Monday, September 12, 2011

Terus Melangkah Ke Suku Akhir



PEMAIN Terengganu, Ismail Faruqi Asha'ari (tengah) melepasi asakan pemain PKNS pada saingan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.


DUA kemenangan berturut-turut memberi kelebihan kepada Terengganu untuk mengintai peluang lebih awal melangkah ke pusingan suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

Kelmarin, skuad kendalian Irfan Bakti itu mengutip tiga lagi mata berharga untuk kekal sebagai pendahulu Kumpulan B selepas menewaskan pasukan kelab, Selangor PKNS 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, Irfan sekali lagi menegur barisan pertahanan pasukannya yang dianggap sedikit longgar sehingga memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.

Abdul Manaf Mamat muncul wira skuad Penyu apabila bijak menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81.

Sebelum itu, Terengganu memperoleh gol menerusi Ashaari Shamsudin dan Reshafiq Alwi.

Dua gol PKNS pula dijaringkan oleh Mohd. Fauzan Dzulkifli dan Mohd. Zamri Hassan.

"Ini adalah kemenangan kedua kami dan sudah pasti kami perlu kekalkan rentak ini untuk mencari tempat lebih awal ke pusingan kalah mati.

"Kami perlu menang perlawanan seterusnya kerana dengan cara itu kami dapat mengurangkan tekanan selaku pasukan pilihan dalam kumpulan ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Irfan berkata, perubahan taktik yang dilakukan khususnya pada babak kedua jelas telah mengubah rentak perlawanan.

Bagaimanapun, katanya, tuah sedikit memihak kepada anak-anak buahnya apabila memperoleh sepakan penalti pada lewat permainan sebelum disempurnakan oleh Abdul Manaf.

Jelas Irfan, prestasi barisan serangan pasukannya wajar diberi pujian apabila berjaya meledak enam gol setakat ini.

Namun katanya, masih banyak yang perlu diperbaiki di bahagian pertahanan terutamanya apabila berdepan finalis musim lalu, Negeri Sembilan selepas ini.

"Kami tidak boleh pandang ke belakang lagi kerana kami kini berada pada laluan terbaik untuk menguasai saingan kumpulan.

"Saya harap pemain dapat mengekalkan fokus masing-masing dan memberikan aksi 100 peratus kepada perlawanan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment