Saturday, September 29, 2012

TTeam Mempunyai Jurulatih Merangkap Pengurus

T-TEAM bakal melakarkan sejarah dalam arena bola sepak negara apabila menjadi pasukan perintis melantik seorang jurulatih merangkap pengurus pasukan pada saingan Liga Super musim depan.

Pembaharuan drastik yang dilakukan oleh pasukan kelab Terengganu itu adalah bagi mencontohi sistem pengurusan kelab profesional dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kaedah 'dua dalam satu' itu adalah bagi memastikan pasukan T-Team diurus secara profesional dan calon berkenaan diberi tanggungjawab sepenuhnya tanpa diganggu oleh orang lain seperti sebelum ini.

"Pembaharuan ini, kami yakin pasukan T-Team akan kembali menyerlah pada musim akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah acara Larian Jambatan Sultan Mahmud 2012 yang disempurnakan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, hari ini.

Ditanya sama ada bekas jurulatih Terengganu, Peter James Butler, akan mengisi jawatan itu, Ahmad enggan mengulas.

"Itu saya tidak boleh komen, tunggu dan lihat bila sampai masanya pengumuman akan dibuat," katanya.

Kerajaan negeri menjadi penaja utama T-Team dan prestasi pasukan yang dibimbing oleh jurulatih Yunus Alif mengalami kemerosotan sehingga gagal layak ke suku akhir Piala Malaysia.

T-Team menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan menduduki tangga kelapan manakala pasukan Terengganu di tempat kelima.

Jangan Hadir Demo ABC

KELAB Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh) hari ini menyeru semua ahli kelab itu supaya tidak menyertai Demonstrasi Asal Bukan Che Mat (ABC) yang dijadualkan, Sabtu ini.

Setiausaha Peteh, Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata demonstrasi yang bertujuan mendesak Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che MatJusoh digugurkan tidak mendatangkan keuntungan kepada pembangunan bola sepak di negeri itu.

"Penyokong sepatutnya menghargai jasa dan pengorbanan Che Mat sehingga Terengganu menjadi salah sebuah pasukan disegani di tanah air.

"Penyokong tak boleh sesuka hati desak untuk gugurkan (Che Mat). Hanya dalam mesyuarat agung PBSNT sahaja yang boleh menggugurkan Che Mat dalam badan induk itu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penyokong patut melihat kejayaan Che Mat pada musim 2011 dengan membawa Terengganu ke final Piala Malaysia dan Piala FA serta muncul nain juara Liga Super.

Wan Mohd Azmi berkata, penyokong setia skuad penyu itu hendaklah bersikap profesional dan bukan mengikut emosi dalam kemelut yang melanda PBSNT sekarang.

"Kita tidak boleh emosi dengan meletakan 100 peratus kemerosotan pasukan Terengganu musim ini dibahu Che Mat, ia merupakan tanggungjawab bersama," katanya.

Rayuan Ditolak

Usaha pengendali Terengganu, Peter Butler untuk membersihkan namanya menemui kegagalan selepas Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menolak rayuan kes penggantungannya, semalam.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Mat Yusoff Mohamed berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti rayuan bertulis serta nota yang dihantar oleh jurulatih kelahiran England itu.

"Selepas membaca dan meneliti kandungan rayuan tersebut, kita berpendapat rayuan yang dikemukakan Butler adalah tidak berasas dan tidak mempunyai merit.

"Sehubungan itu, pihak jawatankuasa memutuskan untuk mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib) PBSNT (berhubung penggantungan Butler) sebelum ini," katanya semalam.

Jelas Mat Yusoff, pihaknya juga menasihati jurulatih itu supaya membuat rayuan terus kepada FAM dalam tempoh tujuh hari jika masih belum berpuas hati dengan keputusan itu.

Jurulatih berusia 46 tahun itu sebelum ini telah mengemukakan surat rayuan selepas digantung selama enam bulan selain berdepan tindakan pemotongan gaji dan denda sebanyak RM4,000 oleh PBSNT.

Ia ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh jurulatih itu kepada media berhubung dua pemain Terengganu didakwa membawa perempuan pulang ke bilik penginapan dan melanggar disiplin ditetapkan pengurusan.

Dia juga terbabit dengan pertelagahan dengan penjaga gol, Sharbinee Alawee Ramli yang dianggapnya bermain dalam keadaan meragukan.

Dalam pada itu, Butler ketika ditemui nyata begitu kecewa dengan keputusan PBSNT.

"Ya. Saya sangat kecewa. Ini sangat keterlaluan. Sudah beribu kali saya memberi kenyataan kepada media sebelum ini tetapi tidak ada apa-apa tindakan.

"Saya bersikap telus dalam hal ini dan akan beritahu apa yang mereka (media) nak tahu tentang pasukan.

"Bagaimanapun saya akan berbincang dengan peguam saya terlebih dahulu sebelum membuat rayuan terus kepada FAM berhubung perkara ini," katanya.

Thursday, September 20, 2012

Tawaran Dibuka

PASUKAN kelab yang berpangkalan di Kuala Terengganu, T-Team tetap akan bersaing dalam kancah Liga Super musim 2013.

Pengurusnya, Rozi Mamat berkata, pihaknya membuka tawaran kepada pemain pasukan lain yang berminat menyertai skuad Penyu Muda tahun depan.

"Bagi musim akan datang, kita mencari pemain yang benar-benar berkualiti dan mengalu-alukan mana-mana pemain seluruh negara beraksi bersama pasukan.

"Persiapan kita juga berjalan lancar sebagaimana kebiasaan," katanya menafikan desas-desus pembubaran T-Team yang ditubuhkan pada 2007 itu.

Menurut Rozi, T-Team tidak menghadapi sebarang masalah, cuma bukan rezeki untuk melangkah lebih jauh pada kejohanan Piala Malaysia.

"Tahun lalu kita berjaya hingga ke separuh akhir tapi tiada rezeki untuk kali ini," katanya.

Sementara itu, Rozi berkata, masa depan Yunus Alif selaku jurulatih yang tamat kontak pada November ini hanya akan diketahui bergantung kepada keputusan mesyuaratt tertinggi T-Team nanti.

Kecemerlangan janji Pengurus Baru



PENGURUS baru pasukan Terengganu Marzuki Sulong berjanji akan menggembleng tenaga bersama pasukan dalam usaha membawa sinar baru kepada anak buahnya dalam arena bola sepak tempatan musim depan.

Beliau berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan pemain berkualiti yang akan dibawa masuk ke dalam pasukan tersebut menjelang musim baru Liga Malaysia.

"Saya akan cuba dapatkan pemain baharu sama ada dari dalam atau luar Terengganu bagi merealisasikan impian tahun depan bagi mengukuhkan skuad ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini.Kontraktor dari Setiu itu menggantikan Datuk Che Mat Jusoh, yang kekal selaku Yang Dipertua PBSNT.



Marzuki juga berkata, beliau akan mencuba sedaya upaya membentuk pasukan yang mampu bersaing di peringkat global walaupun tugas itu dilihat agak berat untuk dilaksanakan, lebih-lebih lagi tanpa kehadiran jurulatih Peter Butler, yang digantung enam bulan mulai Isnin lepas oleh PBSNT kerana melanggar peraturan. 

Bagaimanapun, beliau akan cuba mendapatkan pandangan serta nasihat penggiat sukan bola sepak di negeri ini bagi merealisasikan impian itu.

