Wednesday, January 25, 2012

Pok Doe Belum Tunjuk Kehebatannya



Baru sahaja diturunkan dalam dua perlawanan, namun penyerang import Terengganu, Francis Doe Forkey sudah memberi bayangan yang dia bakal mengganas dalam saingan Liga Malaysia, musim ini.Menjadi penentu kepada dua kemenangan yang dilakar skuad Penyu ketika menang 1-0 ke atas Sarawak dan 2-1 berdepan T-Team, kelincahan Francis dengan menjaringkan tiga gol dalam perlawanan itu nyata perlu diberi perhatian oleh pasukan yang berhajat untuk menyaingi Terengganu pada musim ini.



Bertambah menarik, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris mendedahkan, penyerang yang pernah bermain bersama kelab Al-Ahly dan New York Red Bulls itu sebenarnya belum pulih 100 peratus daripada kecederaan lama.''Francis sebenarnya belum pamer aksi terbaik kerana masih cedera di buku lali dan sebenarnya boleh memberikan yang lebih baik berbanding dua perlawanan terdahulu.


''Namun, saya cukup berpuas hati kerana walaupun masih dihantui kecederaan, dia sudah boleh menjaringkan tiga gol dan membantu pasukan meraih kemenangan.''Dia memang seorang pemain yang bagus serta bijak mencari ruang dalam usaha mendapatkan jaringan. Saya harapkan lebih banyak yang dia mampu berikan kepada pasukan.


''Memandangkan aksinya dalam perlawanan sebelum ini, saya jangka pertahanan lawan sudah pasti akan memberikan perhatian yang lebih kepada Francis dalam perlawanan akan datang, " katanya yang dihubungi, semalam.Seorang lagi pemain import Terengganu adalah pemain dari Brazil, Erison da Silva Santos yang beraksi di bahagian tengah.


Namun, kehadiran Doe membuatkan Terengganu perlu membayar harga mahal kerana perlu mengorbankan tempat penyerang kebangsaan, Abdul Hadi Yahaya dalam kesebelasan utama. ''Saya terpaksa mengetepikan Abdul Hadi dan memberi ruang kepada Francis untuk digandingkan dengan Abdul Manaf yang menjadi gandingan pilihan saya.


''Bukan bermaksud Abdul Hadi tidak bagus tetapi saya perlu memilih terbaik daripada yang baik. Begitupun, Abdul Hadi saya ada masukkan juga selaku pemain gantian dan memandangkan liga masih panjang, dia perlu bersiap sedia apa jua kemungkinan untuk diturunkan, " katanya.



Menjelang pertemuan dengan Lions XII di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini, Mat Zan tidak menafikan penggunaan padang tiruan mungkin memberi sedikit masalah, namun tidak mahu menjadikan itu masalah besar.



''Ada sesetengah pemain dalam skuad ini pernah bermain di sana dan harap mereka dapat membantu rakan sepasukan menyesuaikan diri dengan permukaan padang.''Kami mahu mahu meneruskan rekod kemenangan yang kami perolehi dalam tiga perlawanan terakhir dan berharap mampu mengekalkan aksi konsisten sehingga hujung saingan liga, " katanya.

Pok Ya Kena Amaran



Jurulatih T-Team, Yunus Alif sudah hilang kesabaran dengan pemain import Zacharia Simukonda, yang tidak memberi gambaran sebagai seorang pemain bertaraf profesional.

Beliau berkata, Zacharia akan diberi peluang dalam beberapa perlawanan lagi sebelum tindakan drastik diambil ke atas pemain dari Zambia itu. Yunus bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai tindakan yang bakal diambil nanti.

"Persembahannya amat mengecewakan dan tidak menunjukkan permainan seperti diharapkan oleh peminat T-Team," katanya semalam.

Katanya lagi, sebagai penyerang, T-Team menaruh harapan amat tinggi kepada Simukonda untuk menjaringkan gol tetapi ternyata pemain itu gagal berbuat demikian.

Simukonda setakat ini baru menjaringkan satu gol dalam Liga Super setelah mengharungi empat perlawanan.

Yunus menegaskan, Simukonda perlu menunjukkan persembahan lebih bertenaga dan berkesan pada perlawanan akan datang bagi mengelak tindakan diambil ke atasnya.

Beliau mengharapkan pemain itu mula menunjukkan kemampuan apabila T-Team melayan kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini, di mana beliau menjangkakan perlawanan itu sengit dan menarik.

T-Team, katanya, mengharapkan Simukonda memberikan persembahan terbaik dan berkesan supaya dapat mengembalikan keyakinan pasukan terhadap pemain import itu.

Yunus juga mengingatkan anak buahnya supaya tidak melakukan kesilapan mudah apabila bertemu pasukan dari Lembah Klang itu.

Katanya lagi, ketua pasukan, Rosdi Talib yang direhatkan dalam perlawanan terakhir kerana demam dijangka kembali memperkuatkan pasukan T-Team Sabtu ini

Tuesday, January 24, 2012

Monday, January 23, 2012

Syamsuri Pulih

Penjaga gol utama pasukan kelab T-Team, Syamsuri Mustapa, dijangka dapat beraksi semula pada saingan Liga Super bulan depan selepas pulih sepenuhnya dari pembedahan lutut pada Julai lalu.Jurulatih T-Team Yunus Alif berkata bekas penjaga gol kebangsaan itu telah pulih sepenuhnya dan telah turun berlatih bersama pemain yang lain untuk menguatkan fizikalnya.

