Monday, January 23, 2012

Pok Doe Pemusnah TTeam


PENYERANG import Terengganu, Francis Forkey Doe kian berbisa apabila muncul wira dengan meledak dua gol ketika membantu Penyu merakam kemenangan ketiga berturut-turut selepas mengalahkan pasukan 'adik' T-Team 2-1, kelmarin.

Lebih 10,000 penyokong di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah terhibur menyaksikan kedua-dua pasukan sering berbalas serangan tetapi barisan Mat Zan Mat Aris tersentap apabila T-Team memperoleh sepakan penalti selepas penjaga gol Mohd Sharbinee Alawi menjatuhkan Zacharia Simunkonda dalam kotak penalti.

Kapten T-Team, Zairo Anuar Zailani yang mengambil sepakan itu meletakkan T-Team di depan pada minit ke-12 tetapi Penyu tidak mengalah apabila bangkit menerusi tiga penyerang serangkai – Forkey Doe, Abd Manaf Mamat dan Ashaari Shamsuddin.

Kesilapan pertahanan kanan T-Team, Shahril Faizal Sharifudin yang menerjah keras Ashaari membawa padah apabila pengadil melayangkan kad merah dan Forkey mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-20.

Tanpa seorang pemain, T-Team tetap bersemangat mencari jaringan tetapi gagal menembusi benteng yang dikawal kemas Marzuki Yusof dan Muslim Ahmad sebelum Forkey muncul memastikan tiga mata penuh apabila penyerang Liberia itu menggegar pada minit ke-59 hasil hantaran cantik Ashaari.

Kemenangan skuad Penyu melonjakkan pasukan itu ke tangga kedua di belakang Kelantan yang kelebihan satu mata.

“Walaupun kami ketinggalan awal, ia tidak mematahkan semangat pemain dan saya bersyukur misi mendapatkan tiga mata tercapai hasil kerja keras mereka,” kata pengendali Terengganu, Mat Zan Mat Aris yang gembira pasukannya meranapkan rekod tanpa kalah T-Team.

No comments:

Post a Comment