Thursday, March 29, 2012

Penyokong Singapura Tidak Tamadun?



PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh melabel penyokong Singapura yang menghina Francis Doe di Stadium Jalan Besar, kelmarin tidak bertamadun.


Che Mat berkata, walaupun kecewa pasukan mereka tersingkir daripada saingan Piala FA, mereka tidak seharusnya menghambur kata-kata penghinaan seperti ‘monkey’ (monyet) dan orang hitam, ‘nigger’ (ungkapan penghinaan kepada orang berkulit hitam) kepada penyerang Terengganu warga Liberia itu.


“Doe juga manusia ciptaan Tuhan seperti mereka dan tiada sebab mereka menghina warna kulitnya yang berlainan kerana mereka tidak mempunyai apa-apa kelebihan berbanding Doe.
“Lebih memalukan, ada di antara mereka yang tidak bermaruah itu berbangsa Melayu dan sebagai orang Islam, mereka dilarang daripada menyakiti hati orang lain dengan menghamburkan kata-kata yang tidak sedap didengar,” katanya.


Bagaimanapun, kata Che Mat, pihak persatuan tidak bercadang mengambil tindakan ke atas Singapura yang menamatkan saingan Piala FA dengan kekalahan agregat 0-1 di tangan Terengganu selepas sekadar seri tanpa jaringan dalam perlawanan timbal balik kedua di gelanggang sendiri.


“Kami enggan memanjangkan perkara ini kerana insiden memalukan itu tidak membabitkan pemain dan tidak berlaku di tengah padang.
“Sebahagian penonton saja terbabit menyuarakan ejekan dan kata-kata penghinaan kepada penyerang kami dan kami anggap sudah tentu bukan semua penyokong Singapura yang berfikiran cetek,” katanya.


Che Mat berkata, sebagai pengurus pasukan Terengganu, dia juga faham bukan mudah untuk pengurusan mengawal apa yang dilakukan penonton terutama ketika mereka kecewa dengan persembahan pasukan mereka.


“Walaupun penyokong Terengganu tidak mempunyai masalah dengan penghinaan perkauman, mereka ada kalanya gagal mengawal emosi dan membaling objek seperti botol air dan mercun ke dalam padang.


“Pengurusan terpaksa menanggung kerugian akibat didenda kerana tindakan penyokong yang tidak berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu yang buruk dan kami anggap apa yang terjadi di Stadium Jalan Besar itu berada di luar kawalan pengurusan pasukan lawan,” katanya.
Cuma, kata Che Mat, insiden yang tidak sepatutnya berlaku di negara timur seperti Singapura diharap tidak berulang di masa depan dan pengurusan boleh mengambil tindakan dengan memberi nasihat kepada penyokong.


“Walaupun terluka dengan apa yang terjadi di Singapura, Doe juga mahu perkara ini diselesaikan dengan baik dan pada masa ini, kami tidak berniat mengambil tindakan ke atas pasukan Singapura.


“Apapun, kami akan meminta pandangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar tidak terlepas pandang mana-mana kaedah penyelesaian terbaik,” katanya.

No comments:

Post a Comment