"Syamsuri sudah pulih, tetapi masih belum menerima lampu hijau daripada pegawai perubatan untuk turun bermain," katanya ketika ditanya mengenai keadaan penjaga gol itu hari ini.Syamsuri telah direhatkan selama enam bulan selepas menjalani pembedahan lutut pada Julai tahun lepas.

Yunus berkata beliau yakin pasukan T-Team akan lebih mantap, khususnya di bahagian gawang apabila Syamsuri kembali nanti.Beliau berkata kehadiran Syamsuri akan menyuntik semangat pemain-pemain yang lain untuk memberi persembahan terbaik dalam pasukan berstatus kelab itu. Buat pertama kali, Yunus berkata pemain itu disenaraikan ketika T-Team bertemu Terengganu di sini malam tadi, tetapi Syamsuri hanya sekadar pemain simpanan sahaja.

Dalam pada itu, Yunus berkata T-Team kurang bernasib baik kerana tumpas 1-2 kepada Terengganu walaupun telah mendahului pasukan itu pada suatu ketika."Nasib kita kurang baik kerana kita terpaksa bermain dengan 10 orang setelah pemain pertahanan kita dilayang kad merah," katanya.

Pengendali pasukan T-Team itu berkata beliau sangat berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang begitu mantap walaupun kekurangan seorang pemain sehin
gga wisel penamat.T-Team akan menentang Selangor dalam perlawanan seterusnya Sabtu ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Kad Merah Punca TTeam Kalah


KAD merah dilayangkan pengadil, Muhd Nazmi Nasaruddin kepada pertahanan T-Team, Shahril Faizal Sharifudin selepas menjatuhkan Ashaari Samsudin pada minit ke-20, membuktikan mutu pengadilan bola sepak negara masih lemah.

Kad merah yang dilayangkan pada perlawanan Liga Super antara dua kelab ‘abang-adik’ di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, dianggap berat sebelah kerana sebelum itu penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee hanya dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan penyerang import T-Team, Zacharia Simukonda pada minit ke-12.
Tindakan Muhd Nazmi melayangkan kad merah kepada Shahril Faizal mencetuskan kontroversi menyebabkan permainan terpaksa dihentikan kira-kira lima minit.
Pengendalinya, Yunus Aliff dan pengurusan T-Team di bangku simpanan juga kecewa Nazmi, tetapi kekebalan diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada pengadil perlawanan itu hanya mengundang balingan botol minuman, bangku dan pelbagai objek lain ke dalam padang.

“Sebelum ini, FAM sering menasihatkan penyokong bersikap profesional, tetapi badan induk itu juga sepatutnya lebih profesional, termasuk dalam soal pemilihan pengadil.

“Jika pengurusan bersuara lantang mempertikaikan keputusan pengadil akan dihukum, tetapi jika mutu pengadilan lemah seperti ditunjukkan pengadil Muhd Nazmi, apa pula tindakan dikenakan?,” soal seorang penyokong fanatik T-Team, Mohd Faizal Abdullah.

Bagaimanapun, Yunus dan penolong pengurus, Zainal Abidin Hassan ketika ditemui selepas perlawanan yang menyaksikan skuad bimbingannya tewas 2-1, enggan mengulas lanjut tetapi berpuas hati dengan aksi barisannya walaupun beraksi dengan 10 pemain. Zacharia juga menunjukkan sedikit peningkatan selepas diberi kata dua oleh pengurus pasukan, Rozi Mamat dan Yunus.

Adik Kalah Dengan Abang

KEKEBALAN T-Team yang turun dengan reputasi rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan Liga Super akhirnya lebur di tangan skuad abangnya sendiri, Terengganu, 1-2 malam kelmarin.

Lebih mengecewakan, skuad kendalian Yunus Alif yang beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan, Shahril Faizal dibuang padang pada minit ke-20.


“Pasukan bermain baik dengan melakukan asakan awal sehingga mendahului perlawanan m-12 melalui Zairo Anuar Zailani menerusi sepakan penalti, namun ketiadaan Shahril jelas menampakkan kepincangan pasukan.

“Walau bagaimanapun, saya bangga dengan komitmen pemain kerana masih mampu mengekang asakan lawan sebelum pemain import Terengganu, Francis Forkey Doe, menghasilkan gol kemenangan skuadnya,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Selangor , Sabtu depan di laman sendiri, Yunus mengharapkan pemainnya kembali bangkit untuk mencatat kemenangan dan merampas kembali takhta pendahulu liga.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris, memuji persembahan anak buahnya yang menunjukkan disiplin tinggi sepanjang perlawanan biarpun ketinggalan pada awal babak pertama.

“Kesungguhan pemain untuk menang amat tinggi, walaupun dikejutkan jaringan awal lawan, namun rentak pemain tidak terjejas, sebaliknya terus melakukan asakan sebelum Doe menyamakan kedudukan dan seterusnya menghasilkan gol kemenangan.


“Saya bangga dengan semangat melawan pemain terutama Doe, yang menghasilkan dua gol biarpun pemain Liberia itu tidak begitu cergas kerana mengalami kecederaan sebelum perlawanan,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan skuad Lions XII , beliau yakin pemainnya mampu mengekalkan rentak permainan konsisten sebagaimana yang dipamerkan dalam perlawanan malam kelmarin.

