas berjaya mencuri bola daripada Mohd. Fakhrurazi Musa dalam kotak penalti.

Kecemerlangan Syamim menjadi penghalang buat Terengganu menyamakan kedudukan pada minit ke-63 apabila dia menampan sepakan bebas Gustavo dari luar kotak penalti.


Ketika Selangor hanya menunggu wisel perlawanan ditamatkan, Bikana mengheret permainan ke masa tambahan apabila mudah menolak masuk bola ke bahagian kanan gawang pada minit ke-90.

Malang terus bertimpa-timpa buat Selangor pada minit ke-104 apabila pertahanan tinggi lampai Selangor, Cornthwaite tertanduk bola ke dalam kawasan gol sendiri ketika cuba mahu mengeluarkan bola hasil hantaran lintang Gustavo.


Ketika api perjuangan pemain-pemain Selangor kian terpadam, Zairo memastikan kemenangan mutlak untuk skuad Penyu pada penghujung masa tambahan dengan memanfaatkan susulan sepakan bebas diambil oleh Gustavo yang mengenai tiang sebelum dia mudah menolak masuk ke dalam pintu gol yang terbuka luas.