"Insya-ALLAH, dengan kerjasama semua pihak termasuk pemain, saya yakin pasukan Terengganu akan tampil dengan wajah baru dalam bola sepak tanah air pada musim depan, dan saya masih belum fikirkan apa-apa strategi lanjutan buat masa ini," katanya.

Marzuki berkata, masalah jurulatih yang bakal membimbing Terengganu mengharungi musim depan akan ditentukan dalam masa terdekat bagi membolehkan pasukan itu membuat persediaan lebih awal.

Rombakan Besar besaran

Terengganu akan berwajah baru musim depan setelah 10 pemainnya memutuskan untuk beralih haluan, sekali gus memberi ruang untuk memulihkan skuad itu dihimpit kontroversi.

Antara yang menyatakan hasrat untuk berhijrah musim depan termasuk penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli dan Muslim Ahmad, dua pemain yang sebelum ini terlibat dalam kontroversi dengan jurulatih, Peter Butler.

Lain-lain pemain yang menyatakan hasrat yang sama termasuk dua pemain kelahiran Sarawak, Joseph Kallang Tie dan Reeshafiq Alwi.

Abdul Hadi Yahya, Shukor Jusoh, Hariri Mohd. Shafie dan Mohd. Ailim Fahmi Kamaruddin juga mahu berhijrah.

Keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan bersama antara pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan para pemain berkenaan yang meminta agar mereka 'dilepaskan' daripada skuad itu.

Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, dalam masa yang sama dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva juga tidak akan disenaraikan dalam pasukan setelah kontrak mereka tidak disambung.

"Dalam mesyuarat persatuan (PBSNT) tempoh hari, kami memutuskan 15 pemain dikekalkan, manakala lapan pemain akan dilepaskan berdasarkan persetujuan bersama dan dua pemain import tidak akan disambung kontrak," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas sesi perjumpaan dengan semua pemain skuad Penyu dan pasukan Piala Presiden di pejabat PBSNT di sini semalam.

Pada sidang akhbar itu, Che Mat turut mengumumkan pelantikan Marzuki Sulong sebagai pengurus pasukan Terengganu yang baru bagi mengambil alih tugas beliau.

Manakala Zulkifli Ali dan Ahmad Awang masing-masing dilantik sebagai penolong pengurus 1 dan penolong pengurus 2.

Seramai 15 pemain yang dikekalkan dalam skuad itu musim depan antaranya Abdul Manaf Mamat, Ismail Faruqi Asha'ari, Ahmad Nordin Alias, Mohd. Asha'ari Shamsudin, Faizal Mohd., Maslizam Mohamad dan ketua pasukan, Marzuki Yusof.

Mengulas lanjut mengenai beberapa pemain tonggak yang akan meninggalkan Terengganu, Che Mat berkata, pihaknya mengambil kira permintaan mereka agar 'dilepaskan' terutama melibatkan Mohd. Sharbinee dan Muslim.

"Kita sudah berbincang, umpamanya mengenai Sharbinee dengan situasi yang dialaminya serta keadaan persekitaran. Jadi eloklah dia keluar cari angin baru di tempat baru.

"Kami simpati, begitu juga dengan Muslim, dia minta dikeluarkan dari pasukan. Tapi semua (lima) pemain utama ini, apabila keadaan pulih dan mereka berhasrat kembali, kami sedia terima mereka," ujarnya.

Che Mat juga tidak menafikan pihaknya sudah mula menghubungi pihak tertentu serta beberapa pemain dari pasukan negeri lain bagi mengisi kekosongan itu termasuk dua pemain import.

Ditanya sama ada Terengganu akan memberi peluang kepada tiga pemain asal Terengganu yang sedang beraksi dengan pasukan lain seperti Hairuddin Omar, Norfarhan Mohamad and Norshahrul Idlan Talaha, beliau berkata, pintu untuk mereka sentiasa terbuka.

Wednesday, September 19, 2012

Perubahan Dalam Pengurusan Bolasepak Terengganu

Marzuki Sulong Naib Presiden PBSNT merangkap Yang Dipertua  PBS Daerah Setiu  (berbaju belang memakai topi) telah dilantik sebagai Pengurus Bolasepak Terengganu bagi menganti Dato' Che Mat Jusoh
Kembali untuk bermain pasukan Sarawak
Ditamatkan kontrak
Ditamatkan kontrak
LAIN-LAIN PEMAIN YANG TIDAK BERMAIN UNTUK TERENGGANU UNTUK MUSIM DEPAN IALAH

1. Shabinee
2. Muslim
3. Shukor
4. Kalang Tee
5. Raeshafiq
6. Hadi
7. Hariri
8. Mohd Aiilim
9. Frankey Doe
10. Erison Da Silva Santos.

PETEH mengucap terima kasih atas sumbangan anda untuk menaikkan nama dan imej Terengganu  sebagai kuasa sukan di Malaysia. 

Moga anda berjaya di pasukan lain pula.

Masih Menuggu Surat Rasmi

Jurulatih Terengganu, Peter Butler yang digantung enam bulan dan didenda RM4,000 oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kelmarin, tidak akan tunduk dengan desakan sesiapa yang mahukannya meninggalkan pasukan itu.

"Saya tidak akan ke mana-mana," kata Butler yang dijatuhi hukuman kerana memberi kenyataan kepada media tanpa kebenaran pihak pengurusan. "Mungkin ada pihak yang mahukan saya marah dan meninggalkan Terengganu namun mereka silap jika mereka berfikir begitu. 


"Saya seorang yang mempunyai prinsip dan setiap kali saya menerima tugas, saya akan melakukan yang terbaik, kata jurulatih berusia 46 tahun itu yang masih mempunyai kontrak sehingga November tahun depan. 

Selain gantung dan denda, gaji Butler bulan depan turut dipotong 15 peratus kerana kesalahan memarahi dan menolak penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, di khalayak ramai ketika perlawanan menentang Kedah di Kuala Terengganu, awal bulan ini.

Bincang dengan peguam

Jurulatih berbangsa Inggeris itu berkata, dia masih belum menerima surat rasmi daripada PBSNT mengenai penggantungan dan denda yang dikenakan ke atasnya. "Sehingga saya melihat dengan mata saya sendiri surat itu, saya tidak boleh berbuat apa-apa ataupun mengambil sebarang tindakan.

"Namun apa yang pasti, selain daripada berbincang dengan peguam, saya tidak akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya saya lakukan," katanya. 
Butler mengakui terkejut mendengar hukuman berat yang diterimanya namun dia tetap menghormati keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa tatatertib dan mesyuarat Majlis PBSNT.

Jurulatih itu berkata, dia datang ke Terengganu bertujuan membentuk pasukan yang baik.

"Tugas saya belum selesai dan sehingga ia tamat, saya akan terus berada di sini untuk menjalankan kewajipan saya. Namun, mungkin ada pihak atasan yang mempunyai idea lain dan sekiranya begitu saya juga akan menghormati keputusan mereka itu," katanya.

Shabinee Bersih

Tanda tanya mengenai nasib Sharbinee Allawee Ramli yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalani ujian poligraf akhirnya terungkai apabila penjaga gol itu dibebaskan daripada tuduhan menjual perlawanan.

Pengarah SPRM negeri, Md. Yusoff Md. Zin ketika mengesahkan perkara itu berkata, hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti atau dokumen yang menunjukkan wujud unsur rasuah dalam perlawanan Piala Malaysia, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, sepanjang siasatan dijalankan, SPRM telah memanggil beberapa orang saksi untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Ujian poligraf juga menunjukkan tiada tindak balas signifikan (no significant reactions) yang boleh mengaitkan perlakuan rasuah seperti yang didakwa.