“Saya optimis pemain mampu memperagakan aksi terbaik untuk mengutip tiga mata dan seterusnya mengintai takhta teratas liga,” katanya.

Pok Doe Pemusnah TTeam


PENYERANG import Terengganu, Francis Forkey Doe kian berbisa apabila muncul wira dengan meledak dua gol ketika membantu Penyu merakam kemenangan ketiga berturut-turut selepas mengalahkan pasukan 'adik' T-Team 2-1, kelmarin.

Lebih 10,000 penyokong di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah terhibur menyaksikan kedua-dua pasukan sering berbalas serangan tetapi barisan Mat Zan Mat Aris tersentap apabila T-Team memperoleh sepakan penalti selepas penjaga gol Mohd Sharbinee Alawi menjatuhkan Zacharia Simunkonda dalam kotak penalti.

Kapten T-Team, Zairo Anuar Zailani yang mengambil sepakan itu meletakkan T-Team di depan pada minit ke-12 tetapi Penyu tidak mengalah apabila bangkit menerusi tiga penyerang serangkai – Forkey Doe, Abd Manaf Mamat dan Ashaari Shamsuddin.

Kesilapan pertahanan kanan T-Team, Shahril Faizal Sharifudin yang menerjah keras Ashaari membawa padah apabila pengadil melayangkan kad merah dan Forkey mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-20.

Tanpa seorang pemain, T-Team tetap bersemangat mencari jaringan tetapi gagal menembusi benteng yang dikawal kemas Marzuki Yusof dan Muslim Ahmad sebelum Forkey muncul memastikan tiga mata penuh apabila penyerang Liberia itu menggegar pada minit ke-59 hasil hantaran cantik Ashaari.

Kemenangan skuad Penyu melonjakkan pasukan itu ke tangga kedua di belakang Kelantan yang kelebihan satu mata.

“Walaupun kami ketinggalan awal, ia tidak mematahkan semangat pemain dan saya bersyukur misi mendapatkan tiga mata tercapai hasil kerja keras mereka,” kata pengendali Terengganu, Mat Zan Mat Aris yang gembira pasukannya meranapkan rekod tanpa kalah T-Team.

Wednesday, January 18, 2012

Jaring Sulong Pok Doe


FRANCIS Fronkey yang membuat penampilan pertama selepas kontroversi berhubung statusnya yang ‘diharamkan’ Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membalas dengan jaringan sulung sekali gus memberi kemenangan kedua berturut-turut buat Terengganu menundukkan Sarawak, 1-0 di Stadium Negeri Petra Jaya, malam tadi.

Tendangan emas pada minit ke-37 itu membayangkan pemain kelahiran Liberia itu dahagakan sentuhan selepas ‘diketepikan’ dalam dua perlawanan akibat kontroversi melandanya dan rakan sepasukan, Erison da Silva dari Brazil.


Fronkey yang menerima hantaran penyerang Ashaari Shamsudin bijak memperdayakan empat pertahanan yang mengepungnya sebelum merembat masuk untuk menewaskan penjaga gol, Saiful Amar Sudar.

Sarawak atau dikenali Ngap Sayot lebih menyerlah berbanding skuad Penyu melalui serangan bertali arus namun gagal membocori gawang lawan akibat penyudahan tumpul.


Namun, anak buah Mat Zan Mat Aris gagal menambah jaringan berikutan kekebalan benteng pertahanan Ngap Syot yang diketuai Mohd Hairol Mokhtar.


Sarawak menguasai perlawanan namun harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyempurnakan peluang terhidang terutama pada m-60 apabila tendangan lambung Kendrick diselamatkan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Alawee.

Perlawanan kedua-dua pasukan agak panas apabila lebih 10,000 penyokong tidak puas hati dengan tindakan pengadil perlawanan, Mohd Nazmi Nassaruddin.


Kekalahan ini yang kedua buat Sarawak selepas tewas 1-2 kepada Sabah di Likas, Sabtu lalu.

TTeam Mampu seri


KELAB dari Terengganu, T-Team terus kekal di tangga teratas Liga Super biarpun mereka sekadar seri 0-0 dengan Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Kedah dan Kuala Lumpur, anak buah Yunus Alif garang di awal permainan, namun Zacharia Simukonda mempersiakan dua peluang terbaik pada minit ke-11 dan 14 apabila sekadar melakukan sepakan lemah yang mudah diselamatkan penjaga gol Sabah, Azizon Kadir.
Padang basah disebabkan hujan sebelum kedua-dua pasukan turun beraksi nyata menjejaskan sedikit rentak permainan.
Sabah turut memiliki peluang terbaik pada minit ke-17 tetapi penyerang import, Michael Baird gagal menanduk tepat sepakan sudut biarpun penjaga gol T-Team, Iqbal Suhaimi sudah meninggalkan gawangnya.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat kendalian Justin Ganai terus memiliki peluang untuk memecah kebuntuan, namun Bobby Gonzales gagal menyempurnakannya biarpun hanya berdepan Iqbal pada minit ke-63 dan 74.

Peluang terbaik Sabah menyusul pada minit ke-77 dan kali ini rembatan Baird berjaya diselamatkan oleh Iqbal.

T-Team turut mempunyai beberapa peluang menerusi Simukonda, namun penyerang import itu mempersiakannya apabila terjatuh ketika mengelecek bola.

