Friday, September 30, 2011

Presatasi Kelate Merundum Dalam Siri Piala Malaysia


Keputusan seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin tidak merencatkan semangat juang skuad Penyu untuk mara lebih jauh pada kempen kali ini.

Malah jurulatih Terengganu, Irfan Bakti berpuas hati apabila pasukan bimbingannya layak ke suku akhir Piala Malaysia walaupun dengan status naib juara kumpulan di belakang Negeri Sembilan.

Beliau yakin Terengganu akan beraksi lebih baik apabila bertemu Kelantan pada suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah 10 Oktober ini.

Irfan menjelaskan, pemain Terengganu tidak dapat menunjukkan prestasi sebenar ketika menentang Negeri Sembilan kelmarin, kerana beraksi di padang becak akibat hujan lebat dan ribut.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian Terengganu yang layak ke suku akhir walaupun seri dengan Negeri Sembilan.

"Tumpuan sekarang ialah untuk layak ke separuh akhir," katanya di sini semalam.

Mengenai aksi menentang Kelantan nanti, Irfan berkata, walaupun berjaya menewaskan pasukan jiran itu pada final Piala FA lalu, ia tidak menyebabkan Penyu mendabik dada.

"Kita akan beraksi seperti biasa pada perlawanan dengan Kelantan di sini (Kuala Terengganu) pada 10 Oktober ini," ujarnya.

Wednesday, September 28, 2011

Jadual Piala Malaysia

SUKU AKHIR PIALA MALAYSIA (10 OKTOBER 2011 & 14 OKTOBER 2011)
49+53 - D2-selangor vs A1-perak, A1-perak vs D2-selangor
50+54 - C2-felda vs B1-ns, B1-ns vs C2-felda
51+55 - B2-tganu vs C1-ktan, C1-ktan vs B2-tganu
52+56 - A2-sabah vs D1-tteam, D1-tteam vs A2-sabah


SEPARUH AKHIR PM 2011 (18/10 2011 + 22/10/2011)
49+53 [pemenang selangor/perak] vs 51+55 [pemenang tganu/ktan]
50+54 [pemenang felda/ns] vs 52+56 pemenang sabah/tteam]


FINAL PM 2011 (29/10/2011)(Home team Dihadapan)sekian Harap maklum

Sunday, September 25, 2011

T Team 1-1 Kuala Lumpur | Piala Malaysia 2011

PKNS 0-1 Terengganu | Piala Malaysia 2011

TTeam Terus Mara

T-Team yang beraksi dalam kumpulan D mendapat bekalan selesa ke perlawanan suku akhir walaupun hanya mencatat keputusan seri 1-1 kepada Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

T-Team yang memulakan rentak perlawanan dengan kemas berjaya membolosi gol KL melalui tendangan meleret Indra Putra di luar kotak penalti pada minit ke-27.

Bagaimanapun kegembiraan pasukan T-Team tidak kekal lama apabila pasukan KL kembali bangkit sejurus babak separuh masa kedua bermula hasil tendangan pemain gantian Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke 46 setelah berlaku kekeliruan dalam kalangan pemain T-Team di depan gol
.

Monday, September 19, 2011

Selangor kalah lagi Dengan TTeam

LANGKAH garang Gergasi Merah, Selangor nampak gayanya semakin sumbang.

Tewas 1-2 di tangan pasukan berstatus kelab, T-Team di laman sendiri di Stadium Shah Alam malam kelmarin menjadi petanda yang cukup buruk untuk skuad kendalian K. Devan dalam usaha melangkah lebih jauh dalam aksi saingan Piala Malaysia kali ini.

Hanya keajaiban sahaja dilihat mampu menidakkan Gergasi Merah daripada ditunjukkan jalan keluar lebih awal dalam saingan Kumpulan D.

Apa tidaknya, mereka hanya mampu mengumpul empat mata apabila sekadar mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan dalam empat perlawanan yang telah diharungi.

"Siapa yang tidak kecewa apabila tetap tewas meskipun menguasai sejak awal permainan.

"Namun ia bukan bermakna kami telah tersingkir, peluang kami masih ada dengan syarat kami harus menang baki dua perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kuala Lumpur selepas ini," kata kapten Selangor, Safiq Rahim kepada Kosmo! semalam.

Nasib jelas tidak menyebelahi Selangor dalam aksi malam kelmarin apabila tewas menerusi dua gol lewat pasukan pelawat hasil jaringan Mohd. Nor Farhan Muhammad dan Zairo Anuar Zailani.

