Sunday, January 8, 2012

Perlu Diselesai Secara Profesional



PERASAAN malu yang menyelubungi kem pasukan Terengganu gara-gara kontroversi surat pekeliling bertarikh 23 Disember lalu belum berakhir.




Semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh sekali lagi tampil menjelaskan pendiriannya bagi membersihkan maruah persatuan negeri itu.


Kata Che Mat, sekalipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat permohonan maaf menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad, namun ia masih belum cukup memulihkan penderitaan PBSNT.


“Kami (PBSNT) bukan mahu berkelahi tetapi kami hanya mahu mencari penyelesaian yang baik antara induk dan badan gabungan.


“PBSNT dilemparkan pelbagai tohmahan dan dikatakan tidak tahu membaca surat pekeliling itu. Walhal, ia bukanlah kesilapan kami kerana kami berpandukan kepada surat pekeliling itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.


Justeru, Che Mat mahu Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sendiri membuat permohonan maaf kepada PBSNT di atas kekeliruan yang timbul daripada surat pekeliling itu.


“Janganlah kata yang kami tidak tahu membaca surat pekeliling itu kerana ia satu tamparan buat kami.“Jadi, saya mahu dia memohon maaf secara terbuka kepada kami... bukan kepada saya tetapi kepada PBSNT,” jelasnya.


Semalam, Kosmo! melaporkan permohonan maaf daripada FAM menerusi Azzuddin ekoran kesilapan yang berlaku ke atas surat bertarikh pada 23 Disember.


Dalam surat berkenaan, FAM secara jelas menyatakan syarat-syarat pemain asing untuk pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2012 dengan skuad Penyu diberi tempoh pendaftaran sehingga 9 Januari ini.


PBSNT kemudian telah menandatangani kontrak dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil.


Bagaimanapun, FAM kemudian menjelaskan, surat berkenaan berkenaan merujuk pendaftaran pemain import untuk kempen Piala AFC dan bukannya Liga- M.


“PBSNT telah banyak melabur untuk mendapatkan dua pemain import ini tetapi malangnya, mereka tidak dapat bermain.


“Kalau diikutkan, dua pemain import itu tidak dapat bermain dalam 10 perlawanan Liga Super dan mungkin juga tidak berpeluang bermain dalam Piala FA sehingga separuh akhir,” jelasnya.
Namun Che Mat menjelaskan, PBSNT akan tetap mengekalkan Doe dan Carnieto sehingga pintu pembe- lian pemain import dibuka pada April depan.

No comments:

Post a Comment