Thursday, June 14, 2012

Forkey Doe Belum Balik


Kehilangan penyerang berbisa Francis Forkey Doe menjadi tanda tanya kepada jurulatih Terengganu, Peter Butler ketika melakukan percaturan pemain bagi menghadapi pasukan T-Team pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam esok.

Pemain berusia 26 tahun dari Liberia itu, yang menjadi idola peminat skuad Penyu itu, masih belum pulang ke pangkuan pasukan selepas menggalas misi antarabangsa bersama pasukan negaranya.

Kegagalan Forkey Doe pulang ke Terengganu tanpa sebarang berita telah menimbulkan kebimbangan dan kekecewaan kepada Butler yang terpaksa berdepan dengan masalah tiga lagi pemain tonggak yang masih belum pulih daripada kecederaan.

"Beliau sepatutnya kembali pada 4 Jun lalu tetapi belum lagi...beliau juga tidak menghubungi saya atau pihak pengurusan untuk menjelaskan perkara sebenar," kata Butler kepada pemberita di sini hari ini.

"Saya amat kecewa dengan kelakuannya...kita mahukan pemain yang komited dan dia tidak menunjukkan apa-apa komitmen kepada saya atau pasukan," jelasnya.

Selain Forkey Doe yang 'hilang' tanpa berita, ketua pasukan Marzuki Yusof, Ashaari Shamsudin dan pemain import Erison Da Silva dari Brazil masih belum pulih daripada kecederaan.

Bagaimanapun, Butler menegaskan bahawa pasukannya mempunyai pemain yang mampu merobek gawang lawan bagi mengumpul mata penuh pada aksi menentang pasukan yang berstatus kelab itu.

Jelasnya kedudukan itu tidak mencacatkan barisan penyerang apabila Abdul Manaf Mamat telah kembali untuk meneruskan pertarungan walaupun masih belum pulih 100 peratus daripada kecederaan selepas menjalani pembedahan di bahagian buku lali, awal bulan lepas.

Sementara itu jurulatih T-Team Yunus Alif berkata pihaknya kehilangan kapten Zairo Anuar Zailani yang mengalami kecederaan pangkal paha serta penyerang Brazil, Marco Tulio, yang mengalami ketegangan otot betis.

"Kehilangan kedua-dua pemain itu adalah satu tamparan besar kepada kami tetapi kami mempunyai Faiz Subri dan Fadzli Shaari yang boleh meningkatkan serta mengerakkan jentera pasukan.

Terengganu kini menghuni tangga keenam dengan mengumpul 27 mata dalam saingan Liga Super manakala T-Team di tangga keempat dengan kutipan mata yang sama namun berbeza dari segi jaringan

No comments:

Post a Comment