KUALA TERENGGANU – Prestasi kurang memberangsangkan pasukan Terengganu setelah kalah dalam dua perlawanan minggu lalu meletakkan bekas juara Piala FA musim lalu itu umpama ‘nyawa di hujung tanduk’ bagi meraih kembali kepercayaan penyokong Skuad Penyu itu.
Justeru, perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam nanti dilihat umpama titik penentu kepada gelora yang bakal berlaku dalam kancah bola sepak di Pantai Timur.
Kekalahan 1-6 di tangan Selangor dan diikuti tumbang 0-2 di tangan Tampines Rovers minggu lalu mendapat kritikan keras daripada peminat fanatik pasukan hitam putih itu, sehingga mereka mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh yang juga pengurus pasukan meletakkan jawatan.
Sekiranya pasukan tuan rumah berjaya bangkit menebus dua kekalahan lalu, individu paling ceria pastinya pengendalinya, Mat Zan Mat Aris, namun andai kekalahan yang ditempa, gelora yang dicipta penyokong tegar Hitam Putih pasti bergema dengan lebih hebat sekali lagi.
Tamparan hebat
Pun begitu, Mat Zan mengakui pasukannya seperti dihimpit tekanan untuk menampilkan aksi terbaik, tatkala ramai tonggak utamanya dibelenggu masalah kecederaan dan keletihan berikutan jadual perlawanan yang ketat.
“Selepas dua kali kalah ketika menentang Selangor dan Tampines Rovers, penyokong sudah pastinya tidak mahu melihat pasukan kesayangan mereka ini tewas buat kali ketiga berturut-turut.
“Maka ini adalah satu tamparan cukup kuat buat kami andai kata kami gagal mencatat kemenangan, walaupun secara keseluruhannya kami telah memberikan yang terbaik dan masih berada dalam senarai teratas liga,” katanya selepas ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.
Justeru, Mat Zan mengharapkan anak buahnya dapat memberikan komitmen terbaik dan meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada kesebelasan utama yang diturunkan pada perlawanan itu nanti bagi memastikan pasukannya dapat meraih tiga mata penuh dengan menundukkan Negeri Sembilan.
“Saya sendiri pun tidak faham mengapa penyokong seolah-olah sukar untuk menerima kekalahan sebelum ini, walhal kita masih berada di landasan terbaik dan apa yang saya harapkan mereka (pemain) dapat berjuang berhabis-habisan pada perlawanan itu nanti.
“Kalau dilihat dari segi strategi, saya rasa Terengganu mempunyai corak permainan yang cukup baik dan terbaru,” katanya.
Tonggak utama pulih
Bagaimanapun, Mat Zan tetap berhati-hati dengan ancaman yang bakal diterima daripada bekas juara Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan setelah mereka berjaya menumbangkan Terengganu pada pentas akhir di Stadium Shah Alam tahun lalu.
Menurutnya, biarpun pasukan lawan berada di tangga keenam liga, namun kebangkitan yang dipamerkan Skuad Hoben Jang Hoben itu sejak belakangan ini perlu dipandang serius semua pemainnya.
“Apa pun saya bersyukur kerana beberapa tonggak utama kita yang mengalami kecederaan pada beberapa perlawanan lalu, kini pulih sepenuhnya, dan bersedia untuk beraksi pada perlawanan malam nanti, antaranya Abdul Manaf Mamat, Muslim Ahmad dan Mohd Zubir Azmi.
“Tetapi saya tidak mahu memberi jaminan kepada penyokong, sebaliknya berharap mereka ini (penyokong) dapat memberi sokongan padu kepada pasukan kami sepanjang perlawanan berlangsung malam nanti,” katanya.
Untuk rekod, Terengganu kini menduduki tangga ketiga liga dengan 21 mata selepas 12 perlawanan, manakala Negeri Sembilan di tangga keenam dengan 19 mata selepas 13 perlawanan.
No comments:
Post a Comment