“Ketika rakaman ujian poligraf dijalankan, keputusan yang diperoleh mendapati beliau (Mohd. Sharbinee) bercakap benar terhadap soalan-soalan yang dikemukakan," katanya semalam.

Sharbinee dituduh menjual perlawanan ketika beraksi dalam perlawanan Terengganu menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, 1 September lalu.

Aksinya menimbulkan keraguan jurulatih Peter Butler apabila bola terlepas mudah daripada jangkauan dan menerobos gawang ketika Terengganu mengharapkan kemenangan untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.

Sharbinee mengakui kesilapannya namun menolak tuduhan ia mempunyai kaitan menjual permainan.

Md. Yusoff berkata, kes tersebut disiasat seperti mana diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan siasatan yang dijalankan adalah bebas, telus dan profesional.

Sharbinee mula dipanggil SPRM negeri pada 4 September lalu dan sekali lagi pada keesokannya untuk siasatan termasuk dikehendaki menjalani ujian poligraf.

Selain Sharbinee, tujuh lagi individu termasuk dua lagi pemain Terengganu turut dipanggil SPRM pada 5 September lalu bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, hanya penjaga gol Terengganu itu yang menjalani ujian poligraf.

Siasatan itu dijalankan berikutan kenyataan Sharbinee pada 3 September lalu dia bersedia disiasat SPRM setelah dikatakan menjual perlawanan berdasarkan kegagalannya menghalang jaringan Kedah.

Pada perlawanan itu, Mohd. Sharbinee turut menjadi sasaran kemarahan jurulatih Peter Butler, menyebabkan dia dikeluarkan sebelum tercetus pertelingkahan di luar padang.

Tuesday, September 18, 2012

Shabinee Bebas - SPRM


Dilema Terengganu

Nasib buruk skuad hitam putih yang terkenal dengan gelaran Sang Penyu itu mula kelihatan sejak permulaan saingan liga, berikutan persembahan hambar dan tidak konsisten sesudah melepasi lima perlawanan pertama.

Berang menyaksikan persembahan yang goyah itu, sekumpulan besar anak muda yang mendakwa sebagai peminat tegar Sang Penyu mengadakan tunjuk perasaan di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) sejurus berakhir satu perlawanan liga.

Mereka menuntut barisan kepimpinan skuad Penyu terutama pengurusnya, Datuk Che Mat Jusoh dan Ketua Jurulatih, Mat Zan Mat Aris, segera berundur.

Gesaan itu tidak terhenti setakat mengadakan tunjuk perasaan di luar stadium dan memberi kenyataan media pada malam itu sahaja, sebaliknya mereka berarak ke rumah Che Mat di pinggir bandar Kuala Terengganu.

Di luar pagar kediaman Che Mat yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), mereka melaungkan gesaan supaya tokoh tersebut angkat kaki daripada pasukan.

Selain melontarkan kata-kata gesaan, juga terjulang sepanduk yang senada dengan laungan itu, namun mereka beredar setelah diarahkan bersurai oleh pihak berkuasa.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, tindakan itu bagaimanapun tidak melibatkan penyertaan kelab penyokong pasukan bola sepak Terengganu yang dikenali sebagai Peteh.

Sungguhpun tidak diurus dengan terancang, gelombang penentangan akibat rasa tidak puas hati itu membesar dan kian mendapat sokongan anak muda dari seluruh negeri.

Gelora tersebut memasuki episod baharu apabila ramai peminat tegar skuad Penyu memboikot beberapa perlawanan seterusnya di SSINS.

Ekoran itu, prestasi Sang Penyu yang pada awalnya berada dalam kelompok empat pasukan teratas dalam carta Liga Super, makin menjunam hingga menimbulkan keresahan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Biarpun begitu, beliau masih mempertahankan kedudukan barisan kepimpinan skuad Penyu dan meminta usaha pemulihan prestasi dilaksanakan dengan segera.

Banyak pihak melihat kepincangan skuad Penyu bermula lebih awal, bukannnya sejurus selepas tirai saingan Liga Super 2012 disingkap.

Bagi mereka, kemelut yang menyerkup pasukan gergasi Pantai Timur itu sudah mula kedengaran pada penghujung saingan kejuaraan Piala Malaysia 2011.

Mereka percaya virus sudah mula menjangkiti Sang Penyu tatkala skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim ketika itu berjaya menyingkirkan Selangor pada saingan separuh akhir yang dianggap sebagai perlawanan El-Classico 2011.

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, trio Penyu iaitu Abdul Hadi Yahya, Ashaari Shamsuddin dan Abdul Manaf Mamat memperagakan persefahaman yang unik dan kualiti itu diteruskan pada saingan separuh akhir kedua di SSINS.

Malangnya, dikatakan bahawa menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Negeri Sembilan, skuad Penyu dilanda wabak misteri yang sehingga kini belum menemukan jawapan.

Irfan Bakti yang ketika itu cuba menyaingi pencapaian Mat Zan pada 2001 yang membawa Penyu menjulang Piala Malaysia buat kali pertama, berdepan cabaran getir.

Selaku jurulatih yang matang, beliau mengetepikan situasi semasa, sebaliknya memfokuskan perhatian memburu kejuaraan namun akhirnya kecundang kepada lawan termasuklah melalui satu sentuhan mudah yang gagal diselamatkan Sharbinee Allawee.

Ketika meninggalkan pasukan Pantai Timur itu, Irfan Bakti enggan mengulas desas-desus kemelut yang melanda Penyu namun jika diteliti kata-katanya, wujud suatu bentuk semantik yang boleh difahami.

Memasuki saingan musim baharu Liga Super 2012, skuad Penyu seolah-olah segar daripada apa-apa kemelut.

Bagaimanapun, selepas diasak peminat dan penyokong yang melihat prestasi skuad hitam putih itu semakin tenat, PBSNT merehatkan Ketua Jurulatihnya, Mat Zan dan membawa masuk Peter Butler.

Sungguhpun berhadapan dengan krisis status Mat Zan yang dikatakan teraniaya, kehadiran Butler yang fasih berbahasa Melayu itu memberikan sedikit sinar kepada skuad Penyu.

Buktinya, berlaku sedikit kemajuan kedudukan dalam liga dan skuad hitam putih itu menamatkan saingan Liga Super 2012 pada ranking kelima.

Kegagalan Penyu mempertahankan Piala FA ekoran tewas kepada Sime Darby pada 27 Mac di peringkat separuh akhir meninggalkan Piala Malaysia sebagai sasaran tunggal.

Sejenak waktu, jurulatih berbangsa Inggeris itu kelihatan berada di landasan yang betul apabila menewaskan Kelantan 2-0 pada perlawanan pertama Kumpulan B yang digelar kumpulan maut.

Rupa-rupanya hari panas tidak sampai ke petang.

Kemelut dalaman berlaku dan timbul isu panas membabit dua pemain utama pada malam sebelum Penyu bertemu Kedah di Alor Setar.

Belum pun reda masalah yang menyaksikan Butler mencabar dua pemain itu menjalani ujian poligraf, timbul pula isu 'tangan ajaib' dalam perlawanan dengan Kedah di SINSS yang boleh dianggap menutup laluan Penyu ke suku akhir.

Nasib malang Sang Penyu disahkan oleh kekalahan besar 1-6 di tangan tetangganya yang menyaksikan dua jaringan itu dilakukan oleh bekas pemainnya sendiri, Nor Farhan Mohammad.

