Tuesday, March 30, 2010

Serangan Bertubi-tubi Dari Terengganu


Skuad Penyu berhasrat memburu gol sebanyak mungkin di gelanggang sendiri menentang Kedah dalam pertemuan separuh akhir pertama Piala FA, malam ini. Justeru, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti mahu anak buahnya melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu lawan bagi mencapai hasrat itu.

Kata Irfan, beliau menjangka Kedah akan menggunakan taktik bertahan dalam pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

''Jadi saya mahu barisan pemain menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk memburu sebanyak mungkin sebelum ke Alor Setar untuk aksi kedua Sabtu ini.

"Kedah mungkin lawan yang sukar, tetapi harus diingat bahawa kami pernah membelasah pasukan hebat seperti Selangor musim ini," katanya.

Irfan berkata, anak buahnya kini bersiap sedia untuk mengharungi dua aksi penting di peringkat separuh akhir.

''Empat pemain utama Terengganu yang sebelum ini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sejak minggu lalu, akan bersama turun bermain turut memberi semangat tambahan kepada pemain lain.

Beliau memberitahu, tugas kapten pasukan dalam perlawanan separuh pertama itu akan diserahkan kepada pemain tengah, Zairo Anuar Zalani ekoran ketiadaan Marzuki Yusof.

''Tugas di posisi serangan pula, diletakkan di bahu Abdul Manaf Mamat dan pemain kebangsaan, Mohd. Ashaari Shamsuddin.

"Semua pemain yang berada dalam skuad ini adalah yang terbaik dan siapa sahaja yang disenaraikan pada perlawanan esok (malam ini) mampu menjalankan tugasan mereka dengan baik.

No comments:

Post a Comment