Thursday, February 12, 2015

Kontrak Hassan Ditamatkan


Khidmat pemain import dari Lubnan, Hassan Moni Chito bersama pasukan Terengganu dalam saingan Liga Malaysia 2015 tidak berpanjangan apabila kontraknya ditamatkan, dua hari lalu.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Arpin Draman berkata kontrak Hassan Moni ditamatkan berikutan pemain berusia 26 tahun itu mengalami masalah kecederaan.

"Penamatan kontrak ini dibuat atas persetujuan bersama kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arpin berkata PBSNT membayar tiga bulan gaji kepada pemain berkenaan yang bersama Terengganu selama dua bulan, bermula Disember tahun lalu.

Beliau berkata kecederaan bahagian paha Hassan Moni semasa latihan menyebabkan penyerang itu terpaksa diketepikan ketika Terengganu berdepan Selangor pada perlawanan pembuka tirai Liga Super, Jumaat lalu.

Berikutan itu, Arpin berkata Terengganu terpaksa mencari pemain import baharu bagi menggantikan Hassan Moni dalam tempoh terdekat.

"Kita sekarang sedang berunding dengan ejen untuk mendapatkan pemain import lain bagi menggantikan Hassan," katanya.

Beliau berkata pemain import baharu itu akan didaftarkan apabila jendela pendaftaran pemain dibuka oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), April ini.

Selain Hassan Moni, Terengganu ada tiga lagi pemain import iaitu Paulo Rangel, Vincent Bikana dan Gustavo Lopez bagi mengharungi saingan Liga-M musim ini.

No comments:

Post a Comment