Kini, suasana suram menyelubungi fikiran peminat bola sepak Terengganu dan rata-rata mereka berpendapat malang yang menimpa pasukan kesayangan mereka boleh diatasi jika suara 'orang kecil' dinilai dengan saksama.

Tanpa meletakkan sepenuh kesalahan kepada pihak pengurusan pasukan, mereka berkata, jalinan idea pihak pengurusan dengan pihak penyokong pasukan sepatutnya bertaut dan terjalin mesra.

Sepatutnya, kata mereka, suara peminat dianalisis dengan adil dan tuduhan bahawa kumpulan berkenaan diresapi pengaruh negatif pihak tertentu tidak timbul.

Kata mereka lagi, tindakan kumpulan anak muda berkenaan timbul atas kesedaran mahu melihat skuad Penyu terus gah dengan gelaran pasukan elit Pantai Timur. - ALIAS ISMAIL

Ada Cara Tersendiri Untuk Selesaikan

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said enggan membuat sebarang ulasan berhubung perkembangan pasukan bola sepak negeri itu sebelum satu laporan rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diserah ke tangannya.

Bagaimanapun, Ahmad berkata beliau mempunyai caranya sendiri untuk menyelesaikan kemelut itu.

"Saya akan buat ulasan nanti dan saya ada cara saya sendiri untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku. Tidak baguslah kalau saya buat ulasan hanya berdasarkan andaian semata-mata kerana ia tidak adil kepada pihak-pihak tertentu," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pergolakan bola sepak Terengganu.

Sokong

Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) tidak mahu titik hitam yang mencemarkan persatuan bola sepak negeri itu berulang.

Setiausaha Peteh Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata kelab itu yakin keputusan yang diambil oleh persatuan itu baik untuk masa depan bola sepak di negeri ini.

"Peteh melihat tindakan PBSNT itu betul dan tepat serta profesional bagi membentuk satu pengurusan yang mantap serta berdedikasi," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai perkara itu di sini hari ini.

Terkejut

Pengendali pasukan Terengganu, Peter Butler menganggap hukuman yang dikenakan terhadapnya adalah suatu yang mengejutkan dan mengambil keputusan ‘mengunci mulut’ berhubung keputusan itu.

Menurutnya, beliau terkejut dengan keputusan itu dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana beliau masih belum menerima `hitam putih’ daripada pihak berkenaan.

“Saya masih menunggu surat rasmi daripada pihak PBSNT,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keputusan jawatankuasa tatatertib PBSNT yang telah disahkan dalam mesyuarat PBSNT di pejabat persatuan itu, di sini, semalam.

Bekas jurulatih pasukan Kelantan itu dihukum gantung enam bulan serta didenda RM4,000 dan gajinya turut dipotong 15 peratus sebulan daripada gaji pokok setelah didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berhubung masalah disiplin dua pemain Terengganu tanpa pengetahuan pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan hukuman itu berkuat kuasa serta merta.

Mesyuarat selama dua jam yang dipengerusikan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh itu diadakan bagi meneliti keputusan Jawatankuasa Tatatertib berhubung beberapa kesalahan membabitkan Butler serta empat lagi pemain skuad Penyu.

Empat pemain berkenaan ialah Muslim Ahmad, Ismail Faruqi Asha’ari, Ahmad Sharbinee Allawee dan Francis Forkey Doe.

Muslim, Ismail Faruqi dan Ahmad Sharbinee diberi amaran keras serta didenda RM1,000 seorang manakala Forkey Doe kenakan tindakan tatatertib dengan sebulan gajinya dipotong 15 peratus dan denda sebanyak RM2,000 daripada FAM. 

Hukuman ke atas empat pemain tersebut turut berkuat kuasa mulai semalam.

Dalam pada itu, Ismail Faruqi ketika dihubungi bagi mendapatkan reaksinya berhubung hukuman terhadapnya bagaimanapun enggan mengulas mengenainya.

“Saya belum dimaklumkan oleh persatuan (PBSNT) berhubung perkara ini, jadi saya tak boleh nak beri komen,” katanya.

Sementara dua lagi pemain, Muslim dan Ahmad Sharbinee gagal dihubungi bagi mendapatkan reaksi berhubung perkara itu.

Monday, September 17, 2012

Jurulatih & Pemain Dikena Tatatertib

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memutuskan untuk menggantung jurulatih Terengganu Peter Butler selama enam bulan mulai esok dan mengenakan denda RM4,000 terhadap jurulatih dari England itu.

Pengerusi jawatankuasa itu, Ahmad Shukri Zakaria berkata Butler dikenakan hukuman itu bagi kesalahan mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa wanita masuk ke bilik mereka tanpa terlebih dahulu melaporkannya kepada pihak pengurusan.


Beliau berkata pemain terbabit, Mohd Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi, mengaku keluar serta balik ke hotel lewat malam hampir pukul 3 pagi sebelum perlawanan Terengganu menentang Kedah di Alor Setar pada 28 Ogos lepas.

"Mesyuarat mengambil keputusan untuk memberi amaran keras kepada kedua-dua pemain itu, dan mengenakan denda sebanyak RM1,000 seorang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu hari ini.

Turut hadir Yang DiPertua PBSNT, yang juga Pengurus Pasukan Terengganu Datuk Che Mat Jusoh dan Timbalan Yang DiPertua PBSNT Sheikh Tajudin Sheih Yusof.

"Bagi kesalahan kedua (iaitu) bertindak biadap terhadap penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee pula, Butler dikenakan potongan gaji sebanyak 15 peratus daripada gaji pokok untuk sebulan.

"Butler melakukan kesalahan itu di tepi padang di hadapan penonton ketika perlawanan antara Terengganu dan Kedah pada 1 Sept lalu," katanya.

Ahmad Shukri berkata Mohd Sharbinee diberi amaran keras di samping denda RM1,000 kerana bertindak membaling botol ke arah Butler dalam insiden itu.

Beliau juga berkata bagi Forkey Do yang didakwa menyiku dan menendang pemain Kedah semasa bola tidak ada dalam kawalan pada perlawanan sama, jawatankuasa itu memutuskan untuk memotong 10 peratus gaji pemain Liberia tersebut selama sebulan.

Sementara itu, Che Mat berkata buat masa ini, Butler masih lagi jurulatih Terengganu sehingga kontrak beliau tamat November tahun depan.

"Apapun kita akan membuat persediaan awal dari segi pemain dan jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang dijangka lebih sengit tahun depan," katanya.

Friday, September 14, 2012

Jika Gagal Bye...bye

Jika tidak bersedia memenuhi syarat yang ditetapkan...bye...bye. Itulah kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengenai nasib pasukan T-Team yang mungkin dibubarkan. 

Bagaimanapun, keputusan itu belum muktamad dan kerajaan negeri bersedia memberi peluang untuk T-Team terus kekal jika pengurusan pasukan memenuhi syarat ditetapkan. 

Begitu juga pasukan Penyu, pihak pengurusan perlu menunjukkan perubahan positif terutama pengambilan pemain yang mesti berdisiplin, berkesungguhan, bersemangat dan sedia bersaing sebagai pemain profesional. 

“Saya sudah bertemu dengan kedua-dua pengurusan pasukan ini dan akan buat keputusan selepas ini. Kalau dia (T-Team dan skuad penyu) boleh ikut (syarat) okeylah. 

