HASRAT Terengganu menduduki tangga teratas Kumpulan F Piala AFC tidak kesampaian apabila tumpas 0-2 di tangan juara Hong Kong, Kitchee, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, semalam.
Juara Piala FA musim lalu yang yakin menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri itu, gagal menahan asakan pasukan lawan di separuh masa pertama hingga gawang dibolosi lawan seminit sebelum masa rehat.
Pasukan pelawat yang mengaku risau bermain dalam cuaca panas sejak tiba di Kuala Terengganu, Jumaat lalu, berjaya mengawal perlawanan dengan baik dan berpeluang mendahului lawan seawal minit kesembilan.
Namun, penyerang, Lo Chi Kwan yang cuma berdepan penjaga gol Terengganu terpaksa melihat tendangannya dihadang Sharmiza Yusoff yang sekali lagi turun mengambil tempat penjaga gol utama, Sarbinee Allawee yang masih belum pulih daripada kecederaan pangkal pahanya.
Kitchee yang beberapa kali mempunyai peluang menghasilkan gol akhirnya mendapat jaringan yang dicari menerusi Jordi Tarressa.
Ketinggalan satu gol mengubah corak permainan Terengganu yang mengamalkan corak menyerang di awal separuh masa kedua menyebabkan lawan cuma mampu bertahan dan mengekang asakan Terengganu Harapan tuan rumah mencari gol penyamaan lenyap pada minit ke-73 apabila Chu Siu Kei gagal dikawal Muslim Ahmad dan Zubir Azmi dan menjaringkan gol kedua selepas menerima hantaran tepat Chi Kwan.
Jurulatih Kitchee, Josep Gombau mengaku pasukannya bernasib baik mendapat gol pertama sejurus sebelum tamat babak pertama. “Pemain saya sudah keletihan pada masa itu kerana bermain dalam cuaca terik. Namun, jaringan itu membolehkan kami bermain secara bertahan di babak kedua
“Sekiranya tiada gol di separuh masa pertama, pemain akan tertekan dan itu mungkin memberi kelebihan kepada Terengganu,” katanya.Sementara itu, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris akur dengan keputusan perlawanan walaupun berpendapat pasukannya mampu bersaing dengan pasukan lawan.
“Kami tidak menggunakan babak pertama dengan baik kerana pemain terlalu hormat kepada lawan hingga mereka enggan menyerang habis-habisan.“Keadaan bertukar di babak kedua namun kami ketinggalan pada masa itu dan walaupun sudah mencuba sedaya upaya mencari gol penyamaan, Kitchee pula berjaya menambah satu gol lagi,” katanya Apa pun, Mat Zan berkata, lebih penting sekarang adalah pemain tidak hilang fokus dengan kekalahan pertama dalam empat perlawanan terakhir.
“Semuanya masih terkawal kerana masih ada empat perlawanan lagi dalam peringkat kumpulan Piala AFC dan kami tidak boleh hilang semangat kerana Sabtu ini, kami akan bertemu LionsXII dalam perlawanan suku akhir Piala FA,” katanya.
No comments:
Post a Comment