Monday, January 16, 2012

Penjaring Gol Terbanyak



3 Gol:- Zairo Anuar Zailani ( T-Team )


2 Gol :- Jean Emmanuel Effa Owona (Negeri Sembilan),Faiz Subri (T-Team),Mohd Fauzan Dzulkifli (PKNS),K.Ravindran (Sarawak),Ashari Samsuddin (Terengganu),Shakir Ali (Negeri Sembilan),Safiq Rahim (Selangor)


1 Gol :- Amirulhadi Zainal (Selangor),Michal Kubala (Perak),Raimi Mohd Noor (Felda United),Yong Kuong Yong (Felda United),Hairol Mokhtar (Sarawak),Baihakki Khaizan (Lions XII),Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan),Mahmoud Ghadar (Kelantan),Riduwan Maon (Johor FC),Azi Sharil (Johor FC),Badhri Radzi (Kelantan),Zachariah Simukonda (T-Team),Ismail Faruqi (Terengganu),Michael Baird (Sabah),Bobby Gonzales (Sabah)


Sehingga 16 jan 2012

Sunday, January 15, 2012

Set Kelengkapan Untuk Ahli PETEH





Inilah Pakaian Rasmi untuk Ahli PETEH iaitu Baju, muffller & Topi







Saha 2 Gol



Terengganu turut melakar keputusan yang sama selepas berhasil mengutip tiga mata penuh apabila menumbangkan Felda United dengan jaringan 3-0, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.


Seakan melupakan kemelut yang melanda dalam skuad itu berhubung isu pemain import, pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris mempamerkan aksi menarik sebaik wisel ditiupkan dan berjaya membolosi gawang Felda seawal minit ke-11 menerusi jaringan Ismail Faruqi.


Manakala penyerang berbisa Terengganu, Mohamad Ashaari Samsudin menjadi wira untuk tuan rumah meraikan kemenangan apabila menambah dua gol lagi pada minit ke-73 dan minit ke-93, sekaligus menutup peluang Felda meraih sebarang mata.


Felda terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Nazri Ahmad dilayangkan kad merah pada minit ke-78

TTeam Terus Cemerlang



DALAM diam-diam, pasukan berstatus kelab, T-Team sudah berjaya merakamkan kemenangan kedua berturut-turut untuk mendapatkan cengkaman awal dalam saingan Liga Super, musim ini. Semalam, pasukan bimbingan Yunus Alif tampil menyajikan satu lagi persembahan bertenaga untuk menewaskan Kuala Lumur 3-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput Melaka untuk mengutip enam mata sambil memberi amaran kepada pasukan elit lain mereka sudah menemui rentak untuk menerajui liga.


Selasa lalu, T-Team yang sebelum ini bersama pasukan abang, Terengganu mengancam mahu menarik diri daripada Liga Super gara-gara isu pemain import, menewaskan Kedah 3-0 di Alor Setar.


Bagi Kuala Lumpur yang beraksi tanpa kelibat awang import mereka tetap memperaga aksi cemerlang pada babak kedua perlawanan walaupun anak didik Razip Ismail agak tenggelam pada saingan babak pertama. Selepas mensia-siakan sekurang-kurangnya empat peluang untuk membocori gawang lawan T-Team akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-30 hasil jaringan ketua pasukan, Zairo Anuar untuk mendapat sedikit keselesaan mendominasi babak pertama.


Selepas rehat, wakil dari Terengganu itu menyentap cabaran Kuala Lumpur dengan gol kedua menerusi Zacharia Simukonda yang melonjak tinggi menanduk masuk pada minit ke-69 sebelum Zairo sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-79 untuk gol ketiga pasukan.

Terima Kasih FAM

















"Terima kasih kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Ini maknanya FAM dengar kehendak kita".Itu reaksi Dato' Seri Ahmad Said terhadap keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang memberi kelonggaran kepada persatuan negeri dan kelab melanjutkan pendaftaran pemain import sebelum 13 Februari ini.Menurut Menteri Besar, tegurannya terhadap FAM mengenai perkara itu tempoh hari sebenarnya bertujuan untuk sama-sama melihat sukan bola sepak tempatan negara maju serta membangun.


"Saya bersyukur dan terima kasih kepada FAM yang buat keputusan untuk buka semula pendaftaran pemain import. Tujuan ambil pemain ini (import) untuk meningkatkan pencapaian bola sepak tempatan dan jumlah penonton ke stadium."Saya bukan bercakap sebagai seorang Menteri Besar, tapi saya bercakap bagi pihak peminat bola sepak di peringkat akar umbi, saya juga peminat bola. Jadi, saya tahu kehendak peminat," katanya.Kata Dato' Seri Ahmad selepas merasmikan Konvensyen NGO's Negeri Terengganu 2012 di Hotel Primula, Kuala Terengganu semalam.

Thursday, January 12, 2012

MB Terengganu Berang Dengan FAM


BERANG dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan Terengganu mendaftarkan dua tonggak importnya beraksi, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengancam untuk menarik penyertaan Terengganu dan T-Team dari Liga M.Beliau berkata, penarikan diri itu adalah pilihan terakhir andai FAM masih berkeras dengan keputusan tidak membenarkan Terengganu menurunkan kedua-dua pemain berkenaan.


