Monday, January 23, 2012

Kad Merah Punca TTeam Kalah


KAD merah dilayangkan pengadil, Muhd Nazmi Nasaruddin kepada pertahanan T-Team, Shahril Faizal Sharifudin selepas menjatuhkan Ashaari Samsudin pada minit ke-20, membuktikan mutu pengadilan bola sepak negara masih lemah.

Kad merah yang dilayangkan pada perlawanan Liga Super antara dua kelab ‘abang-adik’ di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, dianggap berat sebelah kerana sebelum itu penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee hanya dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan penyerang import T-Team, Zacharia Simukonda pada minit ke-12.
Tindakan Muhd Nazmi melayangkan kad merah kepada Shahril Faizal mencetuskan kontroversi menyebabkan permainan terpaksa dihentikan kira-kira lima minit.
Pengendalinya, Yunus Aliff dan pengurusan T-Team di bangku simpanan juga kecewa Nazmi, tetapi kekebalan diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada pengadil perlawanan itu hanya mengundang balingan botol minuman, bangku dan pelbagai objek lain ke dalam padang.

“Sebelum ini, FAM sering menasihatkan penyokong bersikap profesional, tetapi badan induk itu juga sepatutnya lebih profesional, termasuk dalam soal pemilihan pengadil.

“Jika pengurusan bersuara lantang mempertikaikan keputusan pengadil akan dihukum, tetapi jika mutu pengadilan lemah seperti ditunjukkan pengadil Muhd Nazmi, apa pula tindakan dikenakan?,” soal seorang penyokong fanatik T-Team, Mohd Faizal Abdullah.

Bagaimanapun, Yunus dan penolong pengurus, Zainal Abidin Hassan ketika ditemui selepas perlawanan yang menyaksikan skuad bimbingannya tewas 2-1, enggan mengulas lanjut tetapi berpuas hati dengan aksi barisannya walaupun beraksi dengan 10 pemain. Zacharia juga menunjukkan sedikit peningkatan selepas diberi kata dua oleh pengurus pasukan, Rozi Mamat dan Yunus.

No comments:

Post a Comment