Friday, April 27, 2012

MB gembira Kebangkitan Terengganu

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berharap agar pasukan Terengganu mengekalkan momentum selepas menang bergaya 6-2 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An apabila menentang Sime Darby dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA, Selasa depan.


Katanya, momentum itu amat diperlukan bagi memastikan skuad Penyu melangkah ke perlawanan akhir sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka musim lalu.

"Alhamdulillah, kita menang malam tadi (kelmarin) dan ada peningkatan yang ditunjukkan selepas saya mengadakan perjumpaan dengan pengurusan dan jurulatih untuk membuat perubahan dalam pasukan.

"Ternyata formula kita menjadi kali ini," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad turut menyifatkan tindakan segelintir penyokong yang memprotes pasukan berikutan aksi hambar sejak kebelakangan ini sebagai tidak rasional.

"Terpulanglah kepada mana-mana penyokong yang ingin bertindak memprotes pasukan kita (Terengganu) dan situasi itu jelas menunjukkan mereka adalah peminat yang tidak rasional.

"Dalam setiap perlawanan bola sepak, siapa yang tidak ingin melihat pasukan pilihan menang. Tapi adatlah dalam sukan bola sepak ini. Ada menang dan ada yang kalah, tetapi selaku peminat sejati kita kena terus beri sokongan," katanya.

No comments:

Post a Comment