Meskipun mendahului seawal minit ke-14 menerusi jaringan Amri Yahyah, Selangor dilihat semakin tenggelam punca apabila T-Team kembali menggandakan asakan pada penghujung babak kedua, sekali gus membawa pulang tiga mata berharga ke Kuala Terengganu.

Bagi Selangor, kekalahan itu menjanjikan laluan ranjau yang penuh berliku buat mereka bagi memastikan misi memburu Piala Malaysia buat kali ke-33 kembali membara.

Selain wajib menang ke atas PDRM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Sabtu ini, Selangor juga masih lagi bernyawa seandainya keputusan seri dicatatkan T-Team dan Kuala Lumpur dalam satu lagi pertemuan Kumpulan D, apabila masing-masing begitu selesa menerajui peringkat kumpulan.

Menurut Safiq, semangat Selangor masih belum luntur meskipun menyedari laluan yang cukup perit bagi meneruskan kemaraan dalam saingan musim ini.

Menang tipis


TIGA mata yang diraih di gelanggang sendiri malam kelmarin masih belum mampu mengubat kekecewaan Irfan Bakti yang sedikit berang dengan sikap mementingkan diri sendiri beberapa pemainnya.

Menurut jurulatih Terengganu itu, sikap seperti itu hampir memakan diri apabila anak-anak buahnya sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan kerdil, KL Sime Darby pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia.

Mujur aksi lincah pemain kebangsaan, Ashaari Shamsudin berjaya menghadirkan jaringan tunggal pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu.

"Kami menang perlawanan ini dan berjaya mendapat tiga mata, namun saya boleh kata ini adalah permainan terburuk kami.

"Ada beberapa pemain yang saya lihat hanya pentingkan diri sendiri sehingga merosakkan sedikit permainan kami," kata Irfan semalam.

Bagaimanapun, tiga mata yang diraih juara Piala FA itu kelmarin masih gagal membantu mereka menguasai kedudukan kumpulan apabila sekadar berkongsi sembilan mata dengan pendahulu, Negeri Sembilan.

Selangor PKNS pula terus menghidupkan peluang apabila mengekori di tempat ketiga dengan enam mata, sementara Sime Darby masih gagal mengutip sebarang mata.

"Pasukan lawan tahu yang mereka mungkin sudah tidak mempunyai peluang dalam saingan ini, jadi pemain mereka bermain dalam keadaan tenang tanpa tertekan.

"Harus juga diingat, hampir enam pemain utama Sime Darby tidak beraksi pada perlawanan ini (kelmarin) dan mereka hanya menurunkan barisan simpanan.

"Namun, kami masih gagal beraksi dengan baik," jelasnya.

Mengenai strategi menurunkan penyerang muda, Ailim Fahmi Kamaruddin untuk bergandingan dengan Abdul Manaf Mamat, Irfan menjelaskan keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan tahap kesihatan Abdul Hadi Yahya masih belum baik.

"Saya tidak ada pilihan, tetapi selepas melihat persembahan Ailim pada awal babak pertama, saya terpaksa juga menurunkan Hadi.

"Inilah risiko yang perlu saya hadapi apabila beberapa pemain utama saya termasuk Joseph Kalang dan Helmi Rameli masih belum cergas," ujarnya.

Wednesday, September 14, 2011

Tipis


NEGERI Sembilan sudah mula memberi isyarat betapa mereka kini muncul selaku ancaman terbaru memburu mahkota kejuaraan Piala Malaysia, musim ini.
Malam tadi, anak didik Azraai Khor Abdullah merakamkan kemenangan penting menewaskan juara baru Piala FA, Terengganu 1-0 dalam saingan Kumpulan C di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi hasil jaringan tunggal Shahurain Abu Samah yang menolak masuk pada minit ke 64.
Pada awal minit perlawanan, Negeri Sembilan lebih me­­nguasai perlawanan apabila hampir mendahului seawal minit ke-11, namun tendangan Hairuddin Omar tepat ke dakapan, Mohd Sharbinee Allawe. Pada minit ke 28, penyerang berpengalaman itu sekali lagi terlepas peluang menjaringkan gol apabila gagal menolak masuk bola ke gawang selepas cemerlang memperdayakan pertahanan Terengganu diketuai Marzuki Yusoff.

Langkah jurulatih, Azraai Khor menggandingkan Hairuddin, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Firdaus Azizul di barisan depan tampak berkesan apabila berjaya menembusi gawang Terengganu menerusi Shahurain yang menolak masuk pada minit ke 64.

