Tuesday, April 19, 2011

Perak Hendak Balas Dendam


Perak tidak rela berkongsi mata dengan Terengganu apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh hari ini.

Pengurus Perak, Khairul Azwan Harun berkata, tiga mata bakal menjadi sasaran pasukan tuan rumah pada perlawanan hari ini, bagi memastikan kedudukan skuad Kejor Yob Kejortidak ketinggalan dalam perebutan tiga tempat teratas liga.

Perak kini menghuni tangga ketiga Liga Super dengan 22 mata di belakang Terengganu (24 mata) dan Selangor (26 mata).

Selain itu, Kelantan dan Kedah turut memberi saingan apabila mengutip 21 mata.

"Kekalahan 0-1 kepada Selangor Sabtu lalu tidak menjejaskan semangat pemain untuk mencari kemenangan pada malam esok,'' kata Khairul Azwan.

Sebaliknya tegas beliau, semangat pemain begitu tinggi untuk mendapatkan kemenangan bagi menggantikan mata yang dicuri Selangor Sabtu lalu.

"Pemain Perak juga begitu bersemangat untuk berdepan Terengganu kerana mahu membalas dendam ke atas pasukan itu yang menyingkirkan kami dalam saingan Piala FA,'' katanya.

Skuad Pantai Timur itu menyingkirkan Perak dengan agregat 5-4 dalam persaingan suku akhir Piala FA.

Dalam perlawanan tersebut, Perak menumpaskan Terengganu 3-2 di Ipoh tetapi kalah 1-3 di Kuala Terengganu.

Mengenai kehadiran semula penyerang sensasi, Razali Umar Kandasamy, Khairul Azwan berkata, penyerang tersebut berjaya melaksanakan tugasnya.

"Walaupun diturunkan sebagai pemain gantian tetapi Razali berjaya melaksanakan tugas yang diberikan oleh jurulatih,'' katanya.

Sebelum ini, Razali gagal menghadiri latihan skuad Perak selama tiga minggu pada 3 Mac lalu.

Khairul Azwan berkata, jurulatih Perak, Norizan Bakar mempunyai strategi tersendiri bagi membolehkan Perak mengutip mata penuh hari ini.

No comments:

Post a Comment