Tuesday, March 30, 2010

Kedah Bimbang Pemain Gugup


Jangan gugup sehingga hilang fokus meskipun beraksi di hadapan penyokong lawan. Itu nasihat pemain paling berpengalaman Kedah, Victor Andrag terhadap rakan sepasukan menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Victor yang pernah beraksi sebanyak lima kali di pentas akhir bersama pasukan Kedah sejak 2004 berkata, kesebelasan Sang Kenari mesti yakin kepada keupayaan diri sendiri dengan memperagakan persembahan terbaik di gelanggang lawan.

Katanya, dalam suasana peringkat seperti itu, antara faktor yang paling penting ialah menyerap tekanan dan kemudian meningkatkan semangat serta komitmen di atas padang.

Dia yang terkilan kerana tidak dapat beraksi bersama Sang Kenari akibat kecederaan turut berharap rakan-rakan akan berjuang habis-habisan menentang skuad Sang Penyu bagi mencari bekalan menjelang perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

"Walaupun ada beberapa pemain utama dan senior Kedah tidak dapat diturunkan akibat kecederaan serta digantung perlawanan, namun ia bukan alasan untuk lemah semangat.

"Mereka mesti yakin boleh melakukan yang terbaik tanpa pemain-pemain berkenaan. Kalau tidak boleh buat, mereka tidak akan sampai ke peringkat ini," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Victor mewakili Kedah sejak 10 musim lalu dan merupakan antara watak penting dalam membantu Hijau Kuning meraih gelaran treble berganda Liga Malaysia iaitu pada musim 2007 dan 2008.

Ketua pasukan Sang Kenari itu bagaimanapun terpaksa berehat sejak tiga bulan lalu akibat kecederaan dan dijangka hanya dapat beraksi semula pada bulan depan.

Menurut Victor, gandingan pemain senior dan baru di dalam skuad Hijau Kuning perlu saling bekerjasama dan bergerak dalam satu pasukan dengan mematuhi strategi yang dirangka oleh barisan kejurulatihan diketuai oleh Ahmad Yusoff.

No comments:

Post a Comment