Tuesday, September 13, 2011

Terengganu Mencari mangsa Baru


TERENGGANU tetap memburu tiga mata penuh meskipun sedar dengan apa yang bakal dihadapi pada aksi di gelanggang lawan malam ini, lapor AHMAD FAZLI MOHD. YADI.

Mereka bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk menghadapi Negeri Sembilan yang dilihat semakin garang dalam dua perla- wanan awal sebelum ini.

Apa pun situasi yang berlaku, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti tetap mahukan tiga mata.

'Kami mahu memang dan mengutip tiga mata penuh," katanya.

Sebelum ini, juara Piala FA 2011 itu menundukkan PKNS Selangor 3-2 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Mereka mahu meneruskan momentum kemenangan itu dalam misi merealisasikan hasrat mengungguli kedudukan Kumpulan B.

Justeru, bekas pengendali kelab Persipura itu yakin anak- anak buahnya mampu melaksanakan impian mereka untuk meraih kemenangan mutlak di Paroi.

"Pada malam esok (hari ini), kami tahu misi kami sukar untuk menewaskan Negeri Sembilan di Stadium Paroi, namun ia tidak mustahil sekiranya pemain terus mempamerkan konsistensi.

"Bukan mahu mendabik dada tetapi kemenangan yang diraih sebelum ini telah menjadi satu suntikan semangat buat semua pemain untuk terus mempamerkan rentak cemerlang.

"Saya percaya dan yakin dengan kemampuan barisan pemain saya untuk merealisasikan hasrat membawa pulang tiga mata penuh (dari Stadium Paroi).

"Kami harus bekerja dengan lebih keras lagi memandangkan dua pasukan ini dianggap sebagai pilihan untuk muncul juara kumpulan.

"Jadi, saya berharap pemain dapat memberikan sepenuh perhatian dan menggunakan peluang yang dicipta sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelas jurulatih kelahiran Kelantan itu, rentak kemenangan ini haruslah diteruskan dan barisan pemainnya dituntut untuk mempamerkan aksi seperti ketika menentang Sime Darby dan PKNS baru-baru ini.

Seperti biasa, pemenang anugerah Kasut Emas Liga Super 2011, Abdul Hadi Yahya, Abdul Manaf Mamat dan Mohd. Ashaari Shamsuddin bakal menjadi taruhan Irfan untuk merobek gawang Negeri Sembilan pada malam ini.

Sumbat Gol Banyak-banyak


PASUKAN berstatus kelab, T-Team menjanjikan permainan agresif apabila mereka melayan kunjungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia malam ini.

Keyakinan itu disuarakan pengendalinya, Yunus Alif selepas anak-anak buahnya dimalukan Kuala Lumpur apabila tewas 1-2 pada aksi di Stadium Selayang, Sabtu lalu.

Menurut Yunus, skuad kendaliannya bersedia menampilkan corak permainan menyerang apabila menentang PDRM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini dalam misi memburu jaringan besar.

"Saingan dalam Kumpulan D masih terbuka kepada semua pasukan dan mungkin jumlah jaringan akan menjadi penentu kepada pasukan yang akan layak ke suku akhir.

"Jadi, kami perlu memanfaatkan peluang menentang PDRM malam esok (malam ini) dengan cuba mendapatkan kemenangan menerusi jaringan besar," katanya kepada Kosmo! semalam.

Untuk rekod, T-Team yang membuat penampilan kedua dalam kempen Piala Malaysia musim ini kini menduduki tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata, mana- kala PDRM di tangga tercorot tanpa seba- rang mata.

Selangor pula yang tewas mengejut kepada T-Team pada aksi sulung minggu lalu berada di tangga kedua, juga dengan tiga mata, manakala Kuala Lumpur selesa mengungguli kedudukan teratas dengan enam mata.

Mengulas mengenai permainan malam ini, Yunus memberitahu, pasukannya bakal mendapatkan semula khidmat pemain tengah, Tengku Hasbullah Raja Hassan, sekali gus memberi kekuatan di bahagian se- rangan.

"Saya yakin kehadiran semula Tengku Hasbullah akan membuka lebih banyak ruang kepada kami untuk menyerang dan mendapatkan gol.

"Apa yang penting, pemain tidak hilang fokus dan menggunakan segala peluang beraksi di gelanggang sendiri selain mendapat sokongan moral penyokong," tegasnya."

