BERANG dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan Terengganu mendaftarkan dua tonggak importnya beraksi, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengancam untuk menarik penyertaan Terengganu dan T-Team dari Liga M.Beliau berkata, penarikan diri itu adalah pilihan terakhir andai FAM masih berkeras dengan keputusan tidak membenarkan Terengganu menurunkan kedua-dua pemain berkenaan.
“Kami ada tiga pilihan untuk FAM iaitu membenarkan dua pemain import bermain atau kedua, kerajaan negeri akan ambil tindakan undang-undang terhadap FAM berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan dan ketiga, bayar ganti rugi sebab kami sudah keluar belanja untuk kontrak dua pemain itu.“Senario lebih buruk lagi kemungkinan besar kami akan tarik semua pasukan daripada Liga M
“Kalau (FAM) hendak gantung, gantunglah kerana mereka tidak profesional, sebab kami main bola sepak untuk orang suka-suka, kenapa hendak susahkan orang. Ini tidak betul.
“Saya sudah bincang dengan beberapa peguam dan jika ini pegangan FAM, saya rasa mereka tak profesional,” katanya yang berasa bertanggungjawab untuk menegur FAM kerana kerajaan negeri membiayai sebahagian besar kos Terengganu dan T-Team bertanding dalam Liga M.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Penyampaian Insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan Sea dan Para Asean 2011 untuk atlet Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.
Ahmad mengulas tindakan FAM yang tidak membenarkan dua pemain import Terengganu diturunkan atas alasan pendaftaran dibuat lewat dari tarikh ditetapkan pada 8 Disember tahun lalu sedangkan pekeliling dikeluarkan FAM menyatakan Terengganu boleh mendaftar pemain import mereka selewat-lewatnya pada 9 Januari lalu.
Dua pemain import terbabit ialah Francis Doe Forkey dari Liberia yang beraksi sebagai penyerang dan pemain tengah, Erison Da Silva Santos Carnietto dari Brazil.
Akibat tindakan FAM itu, Terengganu tidak dapat menurunkan pemain import hingga pintu pendaftaran dibuka semula pada April ini dan kini skuad Penyu bergantung sepenuhnya kepada khidmat pemain tempatan untuk membawa cabaran dalam Liga Super yang turut menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Perak dalam perlawanan di Ipoh, kelmarin. Ahmad berkata, FAM tidak rugi jika tidak membenarkan kedua-dua pemain itu beraksi, sebaliknya kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu yang rugi kerana sudah mengeluarkan bayaran untuk mereka.
“Sebab itu bola sepak Malaysia tidak berkembang kerana ada pegawai yang berperangai macam tu, bermain politik dan sebagainya.“Cuba tengok bola sepak luar negara yang lebih bersifat terbuka. FAM mendakwa bersikap profesional tapi sebenarnya, tidak.
“Apa hendak dibimbangkan jika dua pemain import bermain dalam Liga M sebab bukannya ambil Thierry Henry atau Lionel Messi hingga menyebabkan pasukan negeri lain merungut kerana takut.“Kami akan minta pasukan Terengganu dan T-Team tarik diri kecuali mereka mempunyai duit sendiri untuk meneruskan permainan serta tidak perlu bantuan kerajaan negeri.“Jika tarik diri, kita boleh bermain di mana-mana pun, di daerah-daerah untuk pertunjukan, sebab gaji pemain sudah dibayar,” katanya.
No comments:
Post a Comment