“Kita ada syarat pengurusan, kejurulatihan dan pemain yang dipilih. Tak berbaloi mempunyai pemain tidak berdisiplin dan sambil lewa sedangkan kita bayar gaji mahal. Kita nak pulangan,” katanya mengulas lanjut mengenai nasib masa depan T-Team.

Pertahankan Maruah

PASUKAN berstatus kelab, T-Team tidak akan memberi jalan mudah ketika bertemu Pahang malam ini biarpun ia sudah tidak layak ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini, lapor MANIRAH OTHMAN.

Malah, pasukan yang mungkin tidak lagi wujud musim depan itu tetap tidak akan mengaku kalah lebih awal, sebaliknya mahu menampilkan persembahan terbaik tanpa mengulangi kesila- pan-kesilapan lampau.

Jurulatihnya, Yunus Alif memberitahu, rentak kemenangan perlu dicari dan pemain dinasi- hatkan supaya tidak mengambil mudah perlawanan malam ini bagi membolehkan mereka memungut tiga mata penuh.

"Sekurang-kurangnya kita mahu menang dalam perlawanan esok (malam ini) dan memungut tiga mata penuh di laman sendiri.

"Ini adalah maruah kita dan juga maruah pemain-pemain dan inilah satu-satunya perlawa- nan bagi musim ini untuk mereka buktikan yang mereka adalah antara pasukan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Ismail Nasirud- din Shah kelmarin menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan D menentang Pahang malam ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya punca kegagalan sepanjang lima perlawanan sebelum ini, Yunus mengakui kecacatan dalam pasu- kan menjadi punca skuad bimb-i ngannya itu gagal menemui rentak kemenangan sepanjang saingan Piala Malaysia musim ini.

Katanya, pada perlawanan pembukaan ketika menentang Pahang, skuad bimbingannya itu berjaya menemui rentak perla- wanan, namun apabila salah seorang pemain (Marco Tulio) dibuang padang menyebabkan T- Team ketinggalan 2-3 setelah terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

"Pada perlawanan kedua ketika menentang Sarawak, kita berpe- luang untuk memenangi perlawa- nan, namun beberapa cubaan menarik di depan gawang gagal disudahkan dengan baik.

"Ketiga adalah faktor-faktor lain dimana kita dikenakan sepakan penalti pada saat-saat akhir dan ini menambah tekanan kepada pemain sehingga melunturkan semangat mereka untuk terus berjuang," katanya.

Justeru, beliau berharap para pemain T-Team dapat bangkit dan membuktikan bahawa mereka ini mampu memberikan saingan biarpun menerima pelbagai tekanan dan memenangi perlawanan terakhir saingan kumpulan D ketika turun menentang Pahang di laman sendiri.

Ekoran prestasi yang kurang memberangsangkan musim ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sedang menunggu laporan prestasi pasukan itu dan ada kemungkinan pasukan tersebut dibubarkan, namun keputusan itu masih pada peringkat perbincangan.

Thursday, September 13, 2012

Rayu Jangan Bubar TTeam

Jangan biarkan T-Team berkubur! Itulah harapan Kelab Penyokong T-Team selepas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberi bayangan pasukan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri itu akan dibubarkan akhir musim ini.

Naib Presiden kelab, Amir Amri Mohamad, berkata tindakan menguburkan T-Team hanya disebabkan persembahan kurang cemerlang musim ini dianggap tidak wajar. 

"Kami semua masih ingat lagi bagaimana T-Team bermula lebih lima tahun dulu, mencari bakat baru di seluruh negeri. 

'Kemudian T-Team beraksi buat pertama kali dalam Liga FAM dan menunjukkan prestasi baik untuk berada di tangga ke-lima pada akhir musim," katanya. 

Tahun berikutnya, T-Team di bawah kelolaan jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor, muncul juara Liga FAM dan layak bermain di Liga Perdana. 

Amir berkata T-Team ternyata hebat kerana layak ke Liga Super selepas hanya semusim beraksi di Liga Perdana dan pasukan itu masih kekal di liga tertinggi negara selama tiga musim sehingga kini. 

Tahun lalu, berbekalkan beberapa pemain ternama seperti Indera Putra Mahayuddin, Norfarhan Mohammad dan Azizi Mat Ros, T-Team mara ke separuh akhir Piala Malaysia tetapi tewas kepada Negeri Sembilan dan pernah layak ke suku akhir Piala FA 2010. Kecundang di peringkat suku akhir

Musim ini, T-Team kecundang di peringkat suku akhir Piala FA dan gagal di pusingan awal Piala Malaysia, tetapi masih kekal di Liga Super. 

"Masih belum terlewat untuk T-Team dipulihkan semula dan kami merayu kepada Menteri Besar supaya jangan bubarkan T-Team," katanya. 

Sebaliknya, Amir mencadangkan supaya pasukan itu dirombak bagi mendapat nafas baru untuk menebus maruah mereka pada musim depan termasuk membawa masuk jurulatih dan pemain baru 

Lebih parah, jika dibubarkan sekarang, wang deposit yang dibayar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan hangus kerana kontrak mereka tamat pada 2014 serta boleh digantung tiga tahun. 

Nasib T-Team akan ditentukan selepas perlawanan terakhir menentang Pahang dalam Kumpulan D Piala Malaysia, esok.

'Saya mahu caj semula bateri'

PENGENDALI T-Team, Yunus Alif mula membayangkan hasrat untuk berehat buat sementara waktu biarpun kata putus mengenai nasib skuad bimbingannya musim depan masih belum ditentukan.

“Saya sudah bergelumang dengan dunia kejurulatihan hampir 20 tahun dan sepanjang tempoh itu, pelbagai ca- baran telah dilalui. Buat masa ini, saya hanya ikut kon- trak saya (bersama T-Team).

“Soal bubar (T-Team) atau tidak, saya tak tahu. Bagaimanapun, saya berpuas hati sepanjang membimbing T-Team,” kata Yunus semalam.

Yunus memberitahu, beliau sudah banyak mengharungi pengalaman suka duka apabila bergelar sebagai pemain dan jurulatih.

“Jadi, mungkin selepas ini, saya akan ‘caj semula bateri’ saya. Maklumlah, tekanan berlipat kali ganda,” katanya.

Yunus, 54, mula membimbing T-Team selepas mengambil alih pasukan berstatus kelab itu daripada Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor pada penghujung tahun 2010.

Wednesday, September 12, 2012

Sharbinee disoal 2 kali

LAIN disasar, lain terkena apabila kesungguhan jurulatih Terengganu, Peter Butler yang beria-ia mahu menjalani ujian poligraf (pengesanan pembohongan) ke atas dua pemainnya, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha’ri bukan sekadar tidak kesampaian, sebaliknya penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli terlebih dulu menjalani ujian itu atas alasan mengatur perlawanan.

Sebelum ini, Butler bermati-matian mempertahankan keputusan menggantung dua pemain itu atas alasan pulang jam 3 pagi ke hotel penginapan dan didakwa bersama wanita sebelum masuk ke dalam bilik hinggakan jurulatih bangsa Inggeris itu sanggup membiayai segala perbelanjaan mengambil ujian itu di dalam atau luar negara.


Pantas membela diri, Ismail menyahut cabaran untuk menjalani ujian poligraf kerana katanya, ia sangat penting bagi membersihkan namanya dan Muslim yang tercemar akibat tuduhan Butler sebelum perlawanan Piala Malaysia Kumpulan B menentang Kedah, 28 Ogos lalu.



