Wednesday, November 9, 2011

Ada Agenda Politik



Ada agenda politik. Demikian pendeda­han­ Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berhubung usaha menjatuhkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh.


Ahmad bagaimanapun bertegas bahawa beliau tidak boleh campur tangan dalam kemelut yang berlaku dalam PBSNT itu kerana telah ada jawatankuasa pemilihan yang terlibat. “Ada orang nak main politik dan calarkan imej Datuk Che Mat Jusoh (Presiden PBSNT). Terengganu telah menjadi juara Piala FA, Naib Juara Liga Super dan Naib Juara Piala Malaysia, tiga kejayaan dalam masa setahun.


“Ini merupakan pencapaian yang bagus daripada pasukan dan juga pengurusan. Kekalahan dan penghijrahan jurulatih pasukan tidak boleh disalahkan kepada pengu­rusan,” katanya.Beliau berkata demikian sebagai mengulas demonstrasi dilakukan sebahagian penyokong bola sepak negeri ini di luar pekarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Jumaat lalu, yang mendesak supaya Presiden PBSNT itu undur diri demi kemajuan sukan bola sepak negeri ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, sudah menjadi adat kepada jurulatih dan pemain yang silih berganti dalam pasukan bola sepak negeri itu kerana ada dalam kalangan mereka mungkin mendapat tawaran yang lebih baik dan ia bukanlah disebabkan masalah dalam pengurusan.


Ahmad dalam masa sama juga melahirkan rasa terkilan kerana ada pihak cuba mempolitikkan sukan bola sepak negeri itu termasuk membawa bendera pembangkang ke stadium di mana berlangsungnya perlawanan Piala Malaysia, sedangkan hal seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Katanya, jika langkah sama dilakukan Barisan Nasional (BN), pasti lebih banyak bendera BN akan berkibar namun tiada tindakan sedemikian dilakukan kerana tiada agenda politik dalam bola sepak, selain ingin melihat perkembangan sukan itu maju di negeri ini.


Menurutnya, berbanding negeri lain, Terengganu lebih berjaya kerana dua pasukan layak bertanding dalam Piala Malaysia meskipun T-Team hanya layak ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada Negeri Sembilan dalam persaingan merebut laluan ke final.

1 comment:

  1. xdop kaitan lansum nge bendera pas nge kontroversi dlm pbst.... ade je ak tgk org bwk bndera umno..ade mu bunyi??

    ReplyDelete