Monday, September 12, 2011

Terus Melangkah Ke Suku Akhir



PEMAIN Terengganu, Ismail Faruqi Asha'ari (tengah) melepasi asakan pemain PKNS pada saingan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.


DUA kemenangan berturut-turut memberi kelebihan kepada Terengganu untuk mengintai peluang lebih awal melangkah ke pusingan suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

Kelmarin, skuad kendalian Irfan Bakti itu mengutip tiga lagi mata berharga untuk kekal sebagai pendahulu Kumpulan B selepas menewaskan pasukan kelab, Selangor PKNS 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, Irfan sekali lagi menegur barisan pertahanan pasukannya yang dianggap sedikit longgar sehingga memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.

Abdul Manaf Mamat muncul wira skuad Penyu apabila bijak menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81.

Sebelum itu, Terengganu memperoleh gol menerusi Ashaari Shamsudin dan Reshafiq Alwi.

Dua gol PKNS pula dijaringkan oleh Mohd. Fauzan Dzulkifli dan Mohd. Zamri Hassan.

"Ini adalah kemenangan kedua kami dan sudah pasti kami perlu kekalkan rentak ini untuk mencari tempat lebih awal ke pusingan kalah mati.

"Kami perlu menang perlawanan seterusnya kerana dengan cara itu kami dapat mengurangkan tekanan selaku pasukan pilihan dalam kumpulan ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Irfan berkata, perubahan taktik yang dilakukan khususnya pada babak kedua jelas telah mengubah rentak perlawanan.

Bagaimanapun, katanya, tuah sedikit memihak kepada anak-anak buahnya apabila memperoleh sepakan penalti pada lewat permainan sebelum disempurnakan oleh Abdul Manaf.

Jelas Irfan, prestasi barisan serangan pasukannya wajar diberi pujian apabila berjaya meledak enam gol setakat ini.

Namun katanya, masih banyak yang perlu diperbaiki di bahagian pertahanan terutamanya apabila berdepan finalis musim lalu, Negeri Sembilan selepas ini.

"Kami tidak boleh pandang ke belakang lagi kerana kami kini berada pada laluan terbaik untuk menguasai saingan kumpulan.

"Saya harap pemain dapat mengekalkan fokus masing-masing dan memberikan aksi 100 peratus kepada perlawanan," ujarnya.

Thursday, September 8, 2011

Selangor kalah lagi Dengan TTeam


T-Team sekali lagi mengekalkan rekod tanpa kalah menewaskan Red Giants 1-0 pada perlawanan Kumpulan D Piala Malaysia, kelmarin.

Biarpun hanya satu gol diperoleh hasil sumbangan pemain pertahanan, Nor Fadly Alias pada minit ke-73, namun ia sudah cukup memberi kepuasan kepada pengendali T-Team, Yunus Alif.

Jaringan itu bukan setakat memberi tiga mata penuh kepada T-Team, malah ia membuktikan kelab itu mampu memberi ancaman kepada pesaing lain.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang merupakan kubu kuat T-Team sukar dibolos tambahan pula diperkuatkan dengan penjaring terbanyak Liga Perdana 2011, Mohd. Fitri Omar.

"Bagaimanapun saya sedikit kecewa kerana pemain gagal menambah dua gol lagi pada aksi separuh masa kedua di mana lebih banyak peluang yang diperoleh," jelas Yunus.

Namun, Yunus akui, perlawanan babak pertama begitu sukar apabila pergerakan pemain-pemainnya terhad dengan penguasaan Selangor pada permulaan perlawanan.

"Saya juga ingin memberi kredit kepada barisan pertahanan yang berjaya mengekang asakan bertali arus daripada pemain Selangor," ujarnya.

Tambahnya, dia akan menyusun strategi lebih mantap dalam aksi menentang satu lagi pasukan gergasi, Kuala Lumpur di Selayang nanti.

Sementara itu, jurulatih Selangor, K. Devan mengakui pasukannya terlepas beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol sehingga menyebabkan mereka tewas pada perlawanan sulung Piala Malaysia semalam.

Wednesday, September 7, 2011

Piala Malaysia 2011 - T-Team lwn Selangor


WALAUPUN dimalukan T-Team, 0-1 dalam saingan Piala Malaysia malam kelmarin, pengendali skuad Merah Kuning, K Devan, tidak mahu cepat melatah dan tetap berfikiran positif bagi mengharungi perlawanan seterusnya.

