Sunday, April 11, 2010

Akan Di pecat Jika DiDapati Bersalah


Seorang pemain bola sepak negeri Terengganu yang ditahan minggu lepas kerana disyaki mengambil dadah, berhadapan dengan kemungkinan akan ditamatkan kontrak perkhidmatannya dengan pasukan bola sepak negeri jika beliau terbukti bersalah.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata buat masa kini PBSNT sudah menggantung sementara khidmat pemain itu.

Beliau berkata PBSNT merasa sungguh dukacita apabila seorang pemain negeri yang mempunyai serba kemudahan dan elaun, dikaitkan dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

"Walaupun sukar mencari pemain ganti, PBSNT akan tetap mengambil tindakan tegas kerana ini melibatkan maruah pasukan," katanya semalam.
Sebuah akhbar pada Sabtu melaporkan seorang pemain bola sepak Terengganu diberkas kerana disyaki mengambil dadah bersama seorang anggota polis, dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Tok Lam, di Kuala Terengganu, minggu lepas.

Che Mat Jusoh berkata kes pemain itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat exco PBSNT yang akan diadakan dalam masa terdekat, dan menurutnya perkara itu perlu dibincangkan segera kerana ia membabitkan undang-undang negara dan maruah PBSNT.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata kes pemain Terengganu ini boleh dijadikan pengajaran dan tauladan kepada pemain-pemain yang lain.

No comments:

Post a Comment