Monday, January 23, 2012

Adik Kalah Dengan Abang

KEKEBALAN T-Team yang turun dengan reputasi rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan Liga Super akhirnya lebur di tangan skuad abangnya sendiri, Terengganu, 1-2 malam kelmarin.

Lebih mengecewakan, skuad kendalian Yunus Alif yang beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan, Shahril Faizal dibuang padang pada minit ke-20.


“Pasukan bermain baik dengan melakukan asakan awal sehingga mendahului perlawanan m-12 melalui Zairo Anuar Zailani menerusi sepakan penalti, namun ketiadaan Shahril jelas menampakkan kepincangan pasukan.

“Walau bagaimanapun, saya bangga dengan komitmen pemain kerana masih mampu mengekang asakan lawan sebelum pemain import Terengganu, Francis Forkey Doe, menghasilkan gol kemenangan skuadnya,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Selangor , Sabtu depan di laman sendiri, Yunus mengharapkan pemainnya kembali bangkit untuk mencatat kemenangan dan merampas kembali takhta pendahulu liga.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris, memuji persembahan anak buahnya yang menunjukkan disiplin tinggi sepanjang perlawanan biarpun ketinggalan pada awal babak pertama.

“Kesungguhan pemain untuk menang amat tinggi, walaupun dikejutkan jaringan awal lawan, namun rentak pemain tidak terjejas, sebaliknya terus melakukan asakan sebelum Doe menyamakan kedudukan dan seterusnya menghasilkan gol kemenangan.


“Saya bangga dengan semangat melawan pemain terutama Doe, yang menghasilkan dua gol biarpun pemain Liberia itu tidak begitu cergas kerana mengalami kecederaan sebelum perlawanan,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan skuad Lions XII , beliau yakin pemainnya mampu mengekalkan rentak permainan konsisten sebagaimana yang dipamerkan dalam perlawanan malam kelmarin.

“Saya optimis pemain mampu memperagakan aksi terbaik untuk mengutip tiga mata dan seterusnya mengintai takhta teratas liga,” katanya.

No comments:

Post a Comment