Sunday, February 5, 2012

Selesa Di Terengganu


TIDAK sampai sebulan menjejak kaki di bumi Terengganu, pemain import skuad Penyu, Francis Forkey Doe (gambar), atau lebih dikenali sebagai ‘Dol’ di kalangan peminat mengaku jatuh hati dan begitu teruja dengan keindahan negeri pantai timur itu.

Bukan itu saja, pemain berusia 26 tahun itu yang pernah berkelana bersama kelab Mesir, Al-Ahly sebelum menyarung jersi Terengganu, juga sudah tertarik makanan popular seperti nasi dagang, keropok lekor dan laksa.


“Terengganu antara negeri tercantik pernah saya lawati dan tinggal, saya amat tertarik dengan keindahan negeri ini yang bukan saja memiliki pantai yang cantik dan bersih, malah penduduk di sini amat peramah.

“Walaupun makanan di sini pedas seperti nasi dagang, keropok lekor dan laksa tapi saya menyukainya selepas kali pertama mencuba di Kuala Terengganu.


“Namun, biarpun belum sebulan berada di Kuala Terengganu, saya selesa berada di sini,” kata Doe.


Sebelum ini, peluang bekas pemain Liberia 2004-2011 itu bersama Terengganu agak samar selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ‘mengharamkan’ Doe menyertai skuad Penyu kerana isu tarikh pendaftaran.


Namun, campur tangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said merungkai masalah dan Doe yang kembali beraksi dan kini menjadi pemain paling berharga selepas membantu mencatat kemenangan keempat berturut-turut .


“Memang kecewa selepas diberitahu FAM tidak benarkan saya beraksi dan terpaksa tunggu jendela kedua April ini dibuka sedangkan kontrak sudah ditandatangani.

“Namun, selepas mendapat khabar gembira dibenar beraksi semula, saya memasang impian menjadi pemain terbaik biarpun tidak dapat beraksi pada perlawanan pertama menentang Perak,” jelas bapa tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan berusia 5, 4 dan setahun hasil perkongsian hidup bersama isterinya, warga Amerika, Henry Eto Doe, 26.


Pemain yang pernah mengembara ke tiga negara iaitu Mesir, AS dan Greece serta meminati aksi Lionel Messi itu memilih Terengganu kerana suasananya yang nyaman dan tidak sibuk. “Selain itu, saya juga tertarik kerjasama erat dan komunikasi baik pemain serta boleh bergurau di dalam dan luar padang.


“Reputasi selaku juara Piala FA, naib juara Piala Liga Super dan naib juara Piala Malaysia musim lalu, serta pengurusan dan jurulatih yang sering memberi motivasi juga penyebab saya memilih Terengganu,” jelas Doe yang juga minat memancing biarpun belum mencubanya lagi di negeri ini.


Mengenai sokongan peminat, biarpun tidak seramai Al-Ahly, Doe tetap bangga kerana setiap kali beraksi, peminat pasti memberi sorakan gemuruh.


“Sorakan itu membangkitkan semangat kami untuk beraksi lebih baik, “ jelas Doe yang mengaku semakin serasi bergandingan dengan trio berbisa, Abdul Manaf Mamat, Mohd Ashaari Samsuddin dan Abdul Hadi Yahaya. Pemain yang hanya memiliki ketinggian 1.73sm itu juga ingin membantu skuadnya mempertahankan Piala FA dimenangi musim lalu serta mengekalkan Kasut Emas di Terengganu selepas Mohd Ashaari muncul pemenang pada 2010 dan Abdul Hadi 2011.

No comments:

Post a Comment