Namun di sebalik keriuhan itu, Sharbinee yang menimbulkan kontroversi apabila dia tertampan bola ke dalam gol sendiri ketika menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu empat hari kemudian, menjadi pemain pertama Terengganu terpaksa mengambil ujian poligraf.


Itupun kerana bekas penjaga gol kebangsaan berusia 26 tahun itu, mengaku tidak terbabit mengatur perlawanan dan memberitahu media, dia sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain berkata, siasatan sudah dimulakan seperti diminta Shar binee dan setakat ini lapan individu termasuk pemain itu sudah dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM negeri di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu.






Menurutnya, selain Sharbinee, antara mereka yang dipanggil memberi keterangan termasuk Butler, Muslim, Ismail, Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh yang juga pengurus pasukan dan Timbalan Presiden PBSNT, Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusoff yang juga penolong pengurus pasukan.


“Sharbinee yang dua kali disoal siasat di pejabat negeri juga diarah menjalani ujian poligraf di ibu pejabat SPRM di Kuala Lumpur dan setakat ini, hasil ujian itu belum kami peroleh,” katanya.

Kejatuhan Terengganu 'terserlah' di bawah Butler



JURULATIH Terengganu, Peter Butler bukannya hebat sangat.

Sebaik diberi kepercayaan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk mengendalikan skuad Liga Super Terengganu, macam-macam hal yang berlaku dalam skuad Pantai Timur itu yang sebelum ini dianggap antaragergasi bola sepak negara.

Tidak banyak perubahan yang dilakukannya dengan skuad Terengganu kecuali menghadirkan 'huru-hara' dalam skuad tersebut.

Terengganu sebelum ini dikenali antara pasukan yang memiliki disiplin yang tinggi dalam saingan bola sepak tempatan.

Namun, kehadiran Butler telah mengundang parah dengan skuad tersebut.

Paling mengecewakan ialah, dia (Butler) gagal membawa Terengganu melangkah ke pusingan suku akhir saingan Piala Malaysia.

Sebab itu saya katakan Butler bukan jurulatih yang hebat.

Sebelum ini, dia pernah membimbing Kelantan, tetapi kontraknya ditamatkan lebih awal oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Tahun ini, Kafa sekali lagi memberi peluang kepada Butler untuk membuktikan kehebatannya, tetapi pada separuh jalan, Butler disingkirkan.

Walaupun Kafa tidak menjelaskan secara terus-terang kenapa mereka menamatkan kontrak Butler, tetapi yang pasti ialah kredibilitinya.

'Mat Salleh' ni bukan semuanya hebat. Mungkin sikap kita yang kadang-kadang terlalu menghormati mereka sehingga memberi kepercayaan seratus peratus, pada hal ramai lagi jurulatih tempatan yang lebih berwibawa.

Kelantan naik pun bukan disebabkan Butler. Kemuncak kebangkitan Kelantan ialah ketika mereka dibimbing oleh B. Sathianathan yang kini mengendalikan skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selepas Kafa menamatkan kontrak Butler, PBSNT pula berminat mendapatkan khidmatnya.

Saya juga tertanya-tanya sebelum ini kenapa Terengganu memilih jurulatih yang tidak menunjukkan sebarang kejayaan.

Dia sudah terbukti gagal ketika membimbing Kelantan, tetapi Terengganu pula memberi kepercayaan kepadanya.

Andai Terengganu tidak memiliki barisan pemain yang komited, saya yakin kedudukan Terengganu dalam kedudukan Liga Super akan terjejas teruk.

Dalam saingan Piala Malaysia, corak permainan Terengganu yang diterapkan oleh Butler tidak begitu menyengat.

Kadang-kadang rentak mereka membosankan berbanding ketika dipimpin oleh Irfan Bakti tahun lalu.

Saya tidak hairan kenapa Terengganu gagal melakukan yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia musim ini kerana pemainnya mungkin bosan dengan corak latihan Butler.

Pemain pula mungkin tidak berani bersuara kerana padah akan menimpa mereka.

Sepanjang Butler mengendalikan skuad dari Pantai Timur itu, Terengganu mengalami segala bentuk 'gelora'.

Pemain disingkir walaupun keluar membeli ubat akibat demam, disiasat atas dakwaan menjual perlawanan dan sebagainya.

Kenapa pula dakwaan seperti ini timbul selepas Terengganu tenggelam dalam saingan Piala Malaysia.

Kenapa ketika berada di puncak tiada pula dakwaan seperti itu ditimbulkan?

Adakah dakwaan itu mahu menutup kelemahan sistem kejurulatihan yang diterapkan oleh Butler atau sebaliknya.

Apa pun, saya harap PBSNT lebih bijak memilih jurulatih selepas ini agar bola sepak Terengganu terus menikmati kejayaan.

Apa yang sedang melanda skuad yang mendapat jolokan Penyu itu sekarang, diharap tidak akan menjejaskan reputasi mereka sebagai antara pasukan gergasi di negara ini.

Tuesday, September 11, 2012

Ujian Poligraf Dibuat Keatas Pemain Terengganu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya telah menjalankan ujian poligraf ke atas seorang daripada lapan individu yang dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan ada pemain Terengganu menjual perlawanan.

Pengarah SPRM Terengganu, Md. Yusof Md, Zain ketika mengesahkan perkara itu berkata, individu berkenaan merupakan salah seorang daripada tiga pemain skuad Penyu dan ujian poligraf itu dilakukan bagi mengesan sama ada pemain itu bercakap benar atau sebaliknya.

Tujuh lagi individu termasuk dua pemain skuad berkenaan tidak perlu menjalani ujian tersebut, setakat ini.

"Hanya seorang pemain saja yang perlu jalani ujian itu (poligraf) manakala yang lain-lain (tujuh lagi individu) tak buat (ujian poligraf).

"Kita memang dari dulu lagi menggunakan kaedah ini (poligraf), hanya kes-kes tertentu saja untuk mereka yang kita merasakan sangsi. Tujuannya untuk kita kesan sama ada mereka ini bercakap benar atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Md. Yusof berkata, ujian poligraf yang dijalankan itu dikendalikan kakitangannya yang pakar dan bertauliah dalam bidang berkenaan bagi memastikan proses pengesanan penipuan individu yang disoal siasat.

Kelmarin, beliau berkata, pihaknya kemungkinan akan memanggil beberapa pemain bola sepak Terengganu yang lain bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ada pemain skuad itu menjual perlawanan.

Menurutnya, pihaknya sedia memanggil beberapa pemain lain sekiranya memerlukan untuk memberi keterangan dalam usaha membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.

Pada masa yang sama, jelas beliau, lapan individu termasuk tiga pemain skuad itu yang sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan juga berkemungkinan dipanggil semula selepas ini bagi tujuan yang sama, sekiranya perlu.

Gugur Pemain Terengganu & Bubar TTeam

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata beberapa pemain dari skuad Terengganu mungkin akan digugurkan manakala pasukan berstatus kelab, T-Team akan dibubarkan. 

Keputusan pengguguran pemain itu akan ditentukan selepas perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) manakala T-Team pula diputuskan selepas perlawanan terakhir Kumpulan D menentang Pahang di Kuala Terengganu, Jumaat ini. 

Akan campur tangan

"Saya tidak terbabit dalam soal pengurusan, tetapi saya akan campur tangan dalam penilaian pemain dengan memberi pandangan dan pendapat. Kita akan tentukan pemain yang berkebolehan dan berkualiti. 