“Kami ada tiga pilihan untuk FAM iaitu membenarkan dua pemain import bermain atau kedua, kerajaan negeri akan ambil tindakan undang-undang terhadap FAM berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan dan ketiga, bayar ganti rugi sebab kami sudah keluar belanja untuk kontrak dua pemain itu.“Senario lebih buruk lagi kemungkinan besar kami akan tarik semua pasukan daripada Liga M


“Kalau (FAM) hendak gantung, gantunglah kerana mereka tidak profesional, sebab kami main bola sepak untuk orang suka-suka, kenapa hendak susahkan orang. Ini tidak betul.


“Saya sudah bincang dengan beberapa peguam dan jika ini pegangan FAM, saya rasa mereka tak profesional,” katanya yang berasa bertanggungjawab untuk menegur FAM kerana kerajaan negeri membiayai sebahagian besar kos Terengganu dan T-Team bertanding dalam Liga M.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Penyampaian Insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan Sea dan Para Asean 2011 untuk atlet Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.


Ahmad mengulas tindakan FAM yang tidak membenarkan dua pemain import Terengganu diturunkan atas alasan pendaftaran dibuat lewat dari tarikh ditetapkan pada 8 Disember tahun lalu sedangkan pekeliling dikeluarkan FAM menyatakan Terengganu boleh mendaftar pemain import mereka selewat-lewatnya pada 9 Januari lalu.


Dua pemain import terbabit ialah Francis Doe Forkey dari Liberia yang beraksi sebagai penyerang dan pemain tengah, Erison Da Silva Santos Carnietto dari Brazil.


Akibat tindakan FAM itu, Terengganu tidak dapat menurunkan pemain import hingga pintu pendaftaran dibuka semula pada April ini dan kini skuad Penyu bergantung sepenuhnya kepada khidmat pemain tempatan untuk membawa cabaran dalam Liga Super yang turut menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Perak dalam perlawanan di Ipoh, kelmarin. Ahmad berkata, FAM tidak rugi jika tidak membenarkan kedua-dua pemain itu beraksi, sebaliknya kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu yang rugi kerana sudah mengeluarkan bayaran untuk mereka.


“Sebab itu bola sepak Malaysia tidak berkembang kerana ada pegawai yang berperangai macam tu, bermain politik dan sebagainya.“Cuba tengok bola sepak luar negara yang lebih bersifat terbuka. FAM mendakwa bersikap profesional tapi sebenarnya, tidak.



“Apa hendak dibimbangkan jika dua pemain import bermain dalam Liga M sebab bukannya ambil Thierry Henry atau Lionel Messi hingga menyebabkan pasukan negeri lain merungut kerana takut.“Kami akan minta pasukan Terengganu dan T-Team tarik diri kecuali mereka mempunyai duit sendiri untuk meneruskan permainan serta tidak perlu bantuan kerajaan negeri.“Jika tarik diri, kita boleh bermain di mana-mana pun, di daerah-daerah untuk pertunjukan, sebab gaji pemain sudah dibayar,” katanya.

Sunday, January 8, 2012

Perlu Diselesai Secara Profesional



PERASAAN malu yang menyelubungi kem pasukan Terengganu gara-gara kontroversi surat pekeliling bertarikh 23 Disember lalu belum berakhir.




Semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh sekali lagi tampil menjelaskan pendiriannya bagi membersihkan maruah persatuan negeri itu.


Kata Che Mat, sekalipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat permohonan maaf menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad, namun ia masih belum cukup memulihkan penderitaan PBSNT.


“Kami (PBSNT) bukan mahu berkelahi tetapi kami hanya mahu mencari penyelesaian yang baik antara induk dan badan gabungan.


“PBSNT dilemparkan pelbagai tohmahan dan dikatakan tidak tahu membaca surat pekeliling itu. Walhal, ia bukanlah kesilapan kami kerana kami berpandukan kepada surat pekeliling itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.


Justeru, Che Mat mahu Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sendiri membuat permohonan maaf kepada PBSNT di atas kekeliruan yang timbul daripada surat pekeliling itu.


“Janganlah kata yang kami tidak tahu membaca surat pekeliling itu kerana ia satu tamparan buat kami.“Jadi, saya mahu dia memohon maaf secara terbuka kepada kami... bukan kepada saya tetapi kepada PBSNT,” jelasnya.


Semalam, Kosmo! melaporkan permohonan maaf daripada FAM menerusi Azzuddin ekoran kesilapan yang berlaku ke atas surat bertarikh pada 23 Disember.


Dalam surat berkenaan, FAM secara jelas menyatakan syarat-syarat pemain asing untuk pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2012 dengan skuad Penyu diberi tempoh pendaftaran sehingga 9 Januari ini.


PBSNT kemudian telah menandatangani kontrak dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil.


Bagaimanapun, FAM kemudian menjelaskan, surat berkenaan berkenaan merujuk pendaftaran pemain import untuk kempen Piala AFC dan bukannya Liga- M.


“PBSNT telah banyak melabur untuk mendapatkan dua pemain import ini tetapi malangnya, mereka tidak dapat bermain.


“Kalau diikutkan, dua pemain import itu tidak dapat bermain dalam 10 perlawanan Liga Super dan mungkin juga tidak berpeluang bermain dalam Piala FA sehingga separuh akhir,” jelasnya.
Namun Che Mat menjelaskan, PBSNT akan tetap mengekalkan Doe dan Carnieto sehingga pintu pembe- lian pemain import dibuka pada April depan.

