Jurulatih skuad penyu, Mat Zan Mat Aris beranggapan ketiadaan Ismail Faruqi menjadi punca barisan tengah skuadnya kurang berfungsi sekali gus memberi ruang kepada pelawat untuk melakukan serangan.
“Kami tiada perancang yang boleh membuat hantaran, tetapi peluang ke final masih terbuka. Ada 90 minit lagi aksi dan kami akan bermati-matian berjuang untuk layak,” katanya selepas tamat perlawanan.
Ketiadaan Ismail Faruqi mengemudikan barisan tengah dan pertahanan kiri Zubir Azmi yang digantung perlawanan menyaksikan pasukan pelawat, Sime Darby lebih banyak menguasai permainan pada babak masa pertama.
Selepas buntu pada babak pertama, tuan rumah meningkatkan asakan namun pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Patrick Ronaldinho pada minit ke-52 hasil gerakan serang balas sebelum Terengganu mencetus sorakan penyokong mereka dengan gol penyamaan minit ke-65 menerusi Francis Forkey Doe.
Ketika permainan tampak berkesudahan dengan keputusan seri, pemain gantian, Syukur Saidin meledak gol kemenangan pelawat pada masa kecederaan untuk memberi bekalan selesa kepada Sime Darby menjelang perlawanan kedua di Stadium Selayang 1 Mei ini.
No comments:
Post a Comment