Friday, June 8, 2012

Terengganu vs Pro Duta FC

Tiga tonggak utama pasukan Terengganu yang sebelum ini terpaksa direhatkan kerana kecederaan bakal diuji apabila mereka diturunkan pada perlawanan persahabatan Nusantara menentang sebuah pasukan kelab dari Indonesia, Pro Duta FC dari Medan pada Sabtu ini.

Perlawanan persahabatan tersebut akan berlangsung pada 8.45 malam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Penolong pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Ahmad Tajudin Sheikh Yusof berkata, Abdul Manaf Mamat, Ahmad Nordin Alias, kedua-duanya penyerang dan pemain tengah, Reeshafiq Alwi yang sudah menunjukkan tanda positif kembali cergas.

“Ini satu berita yang menggembirakan buat Terengganu kerana khidmat mereka sangat ditagih dan diperlukan terutama ketika saingan Liga Super yang sudah hampir ke kemuncaknya,” katanya. Sheikh Ahmad Tajudin yang juga naib presiden Persatuan Bola sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, bagaimanapun ketua pasukan, Marzuki Yusof masih lagi direhatkan kerana pembedahan kecederaan yang dialaminya masih belum sembuh sepenuhnya.

Katanya tiga lagi pemain skuad Peteh Ganu Peteh tidak akan beraksi dalam perlawanan persahabatan itu kerana mereka akan menggalas tugas beraksi dalam skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal dalam perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Singapura malam ini di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Tiga pemain Terengganu yang dipinjamkan itu ialah penjaga gawang, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mohd Faizal Muhamad (pertahanan) dan Mohamad Ashari Samsudin (tengah).

No comments:

Post a Comment