“Buat masa ini saya rasa tidak perlu panik kerana kita kalah ketika beraksi di tempat lawan. Kami akur T-Team pasukan yang boleh memberi saingan kepada kami.
“Kalau kalah dengan Polis atau Kuala Lumpur, itu satu yang tidak boleh diterima dan mungkin boleh menggugat kedudukan kami layak ke suku akhir,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Penaja Kejohanan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Hotel Concorde, Shah Alam semalam.
Devan turut mengakui pasukannya kurang agresif setiap kali beraksi di Terengganu dan Kelantan namun tetap berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemainnya.

“Saya rasa puas hati dengan persembahan pemain dan mungkin perkara yang membezakan kami adalah mereka dapat menjaringkan gol dengan peluang yang mereka cipta, sedangkan kami gagal.

“Bukan mudah bermain di Kelantan dan Terengganu. Seperti mana yang kami tahu apabila pergi ke sana kami kena lebih agresif. Kalau tidak dapat menyaingi sikap agresif yang ditunjukkan pasukan seperti Kelantan dan Terengganu, mungkin sukar untuk menang.”

Piala Malaysia 2011 - Sime Darby lwn Terengganu

"Jangan mudah selesa dengan kelebihan yang ada."

Itu tegas Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti kepada semua anak buahnya selepas mereka memperoleh tiga mata penuh pada perlawanan pertama Piala Malaysia Kumpulan B menewaskan Sime Darby 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

Katanya, semua perlawanan perlu dilalui secara berperingkat serta tidak boleh memandang mudah pihak lawan terutama menentang PKNS, Sabtu ini.

"Sungguhpun kita berjaya memperoleh kejuaraan Piala FA tahun ini, namun itu semua perlu dilupakan sementara ketika sedang mengharungi cabaran Piala Malaysia.

"Saya juga mahu penyakit mudah bangga dengan kelebihan yang ada dibuang daripada diri semua pemain saya. Jangan selesa dengan semua ini sewaktu berhadapan PKNS dan kita perlu menang," kata Irfan.

Terengganu terlebih dahulu mendapatkan jaringan melalui tandukan Joseph Kalang seawal minit kelima sebelum Abdul Hadi Yahya menambah jaringan pada minit ke-11.

Babak kedua cuba bangkit dengan mengasak pertahanan skuad Penyu, sebaliknya malang menimpa apabila Abdul Manaf Mamat melengkapkan gol ketiga buat Terengganu.

Sementara itu, jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria berkata, pasukannya mempunyai hampir empat peluang untuk mendapatkan gol, namun tidak berupaya memanfaatkan dengan baik.

"Saya puas hati dengan persembahan yang diberikan oleh pemain dan kita harap ketika menentang Negeri Sembilan mereka mampu melakukan yang lebih baik daripada perlawanan pertama ini.

"Malah, kita juga anggap penyertaan dalam Piala Malaysia ini sebagai pendedahan berguna untuk menghadapi perlawanan liga pada musim depan," kata Ismail.

Terengganu Menang


JUARA Piala FA dan naib juara Liga Super, Terengganu memulakan kempen Piala Malaysia dengan garang apabila mudah membenam Sime Darby 3-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.
Terengganu tampil dengan lima pemain kebangsaan - Sharbinee Allawee Ramli, Helmi Remeli, Joseph Kalang Tie, Ashari Samsudin dan Abdul Hadi Yahaya manakala ketiadaan bek kiri skuad Olimpik negara, Zubir Azmi ditampung Ronny Harun.
Hanya lima minit diperlukan Terengganu untuk memperoleh gol pertama menerusi tandukan Joseph Kalang selepas dia pantas menyambung umpanan Reeshafiq Alwi hasil sepakan sudut Ashari.

Sime Darby sesekali mencuba tetapi ketumpulan sentuhan penyudah Faizal Esahar dan Mohd Faiz Isa memudahkan tugas Sharbinee mempertahankan gawang Terengganu.

Pada minit ke-32, Terengganu menambah gol kedua selepas rembatan kencang kaki kanan Reeshafiq dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Sime Darby, Soffuan Tawil.

Bersambung babak kedua, Terengganu terus menampilkan penguasaan penuh tetapi Ashari, Hadi dan Abdul Manaf Mamat banyak mempersiakan peluang depan pintu gol Sime Darby. Manaf akhirnya berjaya meledak gol ketiga Terengganu selepas menyudahkan lorongan cantik pemain gantian, Ailim Fahmi Kamaruddin pada minit ke-84.

Monday, September 5, 2011

Utamakan persiapan Fizikal & Mental

Juara Piala FA, Terengganu, berazam untuk meneruskan kecemerlangan itu dalam pertandingan bagi Piala Malaysia yang akan membuka tirainya esok.

