Wednesday, March 31, 2010

Angkara Tiada Marzuki

Di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Kedah memperoleh kelebihan apabila aksi bertenaga mereka berjaya membenam Terengganu 2-0.

Gol pembukaan skuad Kenari disempurnakan oleh Mohd. Faizal Abu Bakar pada minit ke-28.

Mohd. Fiazal bijak mengambil peluang akibat kesilapan pemain tengah Terengganu, Hariri Md. Safii, yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti.

Azlan Ismail memastikan Kedah mendapat bekalan selesa menjelang pertembungan separuh akhir kedua di tempat sendiri, apabila menyumbat gol kedua Kedah pada minit ke-57.

Segala-galanya bermula apabila Azlan berjaya menyambar bola sepakan bebas Badrol Bakhtiar di dalam petak penalti, sebelum percubaannya tepat ke gawang.

Menyedari ketinggalan, Terengganu melakukan serangan balas menerusi percubaan Mohd. Ashaari Shamsuddin pada minit ke-63.

Pemain itu menerima bola hasil sepakan bebas Zairo Anar Zalani, namun tandukannya terkena tiang gol.

Dua minit kemudian, skuad Penyu sekali lagi gagal menyempurnakan serangan menerusi Mohd. Firdaus Fauzi.

Gerakan pemain itu lebih awal dihalang oleh pertahanan Kedah, yang membolehkan penjaga gol, Mohd. Helmi Eliza Elias mudah menampan bola.

Kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan seimbang, apabila masing-masing membuat serangan bertubi-tubi pada perlawanan di atas padang licin, ekoran hujan lebat pada awal perlawanan.

Separuh masa pertama menyaksikan Kedah memulakan asakan, sehingga mendapat empat sepakan bebas, namun semua percubaan mereka gagal menembusi gawang.

Badrol Bakhtiar turut gagal menyempurnakan peluang hasil sepakan sudut pada minit ke-14, apabila percubaannya diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee.

Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung Sabtu ini

No comments:

Post a Comment