"Saya dah diberitahu, mungkin ramai (pemain) yang tidak menunjukkan komitmen akan dibuang kali ini. Sebab kita (kerajaan negeri) melabur dalam jumlah besar. Kita belanja RM6 juta setahun dan kita mahukan hasilnya. 

"Sebab itu, kita awal-awal sudah beritahu, kalau pemain tidak berdisiplin, kita buang. Begitu juga dengan pemain yang sengajakan dirinya dikenakan kad merah. Apabila pemain sengaja buat kesalahan begitu, kita perlu denda dia. 

"Jika tidak, kita yang rugi..kita bayar gaji dia untuk bermain, bukan untuk berehat..jadi kita kena ambil tindakan. Sebab itu, kita akan buat rombakan besar-besaran pemain. 
“Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan bincang dengan pihak pengurusan," katanya selepas majlis Aidilfitri Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam. 

Mengenai T-Team beliau berkata: "T-Team sekarang 100 peratus bergantung pada dana kerajaan negeri. Nasib T-Team akan ditentukan selepas perlawanan akhir nanti dan saya sedang tunggu laporan. 

"Kita sedar, kadang kala T-Team menunjukkan permainan yang baik, tetapi kita lihat setiap kali perlawanan, sokongan peminat berkurangan. Penonton antara 300 hingga 500 saja," katanya.

Monday, September 10, 2012

Beberapa Pemain Mungkin Dipanggil Lagi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin memanggil beberapa lagi pemain bola sepak Terengganu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjual perlawanan.

Pengarah SPRM negeri, Md. Yusoff Md. Zain berkata, setakat ini lapan individu melibatkan pihak pengurusan dan tiga pemain skuad itu yang telah dipanggil untuk memberi keterangan juga berkemungkinan dipanggil semula, sekiranya perlu.

"Buat masa ini, saya tak boleh beri ulasan lanjut mengenai perkara ini kerana ia masih dalam proses siasatan. Bagaimanapun sekiranya perlu, kita akan panggil semula mereka dan beberapa pemain lain untuk bantu siasatan.

"Kita jalankan siasatan bukan untuk cari salah tapi untuk cari kebenaran, siasatan sentiasa berjalan dan diteruskan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Imigresen negeri di Wisma Persekutuan di sini, semalam.

Katanya, berhubung individu yang dipanggil pada 4 dan 5 September lalu untuk memberi keterangan berhubung dakwaan itu, Md. Yusoff berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan.

"Kertas siasatan masih dibuka dan setakat ini, tak ada apa-apa yang baru (perkembangan) tapi ia masih lagi dalam proses siasatan.

''Lapan individu yang dipanggil tempoh hari termasuk tiga pemain, jurulatih, pengurus serta timbalan pengurus pasukan," ujarnya.

Skuad Terengganu mula dilanda 'badai' apabila jurulatihnya, Peter Butler membuat kenyataan mengejutkan untuk menyingkirkan dua pemain tonggak, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ari daripada pasukan atas dakwaan masalah disiplin dan lain-lain kesalahan.

Belum lagi kemelut itu reda, tercetus pula ketegangan antara Butler dengan seorang lagi pemain, Sharbinee Allawee apabila jurulatih itu meragui aksi penjaga gol berkenaan ketika Terengganu seri dengan Kedah dan mematikan langkah ke suku akhir Piala Malaysia.

Konflik itu kemudian mengundang SPRM menjalankan siasatan berhubung dakwaan ada pemain skuad itu menjual perlawanan dengan memanggil lapan individu untuk memberi keterangan, minggu lalu.

Untuk Mencari Kebenaran

Tidak ada petunjuk baru dalam siasatan rasuah ke atas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli dan pemain lain. 

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu Md Yusoff Md Zain berkata, bagaimanapun siasatan kes rasuah bola sepak pemain negeri itu masih belum ditutup."Kami bukan mahu mencari kesalahan mana-mana pihak tetapi mahu mencari kebenaran dan dalam kes seperti ini, ia bukannya mudah. Kita menjalankan siasatan, kumpulkan bukti untuk cari kebenaran apa sebenarnya yang berlaku. 

"Lapan saksi (pemain, jurulatih dan pegawai) sudah dipanggil memberi keterangan. Tidak ada lagi saksi yang dipanggil selepas itu," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri di pejabat SPRM, semalam. 

Berbeza dengan kes T-Team 

SPRM memulakan siasatan apabila Sharbinee memberitahu media, dia rela disiasat untuk membersihkan namanya selepas didakwa menjual perlawanan dengan sengaja menampan bola ke gawang sendiri ketika menentang Kedah di Kuala Terengganu. 

"Penjaga gol itu membuat pengakuan yang dia tidak mengatur keputusan perlawanan. Kami mahu pastikan dia bercakap benar. 

"Kes ini berbeza dengan kes sebelum ini membabitkan pemain Piala Presiden T-Team di mana pengurus dan jurulatih sendiri yang mempunyai bukti pemain mereka menerima suapan untuk mengatur keputusan perlawanan," katanya.

Ditanya apakah siasatan akan diteruskan, beliau enggan memberi komen dan berkata; Apabila tiba masa, kita akan maklumkan. Kita puas hati, semua yang dipanggil memberi keterangan memberi kerjasama penuh," katanya.

Sunday, September 9, 2012

Hasrat Hai O


Akur

Biarpun Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said belum memutuskan masa depan T-Team, pasukan kelab yang dibiayai kerajaan negeri, namun nada bimbang diluahkan pengurus pasukan, Rozi Mamat.

Rozi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berpendapat, jika dibubarkan ia satu kerugiannya kerana pasukan itu boleh dijadikan lubuk untuk melahirkan ramai pemain yang boleh digilap sebelum diangkat ke skuad negeri.

Sekiranya ia dibubarkan, persoalan yang ditimbulkan pengurus itu ia menjejaskan pembentukan pelapis dan ke manakah arah anak-anak Terengganu yang telah dilahirkan hasil pembangunan sukan komited dilaksanakan kerajaan negeri itu akan berbakti?

Untuk itu, beliau meminta kerajaan negeri menimbang kembali jika keputusan terakhir yang dipilih adalah untuk membubarkan pasukan berstatus kelab itu.

"T-Team masih pasukan yang hebat walaupun pemainnya hanya dipilih selepas senarai 25 orang pemain negeri dibuat namun T-Team mampu bermain dengan baik mengatasi pasukan berstatus negeri.

"Tambahan pula ramai juga pemain kita yang telah mencipta nama dalam pasukan negeri seperti Ismail Faruqi dan Fakhrurazzi," katanya kepada Utusan Malaysiaketika dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau rela pasukan itu dibubar sekiranya kerajaan negeri berpendapat bahawa pasukan itu perlu mengundur diri bagi memberi peluang kepada pasukan negeri untuk lebih maju.

"Saya hormat keputusan Menteri Besar dan kalau mahu bubar T-Team sebab tidak cukup dana mahu tampung pasukan ini selain perlu menumpukan kepada pembangunan pasukan negeri, kita terima dengan hati terbuka.

"Namun kalau disebabkan prestasi yang teruk, saya rasa itu boleh diperbaiki kerana pada musim ini T-Team memang tidak mempunyai ramai pemain yang baik namun musim depan kita ada pelapis muda apabila lapan pemain Piala Presiden kita telah bersedia untuk memberi tentangan," jelasnya.

Kelmarin, Menteri Besar mengumumkan kerajaan negeri akan membuat pendirian berhubung komitmen pelaburannya dan masa depan skuad bola sepak negeri dan T-Team selepas meneliti hasil 'bedah siasat' punca tersingkir awal dalam saingan piala itu.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada beliau berkemungkinan mahu membubarkan T-Team musim depan jika kelab itu gagal mempamerkan prestasi yang memberangsangkan.