Saturday, January 7, 2012

Azzudin Tandatangan surat Tanpa Baca?

“MAAF, kami mengakui melakukan kesilapan.”

Itu respons Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad (gambar) berhubung kesilapan terhadap surat pekeliling yang dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada 23 Disember lalu.

Dalam surat pekeliling tersebut, PBSNT mendapat ‘keistimewaan’ untuk mendaftar pemain import baharu selewat-lewatnya pada 9 Januari ini.Justeru PBSNT mempergunakan sepenuhnya 'keistimewaan' tersebut dengan merombak perancangan asal pemain import dan menarik balik pendaftaran Mohamadu Sua Mareh dari Gambia.

Selepas berjaya mendapatkan dua tonggak import baharu iaitu Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva Santos Carniet yang diumumkan oleh Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh pada 4 Januari lalu namun 'awang import' tersebut hanya disahkan layak beraksi pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sahaja.

Azzuddin memberitahu meskipun kesilapan teknikal itu amat dikesali tetapi ia tidak bermakna status kedua-dua pemain import tersebut dibenarkan beraksi di Liga Malaysia (Liga M)“Saya ingin memohon maaf atas kesilapan teknikal kami terhadap surat pekeliling itu.“Saya telah menjelas perkara sebenarnya kepada Presiden PBSNT, Datuk Che Mat pada pagi ini (semalam) dan segala-galanya sudah selesai.

“Tetapi, status kedua-dua pemain import tersebut hanya layak untuk bertanding pada Piala AFC sahaja, bukan di Liga M.“Jesteru, Terengganu boleh melengkapkan perpindahan pada 9 April depan (terhadap kedua-dua pemain import ini) dan sekali lagi, FAM amat kesal dengan insiden ini serta akan lebih berhati-hati di masa akan datang,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kontroversi baharu yang melanda PBSNT ekoran kehadiran surat pekeliling daripada FAM bertarikh 23 Disember itu.Dalam surat berkenaan, FAM menyatakan syarat-syarat pemain asing untuk pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga Malaysia (Liga M) 2012 dengan skuad Penyu diberi tempoh pendaftaran sehingga 9 Januari ini.

Meskipun kekeliruan itu sudah terjawab namun selaku naib juara Liga Super musim ini, ketiadaan pemain import ini nyata mengundang keresahan buat penyokong setia Sang Penyu.Terengganu yang juga juara Piala FA bagaimana pun masih memilik ‘permata’ tempatan seperti Abdul Hadi Yahya, Adul Manaf Mamat dan Joseph Kalang Tie yang dijangka mampu memberikan tentangan sengit kepada pasukan-pasukan lain.

Azzudin Cuai, Che Mat Yang Rugi


"MEMANG mudah untuk memohon maaf tetapi kesannya PBSNT yang tanggung."Demikian tegas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh ke atas permohonan maaf yang dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kontroversi surat pekeliling bertarikh 23 Disember lalu.

Che Mat dalam nada kecewa berkata, FAM sebagai sebuah badan sukan bola sepak utama di negara ini sepatutnya lebih arif dalam mengeluarkan sebarang arahan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahli gabungannya.Justeru katanya, kesilapan ini perlu dijadikan iktibar buat badan sukan itu agar lebih memberi ruang dan mendengar suara ahli-ahli gabungan di peringkat negeri."Apa yang PBSNT buat ini (mendapatkan pemain import) adalah berdasarkan pekeliling daripada FAM tetapi kini kita terpaksa menerima hakikat bahawa dua pemain import kita tidak boleh beraksi dalam Liga Malaysia," katanya kepada Kosmo! semalam.Jelasnya lagi, PBSNT juga terpaksa menanggung sengsara ekoran daripada kesilapan teknikal yang dilakukan FAM, termasuk kerugian dari segi kewangan, masa dan tenaga.

"PBSNT sebagai salah satu ahli gabungan FAM tidak boleh berbuat apa-apa. Jika kita menentang, kita bakal berdepan hukuman. Mahu tidak mahu, kita terpaksa menerima hakikat ini," ujarnya.Ditanya mengenai nasib dua pemain import yang telah ditandatangani iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil, Che Mat masih enggan menjelaskan dan akan berbincang dengan pihak pengurusan dalam masa terdekat.

"PBSNT sendiri tidak pasti apa yang perlu dilakukan kerana perkara ini baru sahaja berlaku," ujarnya.Semalam, Kosmo! mendedahkan kontroversi baharu yang dialami PBSNT ekoran kehadiran surat pekeliling bertarikh 23 Disember yang dikeluarkan FAM.

Dalam surat berkenaan, FAM secara jelas menyatakan syarat-syarat pemain asing untuk pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2012 dengan skuad Penyu diberi tempoh pendaftaran sehingga 9 Januari ini.Bagaimanapun, FAM mengakui kesilapan berlaku apabila pekeliling itu sebenarnya merujuk kepada pendaftaran pemain import untuk kempen Piala AFC dan bukannya untuk Liga-M.

Friday, January 6, 2012

Tidak Pandai Baca or Tandatangan Tanpa Baca?


“SAYA agak musykil sebenarnya kerana surat yang kami hantar menggunakan bahasa Melayu, bukannya bahasa Inggeris.“Jadi, sepatutnya perkara ini tidak berlaku dan mereka (Terengganu) harus memahami dan meneliti surat yang mereka terima itu.

