Tuesday, March 20, 2012

Mencari Kemenangan



SELEPAS menang dua perlawanan sebagai ketua pasukan, Mohd Muslim Ahmad berazam untuk meneruskan rekod cemerlang Terengganu apabila turun menentang kelab Hong Kong, Kitchee dalam perlawanan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, hari ini.


Pemain pertahanan berusia 22 tahun yang diberi kepercayaan memakai kain lengan kapten sejak ketiadaan Marzuki Yusof dan Mohd Sharbinee Allawee Ramli berkata, amanah diberikan kepadanya untuk membimbing rakan sepasukan akan disempurnakan sebaik mungkin.


“Sebagai ketua pasukan, saya bangga kerana kami berjaya menyingkirkan Perak dalam saingan Piala FA sebelum menang besar ke atas Sabah dalam Liga Super dan kini kami akan memastikan juara divisyen satu liga Hong Kong akan pulang dengan tangan kosong.



“Kami tahu Kitchee bukan calang-calang lawan namun kami yakin dengan semangat juang yang kami miliki walaupun terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak utama,” katanya ketika ditemui di sidang akhbar Piala AFC di Kuala Terengganu, semalam.



Kata Muslim, kecederaan lutut Marzuki yang memaksa bekas ketua pasukan dan pemain pertahanan itu menjalani pembedahan dalam masa terdekat ini menjadikan dia lebih bertanggungjawab untuk memastikan benteng pasukan sentiasa kebal.


“Begitu juga dengan kehilangan penjaga gol utama, Mohd Sharbinee namun kami tidak terlalu risau kerana Sharmiza Yusof adalah pengganti yang berkebolehan,” katanya.Pemain utama lain yang tidak dapat beraksi adalah penyerang Abdul Hadi Yahya, pemain tengah Reshafiq Alwi dan pertahanan Muhaimin Omar.


Menurut jurulatih Mat Zan Mat Aris, pemain di bangku simpanan pasukannya berkeupayaan untuk memberi saingan kepada Kitchee yang dianggap sebagai pilihan selepas menewaskan kelab Singapura, Tampines Rovers 3-1 dalam perlawanan pembukaan pertandingan.


Sementara itu, ketua jurulatih Kitchee, Josep Gombau mengharapkan mendung ataupun hujan turun sebelum perlawanan bermula.Kata jurulatih berbangsa Sepanyol itu, sukar buat pemainnya untuk menyesuaikan diri dengan suhu melebihi 30 Selsius di Kuala Terengganu kerana cuaca di Hong Kong pada masa ini sederhana panas dengan suhu antara 17 hingga 20 Selsius di waktu siang.



“Persiapan kami juga agak terganggu kerana padang yang disediakan tidak sempurna dan tindakan kami berlatih di padang hoki semalam (kelmarin) juga tidak menjadi kerana kami tidak mempunyai kasut yang sesuai untuk padang hoki,” katanya.Bagaimanapun, Gombau berkata semua itu tidak melemahkan semangat pasukannya untuk meraih kemenangan kedua mereka dalam saingan Piala AFC kerana pemainnya mampu beraksi dalam apa jua keadaan.

No comments:

Post a Comment