simukonda t-team





















“T-TEAM perlukan pemain terbaik. Itu reaksi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengulas isu penamatan kontrak pemain import The Young Turtles, Zacharia Simukonda.

Ahmad berkata, setiap pasukan menaruh harapan tinggi supaya pemain yang diambil mampu menjaringkan gol kemenangan, bukan sekadar memberi persembahan hambar.

“Kita mahu keputusan, bukan satu eksperimen,” katanya.

Ahmad memberitahu, sebelum ini beliau telah mengingatkan pengurusan T-Team dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) agar memilih pemain import terbaik dan jangan terlalu bergantung kepada ejen.

“Jangan hanya harap kepada video yang dihantar dan sebagainya, video itu kita tidak tahu (dirakam) bila. Kita nak keadaan semasa sama ada dia cergas atau tidak, ada kecederaan atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pemecatan pemain merupakan satu perkara biasa dalam arena bola sepak sekiranya mereka tidak mampu mempamerkan aksi terbaik sebagaimana diharapkan pasukan.

Semalam, Ketua Jurulatih T-Team, Yunus Alif mengesahkan kontrak Simukonda bakal ditamatkan dalam masa terdekat berikutan kecederaan yang dialami pemain kelahiran Zambia itu.

Simukonda dilanda masalah kecederaan pangkal paha ketika beraksi menentang Selangor, Sabtu lalu dan memerlukan masa lama untuk kembali pulih, sehingga memaksa tindakan drastik diambil untuk memastikan persiapan pasukan tidak terjejas.

Sehubungan itu, T-Team akan membuat ujian pemilihan beberapa pemain import baru dari Bosnia, England dan beberapa negara lain dalam tempoh terdekat, sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain import berakhir 13 Februari ini.