Wednesday, April 25, 2012

Moral Maseh Kukuh

TEKANAN hebat yang kini membelenggu kem pasukan Terengganu sedikit pun tidak menjejaskan moral para pemainnya yang dalam misi memburu slot ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Malam ini, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu yang berdepan cemuhan penyokong tempatan ekoran prestasi hambar dalam kempen liga domestik akan turun menentang kelab Vietnam, Song Lam Nghe An pada di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Seandai nya kemenangan diraih, skuad Penyu bakal mencatat sejarah baharu dengan melangkah ke pusingan kedua pada penampilan sulung di pentas kejohanan berprestij itu.

Bagi Mat Zan, beliau mengakui yang para pemainnya kini berdepan tekanan hebat daripada para penyokong menjelang aksi Kumpulan F malam ini.

Justeru katanya, hanya kemenangan ke atas kelab dari Vietnam itu sahaja yang mampu mengembalikan maruahnya dan para pemain selepas dikritik hebat sebelum ini.

"Semua tahu apa yang berlaku ke atas pasukan ini sejak beberapa hari lalu dan ia sesuatu yang perlu kami terima

"Esok (malam ini), kami akan turun pada perlawanan yang sangat penting bagi memastikan peluang kami ke pusingan kedua menjadi kenyataan," kata Mat Zan pada sidang media di Kuala Terengganu semalam.

Untuk rekod, Terengganu yang juga juara Piala FA kini menduduki tangga kedua Kumpulan F dengan enam mata, iaitu tiga mata di belakang kelab Hong Kong, Kitchee.

Jika menang ke atas Song Lam dan pada masa yang sama Kitchee berjaya menewaskan Tampines Rovers di Singapura, Terengganu akan mengesahkan satu slot ke pusingan kedua Piala AFC.

"Kami menang ketika menentang Song Lam di Vietnam pada perlawanan pertama dan saya hanya berharap para pemain dapat mengulangi kejayaan itu di hadapan penyokong sendiri," ujarnya.

Bagaimanapun, Mat Zan mengakui yang Terengganu bakal kehilangan beberapa tonggak utama pada perlawanan malam ini ekoran kecederaan yang dialami Abdul Manaf Mamat, Syukur Jusoh dan kapten pasukan, Sharbinee Allawee.

"Pemain begitu keletihan ekoran jadual perlawanan yang sangat padat tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak menurunkan barisan terbaik pada perlawanan menentang Song Lam nanti.

"Saya sangat percayakan pemain saya dan mereka juga bertekad memberikan aksi terbaik sebagai menebus kekecewaan selepas tewas kepada Sime Darby pada aksi separuh akhir pertama Piala FA, Sabtu lalu," katanya.

Dalam pada itu, penolong jurulatih Song Lam, Le Ky Bhuong mengakui yang para pemainnya turut berdepan masalah keletihan ekoran jadual perlawanan padat di Vietnam.

"Kami tahu Terengganu telah mengalami beberapa siri kekalahan mengejut, namun kami tidak sesekali memandang rendah kemampuan pasukan itu kerana mereka telah menewaskan kami di Vietnam sebelum ini.

"Apa pun, saya menjangkakan perla- wanan malam esok (malam ini) pasti sengit kerana kedua-dua pasukan begitu memerlukan tiga mata bagi mencerahkan peluang ke pusingan kedua," jelas Bhuong yang turut kehilangan gandingan penyerang iaitu Bebe dan Nguyen Ngoc Anh akibat kecederaan.

1 comment:

  1. penyokong yang buat demo tu boleh menganggu pemain dan jurulatih sehingga tak boleh relax minda.sekarang sudah menjadi masalah kepada pemain kerana menghadapi tekanan kalah jer ada demo...bagilah peluang kepada pemain rehat minda,tenang fikiran.pendemo sudah hilang akal...ni

    ReplyDelete