Wednesday, March 28, 2012

Penuh Dramatik Untuk Semi Final

JUARA bertahan, Terengganu memastikan laluan ke separuh akhir sekalipun seri 0-0 dengan Lions XII untuk layak menerusi agregat 1-0 dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.

Skuad kendalian Mat Zan Mat Aris yang tampil tanpa penjaring gol tunggal, Joseph Kalang Tie ketika aksi suku akhir pertama di Kuala Terengganu, mengimbangi kehebatan Lions XII yang begitu rakus mengasak ke kubu skuad Penyu dalam usaha mencari gol sebaik permainan bermula.

Malah tempoh 15 minit babak pertama, benteng pertahanan Terengganu yang diterajui Mohd Muslim Ahmad dan Hasnizam Kamarodin tampak begitu sibuk menghalang setiap asakan anak buah V Sundramoorthy tetapi kecekapan Mohd Sharbinee Allawee di gawang memainkan peranan penting menafikan cubaan berbahaya tuan rumah.
Situasi cemas di depan pintu gol Terengganu pada minit ke-16 berpunca sepakan lintang Irwan Shah tepat kepada Khairul Nizam tetapi penyerang Lions XII itu hanya terdaya melepaskan rembatan lemah sekalipun sudah melepasi kawalan Muslim.

Tertekan dengan serangan bertali arus Lions XII, Terengganu mula bangkit mengatur gerakan pada babak kedua tetapi kelincahan Francis Forkey Doe sering disekat benteng pertahanan Lions XII yang langsung tidak memberi ruang kepada import dari Liberia itu.

Sundramoorthy dengan memasukkan penyerang Shahril Ishak pada aksi babak kedua, sebaliknya pintu gol tuan rumah pula yang cemas pada minit ke-61 apabila bola sepakan percuma Erison Da Silva dari jarak 30 meter tersasar.

Ketika aksi berbaki seminit ditamatkan, Lions XII hampir memecah kebuntuan jaringan tetapi tandukan Madhu Mohana hasil sepakan percuma Irwan Shah juga tersasar ketika Sharbinee sudah tertewas.

No comments:

Post a Comment