Thursday, April 1, 2010

Terengganu Mampu Menang Melalui Penalti


KEDAH tidak mahu mendabik dada biarpun mempunyai kelebihan dua gol setelah mengatasi Terengganu 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Atas kertas, Kedah berada sebelah kaki ke pentas final Piala FA tetapi skuad Kenari itu tidak mahu memandang mudah pertemuan kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar Sabtu ini.

Ketua jurulatih Kedah, Ahmad Yusof memberitahu, beliau tidak mahu anak-anak buahnya berada dalam zon selesa dan terus dibuai dengan kemenangan tersebut.

Sebaliknya, Ahmad berkata, aksi separuh akhir kedua itu nanti lebih mencabar lebih-lebih lagi beraksi depan penyokong sendiri.

"Saya dan seluruh pasukan bersyukur dengan kemenangan itu tetapi kami tidak mahu berasa selesa. Kami tidak mahu cepat berpuas hati.

"Perjuangan kami belum tamat, pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika pemain leka pada aksi separuh akhir kedua nanti," kata Ahmad di Alor Setar semalam.

Ahmad menambah, anak-anak buahnya perlu lebih berhati-hati pada pertemuan kedua memandangkan Terengganu mempunyai rekod yang baik pada saingan suku akhir lalu.

Katanya, skuad kendalian Irfan Bakti itu menampilkan kebangkitan yang hebat ketika menentang T-Team pada aksi suku akhir sebelum berjaya menempah tiket ke separuh akhir.

"Situasi itu sedikit memberi kesan kepada pasukan, namun Kedah perlu mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri dengan meraih kemenangan," katanya.

Pada aksi kelmarin, Kedah membawa bekalan dua gol ke Alor Setar selepas Faizal Abu Bakar meledak gol pembukaan pada minit ke-28.

Bekas penyerang Terengganu, Azlan Ismail mengesahkan kemenangan bergaya Kedah apabila menjaringkan gol kedua skuad Kenari pada minit ke-57.

Menurut Ahmad, kejayaan itu diraih menerusi kesungguhan yang ditunjukkan pemain-pemainnya yang begitu bersemangat untuk meraih kemenangan di gelanggang lawan.

Katanya, mereka begitu komited dalam permainan dan memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.

"Pujian seharusnya diberikan kepada pemain. Mereka beraksi dengan baik," katanya.

No comments:

Post a Comment