Saturday, March 10, 2012

Mesti Menang



JUARA bertahan, Terengganu turun dengan dua misi besar – membalas dendam dan mencipta kemenangan ke atas Perak – untuk melangkah ke pusingan seterusnya saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Shah, malam ini. Jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris berkata, kekalahan pada perlawanan pembukaan Liga Super awal musim di tangan Perak masih segar dalam ingatannya dan dia mahu anak buahnya memanfaatkan peluang di gelanggang sendiri untuk mencipta kemenangan.


“Kami turun dengan dua misi berbeza, pertama mahu menebus kekalahan perlawanan liga lalu dan kedua, perlawanan ini penting untuk menentukan hidup mati kami dalam mempertahankan Piala FA yang dimenangi tahun lalu,” katanya semalam.


Walaupun pemain sedikit keletihan selepas mengharungi jadual ketat Liga Super dan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), moral anak buahnya cukup baik serta begitu bersemangat untuk berdepan Perak. “Kami harap kejayaan mengalahkan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 pada saingan pembukaan kumpulan F dalam Piala AFC dapat diteruskan pada perlawanan malam esok (malam ini).


“Saya mengingatkan pemain misi kami masih berliku dan perebutan Piala FA amat penting, bukan saja untuk mempertahankan trofi ini, tetapi juga saingan Liga Super yang semakin mencabar,” kata Mat Zan. Pengendali itu berharap dapat menurunkan penjaga gol Mohd Sarbinee Alawee, Marzuki Yusof serta pemain tengah, Shukor Jusoh dan Mohd Ismail Faruqi yang cedera apabila menghadapi skuad Seladang.


“Walaupun beberapa pemain utama cedera, kami masih mempunyai ramai pemain yang boleh diturunkan dan saya harap benteng yang diterajui Muslim Ahmad bersama Mohd Faizal Mohamad dapat menutup ruang sebaik mungkin.”

No comments:

Post a Comment