KEDAH yang tewas kepada T-Team pada saingan Liga Super sebelum ini ingin melunaskan ‘hutang’ itu pada perlawanan kedua Piala FA di Kuala Terengganu malam ini.Skuad Kenari mahu melupakan kekalahan 3-0 itu, sebaliknya membuka lebaran baharu dengan harapan dapat meraih kemenangan untuk berada dalam kelompok empat terbaik kejohanan berprestij tersebut.
Namun, tugas itu bukan satu kerja mudah bagi anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan yang memerlukan mereka memberi komitmen seratus peratus serta semangat juang yang tinggi lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan.Kelebihan dilihat berpihak kepada pasukan berstatus kelab itu yang sudah pastinya mahu menghadiahkan kemenangan layak ke separuh akhir kepada penyokong setia mereka.
Bagaimanapun bagi Wan Jamak, usaha dan kerja keras pemain pasti membuahkan hasil yang diharapkan biarpun berdepan laluan sukar tanpa sebarang bekalan ketika beraksi di Alor Setar, Sabtu lalu.Justeru, beliau berharap pemain-pemainnya dapat meningkatkan usaha bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan.
“Pemain perlu berusaha dengan lebih gigih kerana setiap usaha itu tentu mendatangkan hasil. Jangan diingatkan sejarah silam (kekalahan kepada T-Team) sebaliknya fokus dan beri tumpuan kepada perlawanan penting ini,” katanya.
Pada pusingan pertama di Stadium Darul Aman, Sabtu lalu, Kedah gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan.Pada pertemuan dengan T-Team malam ini, Kedah juga kehilangan ‘ayam tambatan’ mereka, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri yang digantung satu perlawanan kerana memiliki dua kad kuning termasuk pada perlawanan Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang mempertimbang untuk menggugurkan pemain import mereka, Hamidan Mohamed berikutan prestasi hambar pemain dari Ghana itu.Setiausaha Kehormatnya, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib memberitahu, skuad Kedah akan mengalami kerugian sekiranya masih menyimpan pemain yang gagal memberi sumbangan membanggakan kepada pasukan.“KFA sedang meneliti beberapa pemain import lain bagi menggantikan Hamidan,” katanya.
No comments:
Post a Comment