Friday, January 6, 2012

FAM Salah?


KONTROVERSI baharu menyelubungi kem pasukan Terengganu.

Semuanya gara-gara kekeliruan yang timbul ekoran surat pekeliling yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertarikh 23 Disember lalu.

Menurut surat tersebut yang ditandatangani Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad itu, FAM telah menyatakan syarat-syarat pemain asing dari pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga Malaysia (Liga M) 2012.

Antara lain isi kandungan surat itu secara jelas menyatakan ‘Senarai pemain-pemain asing untuk didaftarkan dalam Liga M 2012 hendaklah dikemukakan kepada FAM sebelum atau pada pukul 12 tengah hari Jumaat 6 Januari 2012 bagi pasukan Kelantan dan bagi pasukan Terengganu ialah sebelum atau pada pukul 12 tengah hari Isnin, 9 Januari 2012.

Percaya dengan isi kandungan surat berkenaan, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kemudian telah mendapatkan dua khidmat pemain import baharu iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnietto dari Brazil.

Namun, kekeliruan mula timbul apabila Azzuddin mengesahkan yang dua pemain asing itu sebenarnya tidak layak untuk beraksi dalam Liga M sebaliknya hanya boleh diturunkan dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Andai kenyataan Azzuddin itu benar, maka Terengganu yang juga juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia musim lalu bakal beraksi dalam kempen Liga M musim ini tanpa seorang pun pemain import.

Situasi itu sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati kelab-kelab penyokong bola sepak Terengganu yang menganggap FAM sebagai tidak profesional dalam melaksanakan dasarnya.

No comments:

Post a Comment