”Demikian respons Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berhubung tindakan Terengganu yang tetap menyenaraikan dua pemain import yang tidak layak beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Dengan keputusan itu, skuad Penyu nampak gayanya telah pun ‘bercucuran air mata’ gara-gara ‘kempunan’ mendapatkan sentuhan kedua- dua pemain import terbabit meskipun sepak mula Liga-M belum pun bermula.Terdahulu, kedua- dua pemain import terbabit, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva Santos Carniet disahkan akan menyarung jersi Penyu bagi mengharu- ngi saingan Liga-M dan juga kejo- hanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun, Azzuddin memberitahu, kedua-dua pemain itu hanya boleh beraksi dalam kejohanan AFC sahaja dan bukannya Liga-M.Ini kerana menurutnya, hasil semakan FAM sebelum ini mendapati kedua-dua pemain itu tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh FAM sebelum ini.Justeru katanya, Terengganu dan mana-mana pasukan lain yang gagal membuat pendaftaran pemain import pada 8 Disember lalu boleh kembali berbuat demikian ketika pendaftaran dibuka semula pertengahan April depan.

“Kami sudah mengutuskan surat kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan jelas menyatakan tarikh 9 Januari itu sebenarnya untuk pemain import yang beraksi untuk kejohanan AFC, bukannya Liga M.“Kami sudah menegaskan tarikh perpindahan pemain yang beraksi untuk Liga M sudah ditutup pada Disember lalu. Keputu- san FAM muktamad dan kami tidak memberikan mana-mana pasukan ‘keistimewaan’ berhubung isu pemain import ini.

“Semua pasukan yang beraksi dalam Liga-M dilayan sama rata, cuma kelebihan hanya pada pasu- kan yang beraksi di AFC sahaja. Namun, ini tidak bermakna mereka dapat menggunakan khidmat pemain tersebut dalam Liga-M,” tegasnya.Kosmo! semalam melaporkan, Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh mengumumkan nama kedua-dua ‘awang import’ terbabit bagi mengharungi saingan Liga-M musim ini.Beliau dilaporkan berkata, susulan pekeliling terbaharu bertarikh 23 Disember yang dikeluarkan oleh FAM menyatakan bahawa Terengganu layak untuk mendaftar pemain import baharu selewat-lewatnya pada 9 Januari ini.

Justeru katanya, kesempatan yang ada jelas digunakan Terengganu untuk merombak perancangan asal mengenai pemain import dengan menarik balik pendaf- taran Mohamadu Sua Mareh dari Gambia yang sebelum ini telah di- daftarkan dengan FAM.Mengulas lanjut, Azzuddin berkata, beliau tidak mahu mana-mana persatuan atau kelab melaku- kan perkara yang sama selepas peraturan pemain import sudah dijelaskan kepada semua pasukan yang terlibat di dalam Liga-M pada tahun lalu.

FAM Salah?


KONTROVERSI baharu menyelubungi kem pasukan Terengganu.

Semuanya gara-gara kekeliruan yang timbul ekoran surat pekeliling yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertarikh 23 Disember lalu.

Menurut surat tersebut yang ditandatangani Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad itu, FAM telah menyatakan syarat-syarat pemain asing dari pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga Malaysia (Liga M) 2012.

Antara lain isi kandungan surat itu secara jelas menyatakan ‘Senarai pemain-pemain asing untuk didaftarkan dalam Liga M 2012 hendaklah dikemukakan kepada FAM sebelum atau pada pukul 12 tengah hari Jumaat 6 Januari 2012 bagi pasukan Kelantan dan bagi pasukan Terengganu ialah sebelum atau pada pukul 12 tengah hari Isnin, 9 Januari 2012.

Percaya dengan isi kandungan surat berkenaan, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kemudian telah mendapatkan dua khidmat pemain import baharu iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnietto dari Brazil.

Namun, kekeliruan mula timbul apabila Azzuddin mengesahkan yang dua pemain asing itu sebenarnya tidak layak untuk beraksi dalam Liga M sebaliknya hanya boleh diturunkan dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Andai kenyataan Azzuddin itu benar, maka Terengganu yang juga juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia musim lalu bakal beraksi dalam kempen Liga M musim ini tanpa seorang pun pemain import.

Situasi itu sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati kelab-kelab penyokong bola sepak Terengganu yang menganggap FAM sebagai tidak profesional dalam melaksanakan dasarnya.

Thursday, January 5, 2012

Jangan Jual Game


DUA pasukan adik-beradik, Terengganu dan T-Team awal-awal lagi diberikan amaran keras supaya tidak terbabit dalam sebarang skandal menjual permainan atau menerima rasuah jika tidak mahu kerjaya mereka musnah.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan, sekiranya ada mana-mana pemain, tidak kira yang beraksi dalam Liga Malaysia atau Piala Presiden terbabit dengan gejala itu, mereka secara automatik akan ditamatkan kontrak. “Bukan kerjaya mereka saja akan hancur, silap-silap akan dimasukkan ke penjara. Justeru, kita harap pemain tidak sesekali terjerumus dengan kancah tidak sihat ini sebab gejala ini sudah menjadi satu perniagaan kepada pihak tertentu,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak pemain Liga Super 2012 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan T-Team di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Ahmad mengulas isu berkenaan selepas mendapati trend bola sepak masa kini banyak membabitkan bookie dan pemain serta pengurusan perlu bijak mengatasi masalah itu.