Hai - O Berhasrat Bermain di Terengganu

KEINGINAN ketua pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hairuddin Omar atau lebih mesra dengan panggilan Hai-O untuk kembali menyarung jersi Terengganu tahun depan disambut baik peminat bola sepak di negeri itu.

Beberapa peminat bola sepak Terengganu ketika ditemui Bernama rata-rata melahirkan rasa syukur dan teruja sekiranya pemain berusia 33 tahun yang berasal dari Setiu, Terengganu itu kembali ke pangkuan negeri kelahirannya.

Seorang nelayan Ramli Embong, 45, dari Kampung Seberang Takir di sini berkata, kepulangan pemain yang boleh bermain di posisi tengah atau penyerang itu tepat pada masanya ketika pasukan bola sepak Terengganu kini berada dalam keadaan terumbang-ambing.

"Kita perlukan pemain seperti Hai-O yang boleh merancang dan sekali gus boleh menjaringkan gol," katanya.

Semalam, media melaporkan Hairuddin menyuarakan hasratnya untuk kembali bersama skuad Penyu selepas lebih 10 tahun menyarung jersi beberapa pasukan antaranya Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Hairuddin pernah membantu Terengganu menjuarai Piala Malaysia pada 2001, Kelantan pada 2010 dan membantu Negeri Sembilan merangkul piala itu dua kali pada 2009 dan 2011.

Seorang lagi peminat, Abdullah Jusoh, 30, seorang pekerja swasta melahirkan keyakinan Terengganu akan kembali mantap sekiranya Hairuddin berada dalam pasukan itu.

Beliau berkata, Hairuddin merupakan pemain hebat dan ini dibuktikan ketika Hairuddin menyertai Negeri Sembilan dan Kelantan di mana kedua-dua negeri itu menjuarai Piala Malaysia.

Peminat wanita, Maimon Mahmud, 28, juga mengalu-alukan kepulangan Hairuddin dan berkata kepulangan pemain itu dinanti-nantikan peminat Terengganu.

"Kita harap pengurusan PBSNT menerima Hairuddin demi untuk mengembalikan maruah bola sepak negeri ini," katanya.

Thursday, September 6, 2012

Tuntutan Tertunggak

Bekas jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris mendesak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) membayar tunggakan gajinya bermula Jun hingga penghujung tahun ini.

Difahamkan, Mat Zan yang disingkirkan pada April lalu telah melaporkan perkara tersebut kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Mat Zan berkata, jabatan itu akan menjadi 'orang tengah' antara beliau dan persatuan tersebut untuk berbincang mengenai tuntutannya.

"Saya rasa saya layak mendapatkan pampasan tersebut sebab kontrak saya dengan pasukan Terengganu sepatutnya berakhir pada November tahun depan," katanya.

Mat Zan disingkirkan dari- pada membimbing Terengganu April ekoran prestasi kurang memberangsangkan sku- ad kendaliannya.

Ekoran rasa tidak puas hati selepas diminta untuk meletakkan jawatan, Mat Zan meminta PBSNT supaya memberikan pampasan dalam bentuk bayaran gaji sehingga penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, PBSNT hanya bersetuju untuk memberikan pampasan dua bulan gaji.

"Saya nak selesaikan masalah ini sebelum berfikir untuk menjadi jurulatih pasukan lain dan saya harap PBSNT bersetuju dengan permintaan saya ini," katanya.

Belum Patah Semangat

WALAUPUN berdepan dengan pelbagai kontroversi, ketua jurulatih Terengganu, Peter James Butler masih berharap dapat bersama skuad Penyu itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Malah, jurulatih kelahiran England itu mengakui, beliau tidak sesekali patah semangat walaupun skuad kendaliannya sudah boleh mengucapkan selamat tinggal pada kempen Piala Malaysia musim ini.

Malam kelmarin, Terengganu tewas 0-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, sekali gus menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot Kumpulan B dengan mengutip empat mata.

"Saya kecewa dengan masalah-masalah yang berlaku dan sepanjang kerjaya saya, saya tidak pernah mengalami masalah seperti ini," kata Butler ketika ditemui pemberita kelmarin.

Bagaimanapun Butler berkata, beliau amat berterima kasih kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang sentiasa memberi sokongan.

Jelas Butler, jika terus diberi kepercayaan membimbing Terengganu musim depan, beliau yakin dapat membina sebuah pasukan yang kembali disegani di pentas Liga M.

"Saya yakin mampu meletakkan Terengganu menjadi pasukan yang digeruni dan pemain yang menyarung jersi pasukan pasti bangga memakainya," jelasnya.

Keputusan Jawatankuasa Khas Akan diumun pada 17 Sept

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat kemelut yang melanda skuad Penyu sejak akhir-akhir ini.

Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh berkata, jawatankuasa itu dibarisi semua anggota majlis PBSNT yang diketuai beliau sendiri.

Sebagai ‘pembuka bicara’, jawatankuasa itu telah bersidang selama kira-kira tiga jam di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu semalam.

Empat individu telah dipanggil secara berasingan, bermula dengan ketua jurulatih Terengganu, Peter James Butler, diikuti tiga pemain - Muslim Ahmad, Mohd. Ismail Faruqi dan Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Dalam perbincangan itu, jawatankuasa tersebut telah mengumpul maklumat daripada kesemua empat individu terbabit, namun belum ada sebarang keputusan diputuskan.

Jawatankuasa itu turut meminta keempat-empat individu terbabit supaya tidak memperbesarkan lagi isu-isu yang timbul sebelum ini bagi memastikan segala kemelut yang timbul dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurut Che Mat, keputusan akhir mengenai perbincangan itu hanya akan diputuskan dalam satu lagi mesyuarat penuh yang akan diadakan pada 17 September ini sele- pas saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia berakhir.

“Semua keputusan akan dibuat dalam mesyuarat akan datang dan kita yakin boleh selesaikan masalah ini.

“Segala kemelut itu akan cuba diselesaikan selepas jawatankuasa yang ditubuhkan ini menganalisis semua maklu- mat yang diterima untuk mengetahui kebenarannya.

“Dalam hal ini, kami tidak tuduh siapa-siapa dan kita akan cuba selesaikan perkara itu untuk meredakan suasana,” kata Che Mat ketika ditemui pemberita di pejabat PBSNT semalam.


Kontroversi mengenai skuad Penyu mula timbul apabila jurulatih Butler mendakwa Ismail dan Muslim tidak berdisiplin kerana pulang kira-kira pukul 3 pagi iaitu beberapa jam sebelum bertemu Kedah di Stadium Darul Aman pada 28 Ogos lalu.

Kedua-dua pemain itu turut didakwa membawa balik perempuan ke bilik penginapan mereka.

Belum reda kontroversi tersebut, kem Terengganu sekali lagi kecoh dengan isu ‘menjual perlawanan’ apabila Sharbinee pula didakwa melepaskan gol mudah ketika Terengganu menerima kunjungan Kedah di Stadium Ismail Nasirud- din Shah, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Ekoran insiden itu, Sharbinee dikatakan menjadi punca kegagagalan Terengganu mengutip tiga mata penuh apabila sekadar seri 1-1 dengan skuad Kenari.

Kes berkenaan kemudiannya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah memanggil Che Mat, Sharbinee, Butler dan bebe- rapa pegawai pengurusan PBSNT.