Penolong Pengurusnya, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof, berkata keazaman itu berdasarkan kepada prestasi serta semangat pemain yang masih membara hasil kejayaan merangkul Piala FA. "Kita mahu cemerlang dalam Piala Malaysia pula," katanya di sini, hari ini.
Sheikh Tajudin, yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), berkata Terengganu membuat persediaan rapi daripada segi mental dan fizikal pemain.Katanya, persiapan itu penting kerana semua pasukan yang bertanding dalam kejohanan Piala Malaysia adalah pasukan terbaik dan semua berazam kuat merangkul piala berprestij itu.Sheikh Tajudin berkata, bagi Terengganu, dengan barisan pemain yang mantap, inilah peluang terbaik menjuarai Piala Malaysia selepas memenanginya pada 2001.

Terengganu yang diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby akan memulakan kempennya menentang Sime Darby di tempat lawan. Sheikh Tajudin berkata, walaupun Sime Darby pendatang baru dan berstatus kelab, Terengganu tidak memandang rendah pasukan yang dijangka akan menjadi pencabar dalam kumpulan itu."Kita tidak mahu terperangkap dan ambil mudah walaupun Sime Darby baru pertama kali menyertai kejohanan ini," katanya.Selepas ini, Terengganu akan melayani PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin di sini pada 10 September sebelum ke Negeri Sembilan pada 13 September.

Sunday, September 4, 2011

Selangor Bimbang Dengan TTeam


Tewas dua kali pada saingan Liga Super tidak mengundang rasa gerun jurulatih Selangor, K. Devan terhadap kekuatan yang ada pada T-Team menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selasa depan.

Biarpun mungkin sudah ada peminat melabelkan pasukan T-Team bagaikan pasukan badi kepada Red Giants, Devan masih yakin rekod kurang baik ketika berdepan skuad berstatus kelab dari Pantai Timur itu pada tahun ini mampu diubah.

Bersemangat mahu menghalang pasukan tuan rumah daripada meraih kemenangan, dia menyifatkan perlawanan dengan T-Team adalah antara yang terpenting dalam saingan peringkat kumpulan di samping tidak mahu merendahkan cabaran Kuala Lumpur dan PDRM.

''Jika kita berjaya mencuri satu mata atau mendapat kemenangan ke atas T-Team pada perlawanan ini, ia mungkin akan menjadi titik tolak kepada peluang kita untuk muncul juara kumpulan.

''T-Team adalah pencabar kita yang terkuat dalam Kumpulan D dan pemain harus sedar situasi ini dengan memberikan fokus dan menampilkan prestasi sebenar bagi meraih kemenangan, " katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menamakan Zairo Anuar Zailani sebagai pemain T-Team yang perlu diberikan perhatian, Devan mengakui dia tidak mempunyai strategi tersendiri bagi mengunci tonggak berpengalaman itu selain dua lagi bintang T-Team, Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Muhammad.

''Zairo antara pemain yang menjadi watak utama dalam pasukan, dia merupakan perancang kepada pasukan.

''Dua lagi bekas pemain kebangsaan, Indra Putra dan Nor Farhan pula berkemampuan menjaringkan gol dalam situasi tidak diduga dan mampu mengubah keputusan perlawanan.

''Walaupun begitu, saya tidak akan mengarahkan pemain memberikan perhatian khusus kepada mereka bertiga selain beberapa arahan spesifik tertentu," katanya.

Menyentuh mengenai persiapan pasukan, dia amat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemain sepanjang tujuh perlawanan persahabatan yang diaturkan selepas saingan Liga Super berakhir.

''Ada peningkatan permainan berdasarkan apa yang saya perhatikan daripada tujuh perlawanan yang mana kita menang empat kali, seri dua kali dan kalah sekali. Harap petanda positif ini dapat diteruskan dalam saingan Piala Malaysia, " katanya.

Selain itu, Devan melihat persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama pada saingan Piala Malaysia lebih sengit berikutan kehadiran beberapa pemain pinjaman, malah dia turut membayangkan mungkin akan membuat kejutan meletakkan G. Jeevanathan sebagai penjaga gol utama Red Giants sepanjang saingan Piala Malaysia.

''Buat masa ini Jeeva yang dipinjamkan dari USM FC menunjukkan satu permainan menyakinkan namun Iqbal Suhaimi turut kembali mempamerkan peningkatan positif," ujarnya.