Juara Liga Super & Piala Malaysia Jadi Idaman

Berbekalkan prestasi membanggakan musim lalu dan kemantapan pasukan yang dibentuk semula, Terengganu berazam untuk merangkul dua kejuaraan musim 2012.Pengendali skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris yang diberi kepercayaan menggalas harapan tinggi penyokong Terengganu yakin peluang merangkul juara Liga Super dan Piala Malaysia mampu dicapai.

Mat Zan bersandarkan keserasian dan peningkatan tahap permainan yang ditunjukkan anak-anak buahnya dalam beberapa perlawanan persahabatan yang lalu."Dengan barisan 24 pemain yang kita ada sekarang, saya boleh katakan kebolehan yang mereka ada hampir sama dan boleh menggalas tugas yang diberikan dengan baik."Saya juga telah dapat bayangan untuk kesebelasan utama yang bakal diturunkan nanti," katanya selepas majlis menandatangani kontrak bersama pemain dan penaja pasukan untuk musim baru, kelmarin.

Pada majlis tersebut, skuad Penyu menerima tajaan pengeluar pakaian sukan Specs berjumlah RM300,000, syarikat teknologi maklumat tempatan, Top IT Sdn Bhd (RM250,000), Syarikat Tiara Pesona Sdn. Bhd. dan Zaid Enterprise, dengan masing-masing RM50,000.

Tambah beliau, kehadiran dua pemain import iaitu Francis Forkey dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnietto (Brazil) juga diharap mampu memperkukuhkan jentera pasukan."Kedua-dua pemain ini gembira bermain dengan pasukan kita kerana corak permainan yang hampir sama dengan pasukan mereka sebelum ini."Justeru, saya harap mereka yang begitu mudah serasi bersama skuad negeri dapat membantu para pemain tempatan dalam meningkatkan mutu permainan," ujar beliau.

Selain mengekalkan kebanyakan pemain utama musim lalu, skuad Terengganu juga diperkuatkan dengan kehadiran beberapa tonggak baru termasuklah anggota skuad Harimau Muda iaitu Mohd. Muslim Ahmad, Mohd Faizal Mohamad dan Abdul Shukur Jusoh, Hariri Mohd. Safii (Sabah) dan Shamsul Kamal Mohamad (T-Team).

Import Terengganu Boleh Bermain



TERENGGANU menarik nafas lega apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import sehingga 9 Januari ini kepada pasukan itu bagi membolehkan finalis Piala Malaysia tahun lalu itu mendaftar empat awang import pilihannya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh, berkata surat pekeliling yang dikeluarkan FAM itu membolehkan skuad Penyu menggunakan tenaga import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 10 Januari ini dan Piala AFC yang bermula Mac.
Begitupun, pemain import yang didaftarkan sebelum ini - Tercio Nunes Machado - tidak layak beraksi selepas pendaftarannya ditarik balik kerana kelab terakhir yang disertai tidak memenuhi syarat.

“Pendaftaran ini khusus untuk Liga Malaysia dan pada saya tidak ada keraguan lagi selepas ini yang membolehkan kita mendaftar dua pemain import iaitu Francis Forkey dan Erison Da Silva Santos Carnietto, masing-masing berasal dari Liberia dan Brazil.

“Setakat ini Terengganu mempunyai dua pemain import dan sedang mencari dua lagi pemain bagi memantapkan pasukan dan sekiranya memuaskan, kita akan gunakan khidmat mereka untuk Piala AFC juga,” katanya pada majlis menandatangani kontrak pemain dan penaja Liga Super 2012 Terengganu dan T-Team di Hotel Primula, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Che Mat berkata, dalam saingan Piala AFC yang membabitkan kelab dari Singapura, Vietnam dan Hong Kong, tiga pemain import dibenarkan beraksi dan sasaran skuad kendalian Mat Zan Mat Aris adalah melepasi pusingan pertama.

Dalam pada itu, walaupun masalah lampu limpah yang tidak mencapai tahap piawaian saingan Piala AFC masih belum selesai, Terengganu tetap bermain di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) pada waktu siang.


“Kita tidak bercadang mengadakan perlawanan Piala AFC di luar negeri ini kerana peminat mahu menyaksikan perlawanan peringkat antarabangsa itu,” katanya.

Boleh Main Malam


TIGA pasukan Liga Super, Terengganu, T-Team serta Sabah boleh menarik nafas lega apabila venue stadium mereka melepasi tahap pencahayaan lampu limpah seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sehubungan itu tiga pasukan tersebut akan beraksi pada sebelah malam di gelanggang sendiri.


“FAM sudah membuat pemeriksaan di Stadium Likas, Sabah pada 29 Disember lalu dan dua hari kemudian di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

“Kedua-dua venue itu kini melepasi syarat lampu limpah minimum 800 lux yang ditetapkan,” katanya.


Terengganu dan T-Team berkongsi stadium yang sama namun bergilir-gilir beraksi di laman sendiri.


Bagaimanapun, satu venue Liga Super akan bermain di sebelah petang iaitu di Stadium Hang Jebat, Melaka yang mana pasukan kelab, Felda United FC dan Kuala Lumpur akan menjadikan stadium itu sebagai venue perlawanan berikutan Stadium Cheras masih dalam pembaikan padang.

Wednesday, January 4, 2012